Showing posts with label Petua. Show all posts
Showing posts with label Petua. Show all posts

Saturday, October 13, 2012

Tips @ Petua untuk dapatkan anak perempuan

image ehsan google

Ini entri copy and paste.

Untuk bacaan aku juga. Dalam banyak-banyak yang aku google, ini paling menarik perhatian aku.

SUMBER : ayahmama.com

1. Mulakan dengan doa dan niat untuk memperoleh jantina bayi perempuan.

2. Pastikan hubungan seksual dilakukan pada waktu subur isteri iaitu antara hari kesebelas hinggalah hari kesembilan belas dari kiraan pertama datangnya haid.

3. Biarkan suami melepaskan hanya lima puluh peratus sahaja spermanya ke dalam rahim isteri sementara bakinya dirembeskan di bahagian pangkal rahim.

4. Selepas berasmara, isteri digalakkan tidur mengiring ke sebelah kiri dan sekiranya membelakangkan suami maka mintalah izin terlebih dahulu.

5. Akhiri dengan doa agar hajat yang diinginkan dimakbulkan oleh-Nya.

Amalan pemakanan ketika janin berusia satu hingga empat bulan :

1. Banyakkan pengambilan sayur, sup, asam serta jenis yang beralkali.
2. Lebihkan buah-buahan .
3. Elakkan dari mengambil minuman berkarbonat.

Perbuatan yang digalakkan ketika kandungan berusia satu hingga sembilan bulan

1. Amalkan membaca surah Yusuf dan Maryam.
2. Usap kandungan dengan lembut dan panggillah bayi anda dengan nama Maryam atau Siti Aishah.
3. Banyakkan berdoa agar permintaan anda dikabulkan.

Ini satu lagi yang menarik.


1. Petua dapat bayi berambut kerinting

Amalkan memakan 5 hingga 10 biji kerang rebus setiap hari.

image dari entri ini.

















2. Petua dapat bayi berkulit halus dan cerah

Amalkan memakan sayuran hijau setiap hari. Contohnya seperti sayur bayam.

















Di samping itu,  lebihkan juga pengambilan telur ayam kampung.

Jika diizinkannya, pasangan akan dikurniakan bayi atau anak yang berambut kerinting walaupun kita dan pasangan berambut lurus.

Begitu juga dengan petua kedua. Walaupun kita dan pasangan berkulit gelap tapi inginkan zuriat yang berkulit halus dan cerah, amalkan saja petua tersebut.

Wah! Serius teruja nak cuba bab amalan pemakanan tu. Amalan surah tu memang dari dulu dah amalkan, tapi bab pemakanan tu belum pernah praktikkan lagi. Sesungguhnya kita merancang Allah yang menentukan, namun tak salah mencuba kan. Apa pun jantina bayi yang lahir nanti, yang penting dia sihat dan baik-baik saja.....Aminn.



~ يوس ~

Friday, October 14, 2011

Petua Pisang Tanduk masak sekata

Aku nak berkongsi satu petua yang aku belajar dari jiran aku sorang ni.
Belakang rumah dia memang penuh dengan pokok pisang, sukun, buah naga.
Dah selalu aku dapat merasa hasil tanaman dia.

Kali ini dia beri aku pisang tanduk pula.
3 biji pisang tanduk yang dia beri itu masih mentah.
Aku dapat 2 hari yang lalu.

Pisang tanduk yang aku dapat.
Pesan akak Zura ni kepada aku;
"Yus! Nanti balik letak garam tau di hujung pisang tu. Tabur je sikit di situ, supaya pisang tu semua masak saing dan sekata"

Oh!! Baru ku tahu..hehe
Maka sampai di rumah, aku pun buatlah seperti yang di pesan.
Dan hari ini selepas 2 hari, pisang tanduk itu sudah pun masak.
Dan masaknya betul sekata!!
Semua masak serentak!

Pisang tanduk ini masak serentak!
Kalau tak letak garam, biasanya pisang tu tak masak serentak.
Itulah petua yang di perturunkan oleh Kak Zura jiran ku ini.

Uolls pun, kalau beli pisang tanduk mentah, bolehlah amalkan petua yang sama ya.

Erkkk..pisang lain pun sama kot. Tak kan pisang tanduk aje kan...:p

Nak tanyalah!
Pisang tanduk biasa sedap di buat apa?
Aku tahu goreng saja...
Kalau buat pengat ke, sedap tak?;)

~ يوس ~

Sunday, July 10, 2011

Jangan di basuh baju itu...

Teringat sewaktu anak ku baru seorang,
Pesan dari emak yang aku ingat sampai sekarang
Kali pertama SRD berjauhan dari kami

"Jangan di basuh baju abahnya tu..."
"Nanti kalau anak meragam, selimutkan dia dengan baju tu"

Itu petua dari emak aku.
Sampai sekarang, setiap kali SRD bekerja di luar kawasan
Baju terakhir yang dia pakai, aku tak basuh
Akan aku simpan sehingga dia pulang

Kalau anak-anak meragam, terutama yang kecil
Akan aku letakkan baju abahnya di sisi
Buat penghilang rindu kata emak...

Tapi nampaknya, anak-anak tak kisah sangat
Aku yang terlebih ...huhu
Baju pengubat rindu...:">

Korang ada tak macam tu?
Atau mungkin ada petua lain yang boleh di kongsi...
Bolehlah kongsi di sini ya.... :)


~ يوس ~

Thursday, January 13, 2011

Bawang putih, bawang merah..........

[gambar]: ehsan google
Ini kisah tengahari semalam. Selepas ambil Abid dari sekolah, aku ke pejabat pos bersama Abid dan Arif. Selepas selesai urusan di pejabat pos, kami menunggu Aqil dan Alia habis sekolah di dalam kereta. Sekolah dan pejabat pos sepelaung saja.

Ada lebih kurang 15 minit lagi sebelum waktunya tiba untuk mereka habis kelas. Abid dah mula resah di dalam kereta. Dialog kami berdua di dalam kereta berbunyi lebih kurang begini :

Ibu! Abid nak ber*k ni. Cepatlah ibu.

Ha! Mana boleh. Kejap lagi Aqil dengan Alia dah nak keluar. Abid tahan dulu ye.

Abid dah tak tahan ni. Ber*k kat dalam longkang je lah ibu. Ke dekat rumput pun boleh kan.

Mana boleh. Abid ni. Sini mana ada tandas. Tak boleh ber*k sepah-sepah. Nanti orang marah.

Tapi Abid dah tak tahan ni.

Tiba-tiba aku teringat cerita dari SRD sewaktu dia kecil dulu. Kata SRD kalau rasa nak 'melepas', tapi tak jumpa tandas, atau masih jauh perjalanan, mak jah nya suruh sebut "Bawang putih, bawang merah" berulang kali. Selepas daripada itu, pasti akan hilang rasa nak 'melepas' tu. Aku pun suruhlah Abid sebut....

Abid sebut macam ni tau, dan jangan lupa usap-usap perut Abid tu.

Bawang putih, bawang merah
bawang putih, bawang merah
Tunggu dulu, tunggu dulu,
Tunggu Abid sampai rumah

Abid pun sebut le pantun tak serupa pantun di atas beberapa kali sambil mengusap-usap perutnya.

Sampai satu ketika, dia berhenti. Aku dah risau, terus aku kata dengan dia,

Bawang putih, bawang merah
Bawang putih, bawang merah
Tunggu dulu, tunggu dulu,
Tunggu Abid sampai rumah.

Nak tahu apa Abid kata? Dia kata....

Ibu pun nak terber*k ke? 
Kenapa ibu sebut tu. 
Abid dah tak rasa nak ber*k pun. 
Ibulah yang nak ber*k tu.

Bertuah punya anak...../:)

~ يوس ~

Saturday, January 08, 2011

Arif Demam dan berurut

Salam hari Sabtu semua...

Lambat bersiaran hari ini.

Dua hari sudah Arif demam. Malam tadi paling mencabar bagi aku. Dua malam sebelumnya setakat merengek sikit-sikit saja. Tapi malam tadi, tak tidur kami di buatnya. Serba tak kena. Apa yang salah tak tahulah.

Makanya hari ini, aku memutuskan untuk bawa Arif pergi berurut. Ayah aku selalu kata, kalau anak kita demam, badan dan kepala panas, tapi kakinya sejuk saja, itu maknanya demam urat. Haruslah di bawa berurut, kalau tidak demamnya lambat kebah.

[gambar]: ehsan google

Makanya pagi tadi aku ke rumah bidan Mak Long yang urut aku masih berpantang tempohari. Dah terlanjur nak hantar Arif berurut, aku pun tumpang sekaki :p.

Tak dapat di gambarkan kelegaanya. Umpama body massage...>:D< .Best tau berurut ni. Lebih-lebih lagi dari tangan bidan Mak Long tu. Memang best. Lega segala urat saraf. Badan aku memang dah banyak angin. Tambahan pula aku rasa susu aku pun macam berkurang saja. Bila berurut boleh memperbanyakkan bekalan susu juga.Susu pun dah mula melimpah-limpah setelah selesai berurut.

Sana sini ada angin. Kaki, bahu, leher. Sampai terkent*t - kent*t di buatnya :D. Mak Long pun cakap, badan aku dah banyak angin. Lepas berurut, rasa lega. 1 jam lebih tau dia urut. Rasa nak tertidur pun ada sebab best sangat. Tapi upahnya sangatlah murah. Berpatutan.

Selesai mengurut aku, baru Mak Long urut Arif. Memang betul dia dah salah urat. Menjerit-jerit dia di urut. Tapi bila selesai, terus tersenyum. Lepas tu tidur dengan nyenyak. Alhamdulillah. Harap demamnya pun berkurang. Bila aku check tadi memang dah tak panas badannya.

Nota kaki: Ada tetamu nak datang rumah. Kawan masa di UK dulu. Tak sempat lah aku nak BW hari ini...:(
~ يوس ~

Saturday, October 23, 2010

Petua untuk memperbanyakkan susu badan

Hmm...tak tahulah kenapa aku rasa susu makin berkurang. Arif memang kuat menyusu, tapi cara dia menyusu agak berlainan dari kakak dan abangnya sebelum ini. Lebih kerap, tapi sekejap-sekejap. Sedut 3-4 kali lepas tu dia lepaskan, kemudian mulalah dia mencari semula puting untuk menyusu. 

Dia juga dah pandai nak mengamuk...contoh kalau lambat di tidurkan, atau bila aku lambat datang padanya masa dia dah mula merengek. Mengamuk yang tak ingat punya, susah betul nak pujuk...huhu. Adakah mungkin kerana susu ibu kurang sayang.... Tapi bila aku perah, dapat banyak juga, apalah yang tak kena agaknya.

Ini bukan kali pertama aku BF, so, aku rasa sepatutnya takde masalah. Tapi mungkin aku terlupa. Aku google untuk mendapatkan petua memperbanyakkan susu badan ni. Aku senaraikan di sini untuk kegunaan aku sendiri juga..

  • Pergi berurut - yang ni aku tahu memang betul berkesan. Setiap kali lepas berurut, memang rasa susu tu banyak je keluar.
  • Banyakkan minum air suam - memang hari-hari aku amalkan.
  • Banyakkan minum susu, soya dan jus buah-buahan - ini selalu  aku terlupa,jadi kena minum susu dan jus banyak lepas ni.
  • Mengambil lebih banyak makanan berprotein - hmm hari2 rasanya aku ambil, mungkin belum cukup banyak kot.
  • Mengambil lebih banyak sayur-sayuran seperti lobak putih, sawi dan brokoli - hmm..rasanya asyik sawi jer, kena cuba lobak putih dan brokoli pulak lepas ni.
  • Minum air barli/horlicks dan apa jua yang berasaskan bijirin, cth quaker oat - ini tak pernah cuba, lepas ni kena cuba ni.
  • Minum air longan kering yang di rebus - ini baru pertama kali tahu, kalau kritikal sangat baru cuba kot.
  • Makan jantung pisang,pucuk manis, kuchai, pucuk betik dan betik muda - aku suka pucuk manis dengan betik jer...macam mana ni?
  • Minum air asam jawa yang di rebus dengan gula merah bersama dengan 3 keping asam keping - ini pun baru pertama kali aku dengar...boleh cuba nanti.
  • Memperbanyakkan kekerapan menyusu - ini memang dari dulu di amalkan   
  • Mengambil makanan tambahan seperti spirulina dan habbatus sauda - kalau ada budget lebih, bolehlah cuba kot.
Cukuplah ni, senarai banyak2 macamlah aku akan cuba semua. Apa yang pasti aku nak BF Arif lebih lama dari sebelum ni. Aqil, 3 bulan je, Alia 1 tahun setengah, Abid 1 tahun. Harap-harap untuk Arif dapatlah aku BF 2 tahun atau lebih.
~ يوس ~

Wednesday, August 25, 2010

Bentan dan bengkak susu

Selalu orang sebut, masa berpantang kena berhati2 takut bentan. Aku sendiri tak berapa faham istilah bentan ni. Kata emak aku, bentan ni terjadi kalau kita terambil makanan yang sejuk atau tersepak sesuatu benda yang keras ketika dalam pantang. Selalunya badan akan jadi seram sejuk dan menggigil. Lebih teruk lagi, elok2 darah nifas dah tinggal sikit, boleh jadi banyak semula..tumpah darah kata mak.Sebab tu, masa pantang kena jaga makan dan jangan terlalu lasak, takut  bentan.

Al kisahnya, masa berpantang kali ini, aku memang agak lasak kot. Anak dah ramai sikit, lepas tu, Arif pulak kena kuning, jadi kena berulang-alik ke klinik dan hospital untuk buat check-up. Aku pun tak perasan apa yang tersalahnya, tapi aku rasa, pagi tu aku ke klinik memandu sendiri. Hari tu, malas pulak nak sapu param ke seluruh badan seperti selalu sebelum keluar. Balik tu, tengok tv, entah macam mana remote control astro yang aku pegang boleh jatuh betul2 kat kaki aku. Sakitnya!!

 Lepas tu aku berehat sekejap. Tertidur. Tiba2 aku rasa badan seram sejuk, dah pakai sweater dan stokin + berselimut seluruh badan pun masih rasa badan seram sejuk, mengigil2. Aku rasa macam nak demam. Terus aku telan panadol. Rasa macam lega sikit, tapi lepas tu datang balik. Batuk pulak menjadi2. Aku telefon mak beritahu dan tanya, mak kata nko bentan kot. Ha! Sudah...lepas tu tanya pulak dengan MIL yang ketika itu ada di rumah aku. Dia pun kata mungkin yelah kot aku bentan. Dia suruh aku berehat, dan minum ubat periuk lagi. 

Aku cari2 dalam internet, petua untuk atasi bentan. Antaranya cepat2 sapu minyak panas, pakai sweater, berselimut dan berstokin. Yang ni memang aku dah buat. Lepas tu, satu lagi aku jumpa, minum air kopi panas. Bila aku minum jer air kopi panas2, memang rasa badan lebih segar + minum air ubat periuk panas2. Esoknya, alhamdulillah hilang seram sejuk badan aku.

Satu pengajaran buat aku, bila nak keluar jangan lupa pakai param. Aku rasa kali ni, memang habis stok param aku tu. Biasa aku selalu ngelat...kalau tak berparam pun, aku sapu seluruh badan dengan minyak panas. Ubat periuk pun kali ni paling banyak aku minum. Biasa dua tiga cawan jer...kali ni bercawan2. Kira lebih banyak dari pengalaman yang lepas...tu pun ada ngelat juga sebab aku memang tak suka dengan air ubat periuk tu...pahit dan kelat jer rasa dia.

Habis cerita pasal bentan, ni pasal bengkak susu pulak. Biasa aku memang kena bengkak susu ni. Pengalaman yang lepas, aku suka letak dengan daun kobis tu bila bengkak susu, mula2 rasa lega, tapi lepas tu rasa panas jer..dan sakit bengkak susu tu datang balik. Dah sebulan pun masih mengalaminya. Tapi kali ni, minggu pertama saja aku kena bengkak susu ni. Ikut petua dari mak long bidan yang urut aku tu. Dia buatkan air ramasan daun sirih + sedikit bawang merah dan beras. Sapukan air tu ke payu dara yang bengkak akibat susu yang penuh tu. Lepas tu terus rasa lega..alhamdulillah. Dan selepas daripada tu, takde lagi masalah bengkak susu....aku suka sangat. Biasa pakai breast pad punyalah banyak, kali ni aku guna sekali jer..pas tu takde masalah pun. Mungkin sebab Arif pun kuat menyusu.

Oklah....ada yang minta nak lihat gambar terbaru Arif kan....

Arif dah semakin besar.....
~ يوس ~

Friday, August 20, 2010

Penyakit kuning/jaundice...petua dan keberkesanannya

Hari ke 25 berpantang. Aku dah semakin segar. Alhamdulillah penyakit kuning Arif pun dah pulih. Hari terakhir aku hantar dia ke klinik untuk buat check-up adalah Isnin lepas. Sekali lagi aku drive sendiri ke klinik dengan membawa Abid sebagai teman...Bacaan kuningnya 7.1....dan oleh kerana hari itu adalah hari ke 21 aku selamat melahirkan, misi tu terus buat rutin check-up untuk aku sekali. Mentang2 aku dah ke klinik, ambil kesempatan juga misi ni..huhu, tak perlu dia ke rumah aku lagi. Tak apelah...semuanya ok. Berat aku pun dah turun 10.5kg dari berat akhir aku masa pregnant hari tu. Alhamdulillah. 

Aku nak cerita pasal petua2 yang aku dapat dari internet dan juga dari kenalan untuk mengatasi penyakit kuning pada baby ni. Pengalaman pertama aku anak kena kuning, memang gelabah jugalah. Semua petua yang aku dengar, aku cuba buat tapi aku rasa tak semua pun berkesan.

1. Minum susu kambing dan beri pada anak sikit.
   
- Yang ni aku habis 3 botol juga susu kambing tu. Pada Arif aku beri satu sudu kecil jer. Tapi kuningnya makin menjadi dan terus dia di tahan wad hari tu..huhu. Akak ipar kata, anak dia kena kuning dia minum susu kambing ok, tapi aku pulak makin tak ok. Bidan yang urut aku cakap, tak semua orang boleh minum susu kambing. Mungkin Arif tak sesuai..so, aku pun stop dari ambil susu kambing ni. Kat fridge ada lagi dua botol belum berusik..huhu, SRD pun beli banyak sangat saper suruh. Anak2 lain tak nak pulak minum, mereka kata susu kambing masin..haha.

2. Makan buah anggur hitam atau hijau.
   
- Yang ni aku pun tak pasti mana satu betul, ada yang kata anggur hitam, ada yang kata anggur hijau. Tapi bidan yang urut aku kata, dua2 pun boleh, dan aku lebih prefer yang warna hijau. Lebih manis dan sedap..hehe. Banyak juga aku telan anggur masa berpantang ni, untuk Arif ada aku perah airnya dalam dua biji jer sehari. Aku tengok memang ada pengurangan sikit. Dia pun suka bebenor...bukan main kecap kecup mulut dia bila merasa air perahan anggur ni.

3. Minum air glukos.
   
- Aku jugalah yang menelan air glukos ni. Banyak juga aku teguk, nasib rasa dia sedap. Ada juga aku kasi Arif sesudu dua. Dia pun suka juga...

4. Mandikan bayi dengan air rumput kuning. (Beli dari kedai ubat cina (sinsei) )

- Ni SRD yang pergi tanya kat kedai ubat tu cina tu, pastu tabib sinsei tu sarankan mandikan baby dengan air tu. Bila di rebus air ubat tu, memang kuning gila lah. Macam air teh pun ada rupanya. 4 kali aku mandikan Arif dengan air ni. Arif pun syok jer mandi air tu, aku rasa ada kesan yang positif juga, sebab setiap kali lepas mandi air tu, bila gi check-up bacaan pun menurun. 

5. Mandikan bayi dengan daun belimbing besi.
   
- Ni aku dapat dari jiran aku no 1. Dia kata, anak sulung dia dulu kena kuning gak, dia mandikan dengan air daun belimbing besi nilah. Terus ok. Mula2 tak tahu nak cari kat mana. Sekali satu hari tu, mak cik aku dari Srg Buaya telefon kata nak datang jenguk baby. Terus aku teringat rumah dia ada pokok belimbing. Aku pesan suruh dia bawak daunnya. Sekali dia datang, bukan saja daun belimbing besi dia bawa, daun belimbing buluh pun dia bawa sekali. So, aku pun cubalah mandikan kat Arif.Tak tahulah berkesan ke tak sebenarnya ni, sebab semua aku cuba kan..hehe.

6. Minum air gula kundur.
   
- Petua ni SRD dapat dari budak farmasi kat Parit Raja tu. Mula-mula ingat kena cari buah kundur. Sekali kata dia, beli jer gula batu buah kundur tu. Rendam gula batu tu dalam air, pas tu minum airnya. Maka aku pun menelan jugalah air gula kundur ni. Sedap juga rasanya, Arif pun aku kasi sesudu dua. Suka dia...

7. Makan buah kurma.
   
- Memang kali ini, mulut aku ni tak berhenti makan buah kurma kot. Nasib lah tekak ni rasa sedap jer. Dapat petua dari seorang kenalan. Cuba jangan tak cuba.

8. Susukan bayi dengan susu anda lebih kerap.
   
- Rasanya petua ni yang paling berkesan. Apapun, jangan berhenti susukan bayi anda. Arif pun memang kuat menyusu, tapi entahlah..dah sakit kuningnya lama juga baru ok kan. Dari hari ke 3 sampai hari ke 21 baru bacaannya normal. Apapun alhamdulillah....

Rasanya itulah petua yang aku dapat dan aku dah cuba. Ada petua lain, macam mandikan dengan air bunga kuning yang biasa dapat kat tepi jalan tulah. Tapi yang tu aku tak cuba pun, so...tak tahulah kan. Apa pun, memang agak mencabar juga bila anak kena sakit kuning ni. Dengan aku yang tak dapat berpantang betul. Siap bentan lagi aku....mana taknya, belum lepas hari dah asyik kuar rumah jer kan. Memandu sendiri lagi. Cerita bentan nanti aku buat entri lain...Satu pengalaman baru yang tak boleh lupa.
~ يوس ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...