Showing posts with label Masak-memasak. Show all posts
Showing posts with label Masak-memasak. Show all posts

Monday, July 07, 2014

Nasi Ambeng untuk berbuka

 بسم الله الرحمن الرحيم

Kita masuk cerita keluarga pula hari ini....

Sabtu lepas adik beradik SRD dan mil datang berbuka di rumah. Walau tak semua hadir, tapi dah cukup meriah, bising dengan suara anak-anak. Boleh pening kepala kalau tak sabar. Time tulah pintu bilik boleh terkuncilah, tangan Alia kena bunga apilah, hai, macam-macam. ( hehe, belum 10 hari puasa dah main bunga api kan)

SRD sibuk suruh Yus masak nasi ambeng yang lengkap . Oklah, buat nasi ambeng tu boleh, cuma Yus ni tak pernah buat serunding sendiri. Dalam banyak2 serunding, saya sebenarnya suka serunding kelapa je, yang lain2 tu kureng sikit.

Makanya men'google' cari resepi serunding kelapa yang mudah . Jumpalah resepi di sini yang nampak mudah dan sedap. Maka operasi pun bermula.

Bila semua sampai, siaplah nasi ambengnya. Tak makan dalam dulang, sebab rumah Yus takde dulang besar...hahaha. Makan dalam pinggan masing-masing sudah waktu berbuka tu kan. Lain2 menu berbuka tambahan, adik2 beli di bazaar ramadhan sebelum mereka sampai ke rumah kami.

Gambar dari hp adik ipar saya. Yus sendiri tak sempat nak ambil gambar apa pun, tetamu ramai di rumah kita sibuk nak ambil gambar, ada yang kena perli nanti kan....hehe.
Lengkaplah kot nasi ambeng untuk berbuka Yus ni. Ada ayam masak kicap, mee goreng, sambal goreng, ikan kering, serunding dan mesti di makan atas daun pisang gitu...hehe. Nasi tak cukup, minta maaf, ingat dah banyak, rupanya tak cukup....hihi. Serunding kali pertama buat pun, SRD dan mil  kata menjadi...alhamdulillah.

Anak-anak semua makan buka di bawah ya.

 Ok, ni pula semalam testing baju raya yang baru di terima. Beli online untuk Amani.

Saja buat gambar hitam putih, nanti tak surprise pulak kan belum raya dah tunjuk semua...hehe. Tak teruja pun dia pakai baju tu, yang teruja abang dia Arif, sibuk suruh keluar baju raya dia juga....hehe.
Sekian.....salam sayang untuk semua.
TQ sudi baca....
 ~ يوس ~

Monday, August 13, 2012

Pulut kuning , rendang daging dan pizza tuna bersos barbeque

Membaca komen dari kakzakie pada entri SRD kemalangan buat aku bersemangat nak buat pulut kuning dan rendang ni. 



Kalau bubur merah tu aku tak minat nak makan, anak-anak pun tak suka, maka pilihannya dah tentu pulut kuning. Maka inilah menu berbuka kami semalam. Maaflah tayang gambar makanan aje.

pulut kuning express di makan bersama rendang daging. Ini dari pinggan yang aku beri pada jiran.
Kenapa aku kata pulut kuning express? Sebab aku masak guna rice cooker je, tak perlu kukus bagai, tapi rasanya tetap sedap dan memikat hati. Lembut pun lembut. Aku suka!!!!Resepi aku ambil dari sini.

Kemudian tu aku buat lagi pizza untuk anak-anak. Entah kali yang ke berapa buat pizza sepanjang bulan puasa ni. Suka bebenor mereka ni makan, terutamanya Aqil. Semalam aku buat pizza tuna bersos barbeque. Sedap sebab pedas...hehe.

Tak silap pizza ke 6 aku buat sepanjang bulan puasa ni. Dan inilah doh pizza terbaik berbanding yang lain  aku hasilkan. Betul kata Kak Mar, kena praktis selalu buat doh pizza ni, lama-lama nanti pasti menjadi lebih baik.

Ini pizza untuk aku, sekeping kecik je, lelain semua anak-anak bedal....

Ada juga rendang ayam dan nasi impit jiran sebelah beri. Kenyang alhamdulillah. Hari ini pula nak fikir buka apa.....hmmm, asam pedas ikan pari sedap juga ni. Nasi pulalah kan.

~ يوس ~

Friday, August 10, 2012

SRD Kemalangan | Puding Kastard Jagung dan nasi warna warni

Terkejut sekejap semalam seketika ketika aku sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka yang belum selesai, dapat panggilan dari SRD suami tersayang yang dia terlibat dengan satu kemalangan. Masa tu dah hampir ke pukul 6.20 petang. Dalam hati sebenarnya dah mula pot-pet juga (dalam hati pun aku boleh pot-pet kan..huhu), "Mana abang ni? Kata nak balik awal hari ni?" (Ni dalam hati je berkata-kata ya!)

Bila SRD telefon dan kata dia dah terlanggar orang, hati mula berdegup kencang. "Haa!! macam mana abang boleh terlanggar orang?!" Itu yang pertama keluar dari mulut aku. SRD macam biasa memang cool je orangya, tak macam aku yang cepat gelabah. 

" Nanti balik abang cerita ya! Nak hantar orang ni pergi klinik buat rawatan dulu. Nak beritahu balik lambat je. Jangan tunggu, buka je dulu!"

Dalam hati mula rasa tak tenang. Dalam masa sama berdoa saja moga abang baik-baik saja, dan orang yang dia terlanggar pun baik-baik juga. Dek kerana hati tak begitu tenang, makan berbuka pun tak begitu berselera walau menu dah menarik. Tapi seronok tengok anak-anak makan bertambah-tambah. Terutama Alia, yang suka sangat dengan nasi warna-warni dan ayam masak merah. Anak-anak aku panggil nasi hujan panas tu nasi warna warni ya kawan-kawan.

Ok, inilah menu berbuka kami semalam.

Puding kastard jagung. Bila di buat dalam acuan macam ni, hasilnya lebih nampak menarik kan. Nak makan pun rasa seronok. Kalau buat dalam loyang macam biasa, di potong-potong macam kurang menarik je puding kastard jagung ni....hihi.

Nasi warna-warni, nama yang anak-anak sebut, di makan bersama ayam masak merah dan paceri nenas. Pertama kali aku buat paceri nenas ni, alhamdulillah SRD kata menjadi. Nasi tu tercurah kaler hijau terlebih, dah jadi hijau sangat pulak aku tengok...hahaha.
Ok, sambung cerita perihal kemalangan. Selepas solat maghrib, aku sambung mengaji Al-Quran sekejap. SRD masih belum sampai rumah. Hati tambah risau. Kejap-kejap mata menjenguk ke luar tingkap bilik, "Manalah suamiku ni?"

Tak lama kemudian, baru SRD sampai. Waktu maghrib masih belum habis masa tu, dan dia pun masuk dalam tergesa-gesa untuk mengejar waktu solat maghrib. Aku biarkan saja SRD selesai dulu urusannya. Bila dah selesai, duduk sama-sama atas katil, mulalah sessi bercerita.

SRD terlanggar sebuah motor yang di naiki 4 orang kesemuanya di atas motor tu. Ada seorang dewasa yang bawak motor (perempuan makcik kepada budak2 tu) dua orang kanak-kanak (seorang lelaki dan seorang perempuan) dan di belakangnya seorang remaja (abang kepada kanak-kanak tadi ). Punyalah ramai orang naik satu motor!!

Kata SRD, ada sebuah kereta di hadapan kereta dia, dan motor tadi di sebelah kiri, SRD di belakang motor ni. Jarak agak jauh juga, dan SRD memandu dalam kelajuan 70km sejam lebih kurang. Kereta hadapan dah hilang dari pandangan, tiba-tiba motor yang di belah kiri ni beri signal ke kanan tapi tiba-tiba je terus membelok kekanan, takde ambil side ke kanan dulu macam orang lain kata SRD. Yalah, baru bagi signal, terus belok ke kanan, dia tak perasan ke belakang dia tu ada kereta kan.

Dalam hati SRD dah kata, "alamak, sah kena langgar ni!" Cepat-cepat SRD tekan brek, tapi motor tu dah dekat sangat, apa lagi tersondol jugalah motor tu dan mereka semua tergolek kecuali remaja lelaki yang belakang, sempat dia melompat sebab katanya dia nampak kereta suami aku tu.

Bila semua dah terjatuh, rupanya ada kereta lain di simpang yang nampak dan dalam kereta tu adalah datuk kepada budak-budak tu, ayah kepada wanita yang bawa motor tu. Pakcik ni cepat berlari ke arah mereka dan SRD, kiranya rumah mereka dah nampak lah dari jalan tu. Apa lagi, SRD kena marah-marah kat situ. Macam-macam pakcik tu kata antaranya, "Awak tak nampak ke motor tu? Nampak tu signal pun masih hidup!"

SRD cuma diam tak menjawab, di biarkan pakcik tu mencurahkan rasa, sampai pakcik tu kata rasa nak tumbuk je muka suami aku. Huh!!! Aku dengar hanginnnnn satu badan terus. Namun dalam hati SRD berkata juga, "dah anak pakcik bagi signal dan-dan tu terus belok, mana saya sempat elak, dia pun tak tengok ada kereta tak kat belakang kenapa?" Tapi dalam hati je keluar. Laki aku ni memang gitu, tak mudah marah-marah, tak macam aku....hehe.

Bila aku kata," kenapa abang tak bersuara, anak dia pun salah?" Jawab SRD, "dalam undang-undang walau apa pun yang sebenarnya berlaku, yang menyondol tu akan tetap di salahkan."

Hmmm...yakan jelah. Pakcik tu masih bebel-bebel, SRD ajak bawa ke klinik. Cari-cari Klinik area Senggarang semua dah tutup, bawa ke Parit Raja, nasib baik ada satu masih bukak. Yang tercedera ialah dua orang kanak-kanak tu. Sorang luka sikit di tangan, sorang lagi melecet di kaki. Yang bawa motor dan yang belakang sekali tak cedera. 

Dalam masa menunggu doktor merawat, waktu berbuka dah sampai. SRD ajak mereka berbuka sekali di restoran satay berdekatan. Laki aku buka dengan 3 cucuk satay dan air je, sian dia....huhu. Kemudian ayah budak-budak yang SRD langgar tu muncul dengan van. Pakcik tadi dah pesan, kalau anak saya marah awak diam je, lagipun yang bawa motor anak perempuan saya, motor tu pun motor saya. 

SRD cuak, takut anak lelaki pakcik tu lagi garang dari dia, mau kena tumbuk ni. Tapi sabar jelah. Bila sampai, tengok muka memang agak bengis, kurus berseluar paras lutut je. Tapi alhamdulillah orangnya ok, tak marah pun, yang muka ketat cuma yang perempuan bawa motor tu je.

Selesai urusan semua dah SRD bayarkan bil rawatan, hantar mereka balik ke rumah dan barulah SRD sampai di rumah dan dapat makan dengan betul hidangan berbuka yang aku sediakan tadi.

Pagi ini SRD janji dengan anak pakcik tu di kedai motor untuk jelaskan bayaran apa yang patut bagi memperbaiki kerosakan yang ada. Katanya motor tu pun baru sebulan di beli, dan apa yang SRD nampak rosak, no plat belakang patah dan ada bengkok sikit bahagian belakang, lain-lain semua nampak elok. Oleh kerana SRD berlembut je dengan pakcik tu, dia pula yang kemudiannya minta maaf dengan SRD sebab dari mula asyik berkasar. Alhamdulillah.

Selama hampir 20 tahun SRD bawa kereta, inilah baru pertama kali terlibat dengan kemalangan. Pakcik tu pula kata," Oh! Ya ke? Kalau saya dah banyak kali, selalu sangat kena sondol, bawa motor kena sondol, bawa kereta kena sondol, bawa lori pun pernah kena sondol. "

Adeh! Lawak pulak bila dengar macam tu.Kena badi sondol kot. Apa pun alhamdulillah semuanya baik. Risau kan bila terlibat dengan kemalangan ni walau pun kecil-kecil.

Entah berapa belanja yang terpaksa di keluarkan untuk perbaiki motor pakcik tu, tapi yang pasti, kereta SRD pun minta di keluarkan belanja tu. Tengoklah apa dah jadi akibat kemalangan tu.

Kemek di depan dan adakesan hitam melecet, cermin lampu sisi hadapan pecah, calar-calar juga kat lampu tu, dan kawasan lampu tu temasuk ke dalam sikit. 
Peringatan untuk kami untuk lebih berhati-hati bawa kereta, kawasan kampung ni motor memang tiba-tiba je keluar kadang tu. 

Sekian.
~ يوس ~

Thursday, August 09, 2012

Bingka labu lebih memikat hati mereka

Nampaknya anak-anak ibu lebih suka kuih tradisional dari yang moden ya? Ingat lagi aku ada cerita 2 hari lepas, cream cheese butter cake yang aku buat tak laku di mata anak-anak. Semua jamah sikit je, dan akhirnya selepas 3 hari ke tong sampah.(huhu, membazir je, ada orang lain tak cukup makan tau anak-anak). Tapi semalam bila aku buat bingka labu, guna loyang yang sama besar dengan cream cheese butter cake tu, boleh licin. Selepas selesai berbuka tinggal sepinggan kecik je, dan licin juga mereka ngap kemudiannya masa sahur tadi...alhamdulillah.

Tak sangka pulak mereka minat bingka labu ni. Aku pernah buat bingka biasa je, bingka labu ni baru pertama kali buat. Ada labu jiran sebelah beri, dah buat masak lemak campur kacang panjang separuh, separuh lagi takut membazir aku buatlah bingka.

Aqil dan Abid paling banyak makan. Macam sedap sangat pulak aku tengok mereka makan, sampai berebut-rebut. Huhu, suka ibu tengok kamu makan macam tu. Ibu nak buat lagi pun bersemangat tau! Seronok bila apa yang kita masak mereka makan habis kan.

Bingka labu yang aku buat semalam. Ini bingka labu rezeki untuk jiran sebelah aku. Dia beri kami mee hoon goreng guna pinggan tu, maka aku pun pulangkanlah dengan bingka labu ni. Sebab tu  design  pinggan lain dari biasa, bukan pinggan aku ni...hihi. Sebelum di sedekahkan ambil gambar dulu....ekekek.

Resepi bingka labu ( Resepi asal dari My Resipi)

Bahan-bahan:
( Acuan bulat berlubang tengah berukuran 35cm )- aku guna loyang bulat biasa je 20cm
5 biji telur Gred A - aku guna 5 biji telur Gred B
200 ml air
300 ml pati santan -aku guna santan kotak malas nak keluar cari santan lain.
200 g tepung gandum - aku guna 2 cawan tepung
180 g gula halus - aku guna 1 3/4 cawan gula castor
1/2 camca teh garam
1 camca teh esen vanilla
450 g labu manis, dikukus hingga lembut dan dilecek halus - aku guna separuh labu yang jiran bagi tu, tak tahu berapa berat....hihi.

Cara-cara membuatnya:
  • Satukan kesemua bahan dalam satu bekas kecuali labu lecek. Kacau menggunakan wisk hingga sebati dan gula hancur. Tapis adunan. 
  • Masukkan labu manis yg telah dilecek halus tadi. Gaul hingga rata. 
  • Tuang adunan tadi ke dalam loyang yg telah di sapu mentega .
  • Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 200C selama 50 minit. Biarkan sejuk sebelum dipotong.

~ يوس ~

Tuesday, August 07, 2012

Merajuk dengan blog?? | Cream cheese butter cake

Salam Ukhwah buat semua....

Semalam 17 Ramadhan, selesai memasak juadah berbuka SRD berkata " Ambil le gambar, masuk dalam blog eh. Merajuk dengan blog ke? Lama tak update?"

Merajuk ke? Tidak sebenarnya, cuma adalah hati sedikit tersentuh dengan satu komen ikhlas seorang pembaca senyap selama ini, tapi sekali dia komen pedas pula. Jadi aku rasa baik berehat sebentar dari menulis untuk mengambil nafas baru, semangat baru. Aku tentunya sayang dengan blog yang telah lama aku bina ni. Mula mengenal blog dan menulis blog dari 2006, mana mungkin aku melupakannya terus. Sayang rasanya. Ramai kenalan dan sahabat aku dapat dari blog. Komen dan cerita-cerita anda semua menceriakan hari-hari aku sepanjang masa. Bila berdiam diri dan komen pun tiada yang masuk, mulalah rindu bertandang. 

Entri akhir aku 27 Julai lalu ialah ketika hari jadi Arif yang kedua. Tiada sambutan apa pun, cuma aku buatkan anak-anak cream cheese butter cake. Saja nak mencuba buat kek keju pula. Tapi rupanya anak-anak kurang minat, aku je yang suka cheese cake ni....huhu.

Atas pandangan kek dari bahagian bawah, bawah pula kek bahagian atas.

Cream cheese butte cake yang sudah di potong.

Aku bagi kat jiran sikit, anak jiran aku kata "sedap kek tu", tapi anak-anak aku, "kek coklatlah ibu lagi sedap"....huhu.

Ok, inilah first dan last ibu buat, malas nak buat kalau orang dalam rumah kurang suka kan. Sendiri buat, sendiri makan, mana nak datang semangat.....ekekek.

Resepi Cream cheese butter cake (Kredit to blog Citarasa Kehidupan Sue Joshua)

BAHAN-BAHANNYA:
200 gm butter
200 gm cream cheese
250 gm gula kastor
250 gm tepung gandum
5 biji telur
1 s/t baking powder

CARA-CARANYA:
  • Pukul butter, cream cheese dan gula hingga sebati, masukkan telur satu persatu hingga adunan ringan, campurkan tepung bersama baking powder kemudian kaub balik tepung kedalam adunan hingga rata dan sebati. 
  • Tuangkan adunan kedalam loyang yang telah disapukan dengan sedikit butter. 
  • Tutup adunan untuk mengelakkan permukaan kek hangus. 
  • Bakar adunan kedalam oven pada suhu 180c hingga masak dan permukaan kek keperangan (kira-kira 50-60 minit) mengikut jenis oven masing-masing.

~ يوس ~

Friday, July 20, 2012

Menu hari ini : Inspirasi dari internet

Esok dah nak mula puasa, bahangya kian terasa. Bila tiba bulan Ramadhan, mood untuk memasak macam-macam mula datang. Bila setiap hari dah memasak, kadang-kadang rasa jemu juga makan dan masak benda yang hampir sama je kan. Mulalah tekak nak rasa macam-macam dan nak cuba menu-menu yang berlainan dari biasa.

Hari ini malas nak keluar beli barang. Habiskan saja apa yang ada kat rumah ni. Berinspirasikan resepi-resepi yang banyak ada dalam internet ni, inilah yang terhasil untuk makan tengahari tadi.

Aku panggil menu ni, nasi hujan panas hitam segar boleh...hihi.
Sebenarnya apa yang ada atas pinggan itu ialah nasi hujan panas, di makan bersama daging masak hitam manis dan salad sayur segar.

Resepi hasil cedok dari internetlah kan.

Nasi hujan panas dan daging masak hitam manis tu resepi datang dari sini. Untuk nasi hujan panas, aku bantai guna beras biasa je, mana nak cari basmathi dalam rumah. Kan malas nak keluar cari kan. Daging masak hitam manis tu, nasib baik semua bahan ada.

Dan salad sayur segar pula datang dari blog ini. Namun ada perubahan sendiri sebab aku bubuh mana ada yang ada di rumah saja.Takde letak kentang pun, cili pun pakai cili hijau sebab cili bangla takde, ada campur sikit minyak bijan, tomato dan black pepper....sedap!

Komen dari SRD, "Hmmm....macam ni kalau nak buat jamuan raya nanti tak payahlah suruh orang masak, atau guna katering. Bini abang masak semua sendiri lah ya!"

Saja tau dia, perli ke apa....huhuhu. Masak sikit bolehlah bang, masak banyak-banyak, kenalah ada pembantu. Kalau pembantunya si Arif tu, alamatnya tetamu semua tak dapat makan le...hihi.

Seterusnya untuk minum petang....bubur sum sum kegemaran sepanjang masa.

bubur sum sum hasil tangan aku. First time buat sendiri ni, biasa makan yang emak buat je...hihi.
Untuk bubur sum sum, tanya resepi dari emak, tapi aku saja nak ikut resepi dari internet juga. Resepi aku ikut dari blog ini. 

Komen dari SRD, "air gula manis terlebih, cer kurangkan gula tu". 

Opps, aku ikut bulat-bulat resepi tu, so, maknanya lain kali bila nak buat kena kurangkan amaun gulalah ya.

Komen Abid penggemar benda-benda manis macam ni, "Sedap ibu!!!!"

Arif pula..."nak agi!!Agi!!Agi bu!!"

Dua lagi tu, tak berapa suka sangat yang manis-manis ni...huhu. Sebenarnya tak suka nak mencuba benda baru yang mereka tak pernah makan, adeh!

Ok, untuk bubur sum sum ni memang aku suka sangat. Nanti boleh buat lagi di bulan puasa ya.

p/s: Mungkin boleh jadi inspirasi untuk menu berbuka esok atau lusa bagi kawan-kawan yang lain juga ya. Selamat berpuasa!Belum sempat BW lagi...sorry.


~ يوس ~

Thursday, July 19, 2012

Percubaan pertama : Apam pisang kukus

Hari ini teringin nak makan apam. Seumur hidup aku tak pernah buat apam tau! Takut sangat tak jadi.

Google sana sini mencari resepi apam pisang yang paling mudah. Tertarik dengan resepi apam pisang dari blogger Mat Gebu ini, maka aku pun beranikan diri mencuba.

Tapi cari-cari pisang emas di kedai tak jumpa hari ini. Adanya pisang berangan je.Berangan pun berangan lah, dari angan-angan selalu jadi kenyataan kan.

Hasilnya, tak secantik mat gebu punya, tapi puashatilah untuk aku yang pertama kali buat apam pisang ni. Anak-anak pun puji sedap. Sape lagi nak kata sedap pun kalau tak anak sendiri....ekekek.

Awat merekah bawah dia ekk? Janji rasa apam....

Senang aje buatnya, kenapa lah tak pernah nak cuba sebelum ni. Ok, nanti boleh buat lagi ya anak-anak.
Puasa pun dah dekat ni, harap-harap ibu rajin nak buat kuih-muih sikit untuk juadah tambahan waktu berbuka nanti. Wish me luck kawan-kawan.....:)

Resepi apam ni aku ambil dari sini.

Untuk adunan resepi mengikut sukatan ini, ngam-ngam dapat 12 ketul je apam, sekali anak-anak ngap, tinggal 6 ketul je. "Ibu buat sikit sangat kenapa?"

Adeh! Kena buat dua adunan nampaknya....
~ يوس ~

Tuesday, July 17, 2012

Kabur pandangan mata dan rendang ayam

Kadang-kadang aku terfikir, bagaimana agaknya bila nikmat melihat itu Allah tarik terus dari aku? Baru saja pandangan sedikit kabur, aku dah teraba-raba, rasa takut ada,rasa susahnya nak melakukan kerja. Syukur nikmat melihat itu masih Allah kurniakan kepada aku. Janganlah Kau tarik nikmat itu dariku Ya Allah. Sesungguhnya aku masih memerlukan nikmat penglihatan itu kerana aku tahu aku adalah hambaMu yang lemah.

Sebenarnya semalam rutin biasa check-up mata di klinik mata. Seperti biasa sebelum mata di periksa, ubat titis agar anak mata mengembang akan di beri. Hasil pemeriksaan alhamdulillah, doktor kata mataku semakin stabil selepas operation itu.

Biasanya semasa pengaruh ubat titis masih ada pandangan aku akan kabur. Namun selepas beberapa jam, penglihatan akan menjadi semakin baik. Tetapi semalam tidak tahu mengapa, penglihatan kabur itu tetap ada walau sudah beberapa jam, malah di saat aku menaip ini pun penglihatan aku tidak begitu terang seperti biasa. Penglihatan kabur itu hanya pada jarak dekat, untuk jarak jauh aku dapat melihat dengan baik walau sedikit pening. Kenapa agaknya? Tak kan aku rabun dekat pulak. Adeh! Susah rasa nak baca akhbar pun tak dapt semalam. Terkebil-kebil, malah nak baca sms pun susah. Penglihatan untuk jarak dekat terlalu kabur. Kesan ubat itu kuat sangat kah?

Hari ini nampaknya ada beransur baik. Namun masih belum begitu jelas. Kalau sampai esok sama, harus aku  berjumpa doktor semula ni. Sepatutnya next appointment 4 bulan lagi, tapi kalau macam ni, tak sampai 4 hari  kenalah di periksa. Susah rasa nak membaca...huhu. Menaip nasib baik aku ni kira ada basic menaip. Huruf-huruf di keyboard ni aku dah tahu mana duduknya walau tidak melihat dengan baik.

Maaf tak dapat rasanya berlama-lama depan lappy seperti biasa. BW pun aku tak berpeluang kerana mataku memang agak kabur untuk membaca. 

Apapun baru saja selesai masak rendang ayam tadi. Kemudian tu saja je letak rendang tu di pinggan putih. Konon-konon nak buat plating ala masterchef. Tapi takde pinggan putih 4 segilah kat dapur ni. Mana nak cari ekk pinggan macam dalam masterchef selebriti tu hahahha.


Ini rendang ayam aku hari ini....takde daun kunyit. Cari-cari daun kunyit di kedai Jue dan pasar, semua takde, guna daun limau purut sajalah. ..huhu. Beriya nak letak di pinggan kaler putih juga. Tak dapat yang 4 segi, bulat pun jadilah. Bila di hidang dalam pinggan warna putih, belum rasa dah nampak sedap kan...hihi.

Tahniah sebab Dato' Fazley menang. Kesian dia semalam kan, ulang alik antara dua dapur. Berbaloi berpenat-penat akhirnya juara juga...

p/s: kawan-kawan semua. Minta maaf belum sempat balas kunjungan. Tunggu mata aku kembali pulih macam biasa ya.....Rindu nak baca blog kawan-kawan semua....

~ يوس ~

Friday, July 06, 2012

Inspirasi dari MasterChef Selebriti konon nak berkaripap pusing lah pulak

Hoho, memang kuat juga pengaruh MasterChef Selebriti pada aku ni. Sejak dua menjak ni bila masak pun selalu jaga timing. Saja je set dalam kepala, 1 jam mesti siap juadah tengahari. Biasa main slow motion je, suka hati aku nak masak lambat-lambat sambil-sambil baca blog....ekekek.

Semalam kan puasa, tiba-tiba teringin sangat nak buat karipap pusing, teringat MasterChef Selebriti hari tu jugalah ni. Paling tak lupa, nama karipap pusing Farouk karipap herot petot tu....hihi.

Kalau nak kata pengalaman buat karipap, memang dah biasa buat dah. Beberapa kali juga up entri mengenai karipap hasil tangan aku. Antaranya di sini, sana dan sinun...hihi. Tapi karipap pusing, memang tak pernah lagi cuba buat.

Start buat pukul 5 petang, konon budget mesti siap goreng pukul 6 petang. Kata nak ikut ala masterchef kan. Tapi hampeh!!!Pukul 7 baru siap. Susah juga nak berkaripap pusing ni. Doh marjerin aku terlebih marjerin kot. Menyebabkan bila masuk inti aje, nak kelim tepi bahagian tengah yang berpusing tu terbukak....huhu. Failed!!! Memang tak boleh masuk masterchef nampak gaya...hahahha.

Bila goreng pun ada merekah lilitan pusingan karipap tu. Adeh!!! Sudahnya aku buat separuh doh aje yang berpusing, separuh lagi, aku gelek biasa je,Tak perlu nak gulung-gulung, jadi kan dia tak berpusing, lagi senang.

buat 4 doh, atas kiri doh biasa, bawah doh marjerin. Inti keledek aku buat semalam.

Nilah hasil karipap pusing yang cantik sikit pada pandangan aku. Yang merekah-merekah, terburai pusingan tu banyak juga...wakakak. Terlebih rapuh pun ya juga.  Aku namakan karipap pusing aku, karipap pusing berbintik-bintik hitam...hihi. Kenapa? Sebab ada nampak bintik hitam kecik sikit-sikit kan. Itu sebenarya sebab ada beberapa karipap yang intinya terkeluar sikit, jadi bila inti tu dah tergoreng dengan minyak sekali, keluarlah hitam-hitam kecil melekat pada kulit karipap yang lain.

Bila aku suruh SRD rasa, dia buat gaya ala Azwan Ali bercakap, "Ingat senang nak buat karipap pusing, berpusing-pusing jadinya. Nko ado...!"

Hahaha, laki aku, tapi nasib baik ayat last dia ada sambung, oklah, jadilah juga, terlebih rapuh kot, marjerin letak banyak. Tulah main ikut sukatan cempak-cempak je, suka hati aku je. Lain kali kena timbang betul-betul sukatan tu...hihi.

Yang penting terhasil juga karipap pusing aku, korang ado!.....

Eiiii....berlagaklah yus ni? Terelebih ngalahkan si AA pulak...huhu.

Alamak! korang gurau je tau! Tetiba-tiba teringat si AA tu.Takpelah ni percubaan pertamaku berkaripap pusing.  Tak mahu patah semangat. Kena cuba dan cuba lagi. Kengkonon nak jaga timing lagi ni, dua jam baru siap karipap, guano?....huhu. Tapi dapat banyak karipap lah, takdelah 4-5 ketul je macam dalam masterchef tu. Kira boleh di maafkanlah kan.

Sebenarnya rasa tak best juga, minggu depan double A dah takde kan, terkeluar sudah dia....huhu. Walau tak berapa suka dia mulanya, tapi dia tu memeriahkan suasana sebenarnya.

~ يوس ~

Friday, June 29, 2012

Masak dan makan sempena birthday SRD...

Amboi! Hari ni terlebih rajin. Entri ke 3 hari ini. Belum sempat nak bw lagi nampaknya. Tapi terover rajin nak mengupdate cerita. Tengah teruja, baik update sekarang kan. Nanti dah basi, tak best dah...hehe.

Pagi tadi dah wish birthday SRD di entri ini. Tahun ni takde hadiah istimewa untuk hubby kitalah. Main masak-masak dan makan-makan ajelah seisi keluarga. Yang penting ingat birthday dia kan...

Semua yang simple-simple aje.....

Apa yang aku masak dan makan tu ya?

Percubaan membuat aiskrim goreng sendiri. Ingat lagi entri aku mencari aiskrim goreng di Kuala Terengganu? Esoknya tu blogger fieda kongsi resepi aiskrim goreng ni pula di blognya. Haruslah aku cuba buat sendir kan. Sedap lah weh! Senang pula buatnya tu. Siapa-siapa yang belum pernah rasa aiskrim goreng tu dan teringin nak rasa boleh lah buat sendiri juga ya. Klik link blogger fieda ni.

Bila dah buat aiskrim goreng tu, banyak pula lebihan roti tak terpakai. Nak buang sayang, nak makan gitu aje, tak sedap pula. Makanya terhasil lah puding roti bersos kastard ni pula. Resepi seperti biasa aku ambil dari My Resipi lah. Resepi yang ni memang paling sedap aku rasa berbanding yang lain. Sebab sebelum ni pernah cuba resepi yang lain sikit, kureng sedap lah. Yang ni, anak2 suka sangat!

Makan tengahari hari ini pula soto daging bersama begedil kentang. Resipi begedil kentang aku pernah kongsi di sini kan. Cumanya gambar ni bukan gambar soto hari ini, tapi gambar lama dalam simpanan aku. Selalu juga buat soto ni, jadi gambar dah pernah ambil, lagipun hari ni lupalak nak ambil gambar soto tadi...ekekek.

Semuanya sempat untuk hidangan tengahari tadi termasuklah kek birthday ini. SRD memang biasa balik makan tengahari di rumah kalau hari Jumaat. Sebab dia akan bersolat di masjid berdekatan rumah dengan Aqil dan Abid. Tapi kek ni bukan hasil tangan aku ya. Yang ni aku tempah, takut tak sempat nak buat sendiri, sibuk dengan yang lain. Kek coklat ni tempah jelah. Sedap lah kek ni!! Kek coklat kukus yang superbb, siap dengan hiasan yang cantik. Anak-anak pun puji sedap. Pandai akak ni buat. Nanti boleh tempah lagi ya kak....
Sekali lagi untuk suami tersayang.....Selamat Hari Ulangtahun ya bang! Luv u always! Eh! Malam ni giliran abang belanja kitorang pulak kan?...hihihi.

~ يوس ~

Tuesday, June 26, 2012

Chocolate De' Amore vs Taman Coklat Nirwana dalam Masterchef Selebriti

Bila ada masterchef selebriti je di kaca tv, aku dok berebut tv dengan anak-anak. Mereka semua nak tengok Dragon Ball Z Kai di saluran 616. Abahnya pun sama. Nasib baik aku menang....haha! Mana boleh lawan ibu, walau terkadang ibu kalah juga.

Seronoklah tengok mereka buat coklat dalam cabaran sajian luar malam tadi.

Bila ketua bertukar apron, itu tambah lagi seronok. Dan aku suka team merah menang! Yea!!! Pinggan sajian mereka memang lagi kemas. Kredit untuk Dato' Dr Fazley. Macam rasa dia je yang menang masterchef selebriti ni. Tak sangka pandai masak rupanya

Chocolate De' Amore dari kumpulan merah
VS
Taman Coklat Nirwana dari kumpulan Biru
Kalau ada perempuan ni memang lagi nampak serabut kot ya, orang lelaki buat hiasan di pinggan lagi kemas je... Tu pasal Kumpulan Merah menang! Ada lagi coklat tambahan coklat putih berperisa pisang caramel tu. Terbaiklah kumpulan Merah!

Paling suka, Tomok tak perlu hadapi ujian penyingkiran lagi...hehe. Sokong Tomok ni!

p/s: Saja nak letak gambar coklat ni di sini, sebab teruja tengok coklat-coklat yang mereka buat. Aku bilalah nak pandai buat coklat ni. My sil kata senang je, aku yang malas nak cuba....huhu.


Sumber: FB Page MasterChef Malaysia

~ يوس ~

Wednesday, June 20, 2012

Mee siput masak sambal tumis cili padi

Menu feveret aku. Resepi dari bonda tercinta. Kalau balik rumah emak, dan dia masak lauk ni, mee siput tu 5-6 ketul pun boleh habis licin. Nasi satu periuk pun boleh habis. Aku, ayah, adik-adik semua suka. Lama sungguh tak makan menu ini. Bulan lepas aku teringin sangat, dan mulalah telefon emak tanya resepi semula. Untuk kepastian.

Sekali cuba, SRD pun suka. Setakat ini dah 3 kali buat di rumah ni, masih menjadi feveret. Pergghhh.....makan dengan nasi panas tak perlu lauk lain dah, tak pandang kiri kanan punya. Walau berpeluh-peluh makan menahan kepedasan, masih rasa nak cedok lagi ke pinggan. Adeh! Memang hancus diet bila buat lauk ni. Terus tak boleh tolak nasi. Makan gitu saja pun sedap. Yang penting sesuai untuk mereka yang memang kuat pedas macam aku.

Korang semua pernah makan tak menu ni?

rupa mee siput yang telah di buat sambal tumis cili padi.
Mesti korang biasa makan mee siput goreng makan dengan sambal tumis ikan bilis je kan. Tapi mee siput yang di rebus dan di buat sambal kemudiannya ni tak ramai kot yang biasa makan.

Resepi dari bonda aku senang saja.

Untuk semangkuk mee siput masak sambal tumis cili padi di atas ini yang di perlukan.

3 ketul mee siput ( di rebus sampai kembang dan di toskan)

bahan tumbuk:
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 genggam ikan bilis
21 biji cili padi
sedikit belacan

sedikit minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa
air asam jawa

Cara membuat:
Tumis bahan tumbuk sehingga naik baunya.
Masukkan air asam jawa garam dan gula secukup rasa.
Masukkan mee siput yang telah di rebus tadi.
Kacau rata sehingga masak.
Siap untuk di hidang

Serius ini memang antara lauk kegemaran aku di rumah. Lagi kalau masa makan ada adik bongsu aku bersama, boleh berebut2 macam tak cukup aje....huhu.

Dik!! Tetiba rindu nak berebut makan sambal mee siput ni dengan nko....hahahaha!Kat rumah ni ada geng berebut juga, cuma geng berebut aku ni tak berapa kuat pedas. SRD lah tu, so kalau aku buat terpedas sikit, dia kureng le berebut. Tapi kalau dengan adik aku tu, dia lagi hantu pedas dari aku, mau terangkat bontot makan pedas sangat....hehehe.


~ يوس ~

Wednesday, February 08, 2012

Mencuba resepi Tart Mini Buah Peach

Salam semua....

Agak lama blog aku ni bersawang kan.
Malas betul nak tengok blog.
Akibatnya, BE yang satu pun dah jadi ME.
Tulah saper suruh tak merajinkan diri kan....huhu.

Bila tak tengok blog, aku rasa badan lagi letih.
Macam-macam aku nak buat.
Kerja di rumah ni pula tak pernah habis kan.
Lepas satu - satu yang perlu perhatian kita.

Dalam letih-letih tu, ada hati juga nak mencuba resepi baru.
Sebenarnya cuti Maulidur Rasul hari tu balik Muar.
My sil buat pula tartlet buah peach yang sedap itu.
Masa dia buat aku tak tengok, sebab sibuk tidurkan Arif yang demam,
akhirnya aku pun tertidur sekali....huhu.
Bila bangun dah siap pun tart buahnya, sedap pula tu!

Balik rumah sendiri, mulalah sibuk nak buat.
Semalam aku memulakan operasi.
Tak salin pun resepi dari my sil, google sendiri ajelah.
Jumpalah resepi Tart Mini Buah Peach ini.
Cari-cari bahan, aku pun mencubanya.
Hasilnya......

tart mini buah peach aku!
Rupa macam tak menarik.
Aku tak pandai nak buat pastri dia.
Ada tebal ada nipis, al-maklum takde acuan tart yang macam tu.
Pakai tekan-tekan sendiri je, hehe.
Tapi rasa, ok alhamdulillah...
Bagi aku sedap.
Cuma kena beli acuan tart ni, kalau tak buruk lah rupa dia....huhu.

Ana!!! Akak dah buat juga...hihi.

~ يوس ~

Wednesday, January 04, 2012

Dua perserta bakal berentap di gelanggang akhir MasterChef Malaysia

Macam dah agak Ezani masuk akhir.
Tapi tak sangka pencabarnya ialah Wahidan.
Aku suka tengok Zamir tu.

Apa pun, kalau Wahidan yang menang, pasti berbaloi-baloi.
Boleh beli kebun lagi kot...hehe.

Ezani punya kerjaya yang baik.
Doktor gigi tu, pandai pulak masak.
Memang bertuahlah bakal suami dia nanti kan.

Ezani Farhana
vs
Wahidan
Agak-agak siapa yang bakal menang?
Tak sabar pula nak tunggu episod akhir nanti kan...
All the best untuk kedua-dua peserta yang mara ke akhir ini.

p/s: habis masterchef, tengok Dil To Pagal Hai di TV2. Masih bersiaran tu, belum pun sejam...hehe


~ يوس ~

Friday, December 30, 2011

Ibu! Buat cendawan goreng tepung ya!!

Jarang sekali nak dengar anak-anak aku request makanan untuk aku masak.
Biasa bila aku tanya,
"Apa-apa pun boleh ibu!"

Atau paling lebih mereka nak telur goreng.
Tapi sejak pertama kali aku buat cendawan goreng tepung hari tu,
semalam ada yang minta nak cendawan goreng tepung lagi.
Siapa????
Anak aku yang paling banyak mulut Abid Zulfan ..:x
Siapa lagi??? hehe.

Dan bila anak dah minta tu, tambah seronok nak buat selalu kan.
Kalau tak balik-balik lauk hampir serupa aje.

Aku tak ingat nampak di blog siapa.
Serius aku tak tahu pun sebelum ni cendawan sedap kalau di goreng tepung begitu saja.
Kalau tak tahu itu cendawan, dah rasa macam sotong goreng tepung pun ya juga.
Sungguh aku ketinggalan rupanya.

image hasil carian google
Aku tak tahu macam mana resepi dari orang lain untuk cendawan goreng tepung ni.
Tapi aku bantai sama aje macam aku buat sotong goreng tepung.

Kalau ikut cara aku;

  • Cendawan di siat kecil sedikit, basuh dan di lomor dengan sedikit garam, kunyit, dan serbuk lada hitam
  • Pukul telur dan kemudian masukkan cendawan tadi ke dalam telur.
  • Letakkan tepung jagung dalam satu bekas, ambil cendawan dari adunan telur tadi satu-satu dan gaulkan dengan tepung jagung tadi.
  • Siap untuk di goreng...angkat dan hidang.

Cendawan goreng tepung semalam, sekali buat terus licin.
Tak sempat ambil gambar, letak gambar dari mr google jelah...hehe.
Dan yang pasti gambar tu tak serupa macam yang aku buat,
sebab aku siat kecil2 cendawan tu, tapi dia besar-besar.

Korang mesti dah biasa buat dan makan kan.
Aku baru dua kali, tu yang jakun tu....hihi :p.

~ يوس ~

Friday, September 23, 2011

Puding Triffle SSL dan Arif si budak ligat

Salam Jumaat....

Semalam punya BW memang berbaloi-baloi.
Singgah di blog SSL dan lihat resepi puding triffle dia.
Nampak sangat menarik dan tertarik.
Aku ni memang tak pandai buat puding biasanya.

Petangnya SRD balik dari kerja terus beritahu aku.
"Bu, buatkan puding untuk esok boleh? Ada jamuan port-luck di office. Diorang suruh abang bawa puding."

Ha! Biar betul! Aku tak pandai buat puding biasanya.
Mesti tak menjadi, mesti tak sedap...huhu.
Tiba-tiba teringat resepi tadi, apa lagi terus kata dengan en SRD,
"Ok bang! Kita gi cari barang jom!"

Maka terjadilah puding triffle aku seperti di bawah ni...

SRD dah rasa yang dalam bekas kecik tu. Dia kata sedap, anak-anak pun suka.
Terima kasih kepada SSL, penyelamat aku ni...hihi.
Tak tahulah komen orang yang merasa hari ni.
SRD dah bawa ke office 2 bekas sederhana besar.
Missbby tolong rasa ya nanti...
Ok ke puding tu?...huhu

Sebagai selingan, saja nak tepek gambar Arif si budak ligat ni...
Gambar di ambil pagi tadi selepas abahnya pergi kerja.
Abah naik kereta pergi kerja, dia pun berangan nak bawa kereta..hihi

Ada gaya tak?

Muka orang baru bangun pagi...
Dia sekarang ni dah terover aktif rasanya.
Teringat pula masa majlis marhaban tempohari.
Hampis semua yang jumpa dia kata,
" Ligatnya dia yus!! Kat rumah pun macam ni ke?"

Budak ni memang tak reti duduk diam rasanya.
Ada saja yang di capainya...

Ikut siapalah tu agaknya ya abahnya???huhu

~ يوس ~

Thursday, August 11, 2011

Tepung Pelita oh Tepung Pelita....

Antara kuih tradisional yang selalu aku cari bila ke PARAM.
Tapi tahun ni kan aku berazam kalau boleh tak mahu ke PARAM.
Atau pun kurang-kurangkan lah ke PARAM tu kan...

Oleh kerana ingin sangat makan kuih ni.
Nampak pula sahabat aku Asmara buat kuih ni.
Harus aku cuba juga....
Maka semalam gigihlah aku mencari bahan-bahan untuk buat tepung pelita ni.

Tepung pelita hasil tangan aku Rupa kurang menarik, rasa superbbb.
Resepi ikut dari blog As

Tidaklah susah sangat membuatnya, cuma nak cari tepung Hoen Kwee tu aduhai!!!
Semua kedai di Senggarang ni aku terjah.
Jumpa juga di satu kedai ni, alhamdulillah.
Kedai yang pertama aku masuk, tapi aku tak nampak.
Sebab aku dok bayangkan tepung tu dalam plastik.
Rupanya bentuk tepung tu dalam bekas kecik je....hihi

Tak jumpa tepung Hoen Kwee hijau pun?? Putih pun putih le...haha
Al kisah nak cari tepung ni, mula-mula tak jumpa kan.
Kedai pertama aku pergi tu, aku tak tanya dengan tokey nya.
Kedai lain semua aku tanya, mereka kata tak tahu...huhu.

Dah sedih sebab tak jumpa.
Balik rumah, google di internet.
Cari image rupa tepung hoen kwee.
Bila dah nampak macam dalam gambar tu,
Pergi kedai semula, niat nak cari cendawan dalam tin untuk buka semalam.
Sekali jumpa daaaaa.

Nilah, sebab tak pernah buat sendiri kan tepung pelita ni.
Bila pertama kali nak buat gigih juga mencari bahannya.
Berkat azam nak kurangkan beli di PARAM.

Puashati!!! Sedap!!!
Sarung dia nak pakai daun pandan atau daun pisang, malas nak buat kan.
Guna bekas kecil2 tu pun jadilah....hehe.
Kalau ikut resepi tu, dapat banyak juga.
Aku dapat buat 22 bekas kecil seperti dalam gambar tu.

Siapa penggemar kuih tepung pelita ni, bolehlah cuba buat sendiri juga.
Tak susah juga buatnya kan As.

p/s: SUKA SANGAT SEBAB BERJAYA BUAT KUIH NI SEPERTI YANG SELALU DI BELI DI PARAM. BOLEH BUAT LAGI NI!!:x.

~ يوس ~

Friday, August 05, 2011

Menu berbuka : 5 Ramadhan...

Letih rasa hari ini....

Masa terawih pun rasa tersenguk-senguk, ngantuk!
Banyak betul setan bila nak buat terawih.
Habis terawih, elok pulak boleh ngadap blog...huhu.

Oklah, lupakan pasal itu.
Aku ni merajinkan diri sebenarnya.
Harus di update benda ni sebelum esok.
Sebab esok nak balik rumah emak di Melaka.
Takut lagi susah nak access pc dan update menu berbuka setiap hari...hehe

Menu yang nampak simple, tapi remeh nak buat...huhu.
Aku buat soto daging hari ini.
Kuah soto ni, baru pertama kali aku cuba buat.
Resepi baru, ada letak santan.
Biasa aku buat ikut resepi emak, ini saja nak cuba kelainan.
Ikut resepi dari sini.

Rasa memang agak lain, sedap, tapi agak masin kot aku buat...huhu.
Puasa kan..., boleh di maafkan lah ya.
Apa pun cik abang aku lebih suka resepi yang biasa aku buat,
Tapi anak2 kata yang ni sedap cuma masin sikit ibu!...huhu.

Ok, kita tengok gambar pula...

Soto daging dan nescafe ais

Kuih cara manis dan bubur lambuk ayam (bubur lambuk ni SRD bawa balik dari Uni)
Oklah. Masa untuk merehatkan mata...

Selamat Berhujung Minggu semua...:wavey

Salam....

~ يوس ~

Thursday, August 04, 2011

Menu berbuka : 4 Ramadhan...

Alhamdulillah, sudah habis 4 Ramadhan.
Esok dah masuk 5 Ramadhan.
Sekejap saja masa berlalu kan...

Bagaimana hari ini?

Alhamdulillah, hari ini dapat juga tunaikan solat terawih bersama anak daraku Alia di rumah.
Teringin nak ikut SRD sekali ke masjid...
Apa kan daya, ada Arif comel yang semakin nakal sekarang.
Pasti susah nak di bawa bersama ke sana kan.

Jadinya aku solat di rumah saja.
Plan aku nak catit semua menu ramadhan tahun ini di teruskan lagi untuk Ramadhan yang ke 4 ini.
Hari ini menu simple saja, tapi alhamdulillah, bertambah2 Abid dan suamiku makan.
(Ada orang tu kata nak kurang makan nasi, tapi lauk hari ni sedap kan bang....:p)

Ok, menu simple hari ini....

Ayam masak lada hitam bersama cendawan butang dan karipap kentang (karipap lagi?...hehe)

Kicap +cili+bawang sebagai penambah selera dan sawi masak air +carrot dan kentang

Teh ais
Simple je kan menu hari ini. Semalam lama sangat di dapur, hari ini masak yang ringkas saja. Karipap tu lebih dari yang aku buat di rumah mil hari tu, aku frozenkan. Ada lagi sikit, tinggal goreng saja

Menu esok apa pula ya?

p/s: masih belum lagi membeli di bazaar ramadhan. Kira azam aku nak kurangkan membeli di sana boleh tercapai kot. Harap mood memasak aku tetap ada sampai ke akhir Ramadhan. Bila selalu update menu di sini, rasa semangat nak memasak tu berkobar-kobar juga....Yus! InsyaAllah kamu boleh lakukan!:)


~ يوس ~

Wednesday, August 03, 2011

Menu hari ke 3 Ramadhan...

Curi masa sekejap malam ini walau sebenarnya badan rasa letih..huhu

Kalau petang tadi aku senaraikan menu yang hendak di buat, malam ni nak kongsi gambar menu-menu tadi.

nasi goreng mentega + daging merah ala thai

Carrot susu yang marvelesss. Yang ini aku teguk bergelas-gelas....huhu, terus kenyang. 7 batang carrot tau untuk buat satu jug carrot susu tu. SRD yang buat. Sedap bang! TQ tolong buat air ni tadi:x

Menu lain malas nak ambil gambar satu-satu. Ada cucur udang, tom yam putih lebih menu buka semalam, ayam goreng dan laksa ( yang ni jiran sebelah beri)
Siap je masak, letih rasa mengemas. Nasi tu tinggal semangkuk kecik tak habis, cucur udang pun ada lagi sikit, daging ada lagi untuk sahur, laksa dari jiran belum bersentuh....huhu. Kenyang alhamdulillah.

Rasa esok tak nak masak banyak menulah, penat!! Tapi apa nak masak esok ya?

p/s: hari ini belum habis dah fikir menu esok...huhu. Nilah orang perempuan kan....
Selamat Berpuasa di hari ke 4 Ramadhan pula....:).

~ يوس ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...