Showing posts with label sharing. Show all posts
Showing posts with label sharing. Show all posts

Tuesday, December 16, 2014

Inspirasi Teknik BAD

Assalamualaikum, salam sayang buat semua yang masih sudi baca blog saya ◕‿◕。.

Hari ini rasa nak berkongsi dengan semua apa  yang berlaku hari ini.

Al-kisahnya hari ini keluar jalan-jalan dengan anak5 ke pekan. Mulanya ke bank, kemudian ke kedai gambar, ambil gambar pasport untuk Aqil naik sekolah menengah nanti dan kemudian fotostat dokumen-dokumen yang perlu untuk pendaftaran sekolah nanti.

Sempat ber'wefie' sebelum memulakan perjalanan ◕‿◕。. Nampak tak ada seorang budak tu menyorok?

Antara dokumen yang di fotostat ialan slip keputusan UPSR dia yang baru hari tu. Selesai semua, sampai rumah dah hampir pukul 1. Perut dah lapar, letak saja semua barang-barang yang di bawa atas katil, terus ke dapur urus apa yang perlu untuk makan. 

Sampailah selesai makan tengahari, rehat sekejap, solat Zohor, tidurkan Amani dan kemudian baru periksa semula sampul yang berisi dokumen dan salinan fotostat dari kedai tadi.

Periksa punya periksa, semua yang di fotostat ada, tapi dokumen asal slip keputusan UPSR Aqil hilang!!! Huwaaaaa..........!!!

Memang terus panik, mana pergi slip UPSR dia ni??

Keluarkan semua, periksa satu-satu, tiada juga. Periksa juga di fail dia kotlah dah simpan atau dia simpan. Tanya Aqil jawapan memang dah tahu, " Ibu yang bawa tadi kan, Aqil tak tengok pun lagi bu. Hilang ke??"

Dalam hati rasa sedikit menyesal juga, kenapalah tadi tak periksa dulu masa di kedai tu. Bila dah pasti dalam rumah tiada, terus cepat-cepat capai tudung, berdesup drive semula ke kedai tadi. Dalam hati terdetik, "Ya Allah, di manalah slip UPSR Aqil ni?"

Sampai kedai, tanya pada adik yang fotostat tadi, jawapannya takde juga. Dia pasti, dia dah masukkan dalam plastik sekali dengan dokumen lain. Hati cuak sangat, sebelum keluar dari kedai sempat pesan pada adik tu, kalau jumpa simpankan.

Sambil jalan ke dalam kereta, sambil tu juga mulut tak henti menyebut, " Ya Allah, di manalah slip ni tercicir Ya Allah. Adalah slip UPSR Aqil ni Ya Allah. Temukan aku semula dengan slip asal UPSR anakku ni Ya Allah. Janganlah slip itu hilang Ya Allah. Adalah hendaknya di mana-mana Ya Allah, Dalam rumah, atau di mana juga ianya tercicir. Temukanlah aku semula dengan slip UPSR Aqil Ya Allah. Aku yakin ianya masih ada Ya Allah. Ianya tidak hilang, cuma aku yang tak nampak. Tunjukkan pada aku Ya Allah!! "

Memang sepanjang perjalanan dari kedai fotostat kerumah itulah yang saya sebut berulang-ulang. Inspirasi dari #TeknikBAD yang baru di baca beberapa hari lalu.

Sampai saja di rumah, baru nak ambil beg dan plastik yang berisi dokumen yang lain tadi, tiba-tiba mata terperasan dengan satu kertas putih kecik terselit di celah pintu sebelah, penumpang. Ya Allah, terus capai dan betul, itulah kertas yang saya tercari-cari tadi. Terima Kasih Allah !!!

Memang berjaya dan berkesan #TeknikBAD ni kalau kita yakin. Mungkin Allah tak beri cepat, tapi lambat laun dapat juga. Suka sangat baca mengenai BAD ni.

Kawan-kawan yang nak tahu apa itu Teknik BAD, jemput ke link ini [Klik]


Atau jika ada yang tak boleh nak download, boleh tinggakkan email address di ruangan komen, nanti Yus bagi menerusi email. Ikhlas, benda baik biar di kongsi dengan semua kan.

Saya pun dah cuba juga untuk beberapa perkara, antaranya #TeknikBAD untuk lebih mudah bangun awal pagi sebelum azan Subuh, alhamdullillah berjaya lakukan untuk 3 hari ini. Terima Kasih Allah.


~ يوس ~

Sunday, November 23, 2014

SEMAKAN KEPUTUSAN UPSR 2014 MELALUI SMS

Pagi ini menerima WhatsApp dari rakan yang juga seorang guru tentang tarikh pengumuman keputusan UPSR 2014. Anak ambil periksa, ibu yang berdebar sama...huhu. 

Di maklumkan, calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2014 akan memperoleh keputusan UPSR mereka pada 26 November ini. Selain daripada mendapatkan keputusan di sekolah masing2 pada hari tersebut bermula jam 10 pagi,  keputusan boleh juga disemak melalui SMS bermula jam 10:00 pagi 26 November 2014 sehingga 11:59 malam 2 Disember 2014.

Ini image yang saya terima dari rakan ; Makluman untuk murid/ibu bapa/penjaga Tahun 6 mengenai Semakan Keputusan UPSR melalui SMS.


Semua dah mudah sekarang kan. Segalanya di hujung jari. Tapi kesian pula pada Aqil anakku, kerana pada hari yang sama 26 November tu, dia masih perlu menghadapi kertas akhir untuk peperiksaan SDEA ( Sijil Darjah Enam Agama). Peperiksaan dahlah habis pukul 12 tengahari, tak dapatlah nak pergi sekolah ambil keputusan awal, kiranya ibu jelah yang tolong ambil keputusan ni nanti ya...

26 November, hari akhir peperiksaan SDEA bagi murid2 sekolah agama Kerajaan Negeri Johor.
Rasanya tak tenanglah jawab periksa SDEA dia ni. Semua gara-gara pengulangan beberapa kertas UPSR 2014 menyebabkan tarikh keputusan lambat dari biasa, kalau tidak pengumuman tentu tidak bertindih dengan tarikh peperiksaan SDEA ni.

Takpelah, kena fikir yang positif. Semoga keputusan peperiksaan kedua-duanya UPSR dan SDEA tidak mengecewakan.



Murid Yang Mendapat Keputusan Cemerlang

Bagi calon yang mendapat keputusan cemerlang boleh memohon kemasukan ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

Maklumat permohonan boleh rujuk melalui judul pautan (link) yang disertakan

Klik – Permohonan SBP Tingkatan 1 permohonan sudah dibuka pada 1 Oktober hingga 30 Oktober

Klik – Permohonan MRSM Tingkatan 1 permohonan akan dibuka mulai tarikh keputusan UPSR diumumkan

Pautan sumber : [Klik]


Untuk Aqil, dia dah kata dapat 5A atau tidak, tak mahu pergi mana-mana Asrama...huhu, tapi ibu dia 50-50, kejap nak anak masuk asrama, kejap kata tidak. Ibu yang konfius ya Aqil...hihi, yang nak belajar dia, apa2 yang terbaiklah nak...

Sama-sama kita doakan semoga anak2 yang ambil UPSR tahun ini mendapat keputusan yang cemerlang, Ameen.

~ يوس ~

Sunday, February 09, 2014

7 tanda-tanda anak anda SAYANG pada anda

1. Bayi anda yang baru lahir merenung tajam ke dalam mata anda
Sebenarnya dia sedang bekerja keras untuk menghafal muka anda. Dia tidak memahami apa-apa lagi tentang dunia , tetapi dia tahu anda adalah penting!.

2. Bayi anda fikirkan tentang anda walaupun anda tiada di sisinya.
Antara 8 dan 12 bulan, dia akan mula mengerutkan mukanya dan melihat sekeliling apabila anda meninggalkan bilik, dan dia akan tersenyum apabila melihat anda kembali.

3. Anak kecil anda melemparkan tantrums jahat
Apabila mereka menjerit kuat dan tak terkawal, itu bukan bermakna dia berhenti mencintai anda . Dia tidak tidak akan menunjukkan dia begitu terluka dan marah jika dia tidak mempercayai anda begitu mendalam . Ini berlaku kerana anak anda terlalu mempercayai anda!

4. Anak kecil anda berjalan kepada anda untuk keselesaan apabila dia terjatuh ke bawah atau sedang bersedih.
Kanak-kanak zaman ini mungkin tidak benar-benar memahami maksud " I love you, " tetapi tindakan mereka menunjukkan maksud lebih baik daripada perkataan.

5. Anak prasekolah anda memberi anda bunga yang dipetiknya dari taman
Atau apa jua hadiah lain yang di fikirnya sesuai untuk anda. Dia sayang anda!

6. Anak prasekolah anda mahu perhatian dan kelulusan anda
Dia akan mula menjadi lebih berkerjasama di rumah dan dia akan mencari peluang untuk menarik perhatian. " Lihat saya ibu ! ", tindakannya akan menjadi petunjuk kepada anda .

7. Anak anda yang sudah bersekolah mula berkongsi rahsia mereka dengan anda
Ini mungkin boleh menjadi saat pertama mereka menyukai seseorang atau saat yang paling memalukan beliau. Anda orang kepercayaan beliau , walaupun dia malu untuk menyatakan,dengan memeluk anda pun sudah cukup memadai.

Sumber: |rujuk sini|

* Maklumat ni sebenarnya aku dapat dari babycenter.com yang aku alih bahasa mengikut kefahaman aku sendiri. Ada salah translate, inform aku ya. Suka baca yang no 1 dan 2, ketara nampak pada Amani bayi comel ibu yang manis.

Gambar dari instagram. Amani yang 5 hari lagi akan masuk 8 bulan.
~ يوس ~

Thursday, October 18, 2012

8 Perkara Wajib untuk Kehamilan yang sihat!

Baca satu lagi info berguna mengenai kehamilan. Apabila kita tahu saja kita hamil, perkara yang paling penting di titikberatkan adalah penjagaan kesihatan. Dalam tempoh 40 minggu kehamilan tu, akan berlaku banyak perubahan dari segi fizikal dan mental pada diri kita. Makanya perlu ada persiapan agar sepanjang kehamilan kita berada dalam keadaan sihat.

8 Perkara Wajib untuk kehamilan yang sihat ialah : -

Sumber di petik dari pama.karangkraf.com. Aku kongsi yang ringkas saja, nak penerangan lanjut sila terjah sana ya.

  1. Pemeriksaan Antenatal untuk memastikan anda dan bayi sihat sepanjang kehamilan.
  2. Jaga Pemakanan - ibu hamil perlu mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang.
  3. Pengambilan asid folik. Ia dapat membantu mencegah masalah spina bifida dan masalah kecacatan tiub neural.
  4. Bersenam
  5. Memakai pakaian dan kasut yang sesuai.
  6. Hadkan pengambilan kafein kerana sesetengah penyelidik berpendapat bahawa pengambilan terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko keguguran dan melahirkan bayi yang tidak cukup berat.
  7. Atasi morning sickness 
  8. Berehat secukupnya.

Ada lagi ke yang ibu hamil perlu ambil tahu semasa kehamilan? Bolehlah kongsikan di sini.

p/s: Walau ini bukan kali pertama hamil, kadang-kadang kita terlupa apa yang perlu di titikberatkan semasa mengandung. Info ini sebagai satu cara untuk aku refresh semula apa yang pernah dan mungkin aku tak tahu sebelum ini. Juga untuk perkongsian bersama kepada pembaca yang lain.
~ يوس ~

Doa Mudah Bersalin & Kesejahteraan Anak Dalam Kandungan



اللَّهُمَّ احْفَظْ وَلَدِيْ مَادَامَا فِيْ بَطْنِيْ وَاشْفِهِ وَأنْتَ شَافٍ لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

اللَّهُمَّ صَوِّرْ فِيْ بَطْنِيْ صُوْرَةً حَسَنَةً وَثَبِّتْ قَلْبَهُ إِيْـمَانًا بِكً وَبِرَسُوْلِكَ


اللَّهُمَّ أَخْرِجْهُ مِنْ بَطْنِيْ وَقْتَ وِلاَدَتِيْ سَهْلاً وَتَسْلِيْمًا


اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَحِيْحًا كَامِلاً وَعَاقِلاً حَاذِقًا عَالِـمًا عَامِلاً


اللَّهُمَّ طَوِّلْ عُمْرَهُ وَصَحِّحْ جَسَدَهُ وَحَسِّنْ خَلْقَهُ وَأفْصِحْ لِسَانَهُ وَأحْسِنْ صَوْتَهُ لِقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ وَالْحَدِيْثِ بِبَرَكَةِ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وَسَلَّمَ


وَالْحَمْدُلِلّهِ رَبِّ الْعَالَـمِيْنَ

Ya Allah ,

peliharalah anakku selama ia berada di dalam kandunganku dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan , tidak ada penawar melainkan penawar-Mu , penawar yang tidak meninggalkan penyakit.

Ya Allah ,

Engkau perelokkanlah kejadiannya yang sempurna dan tetapkanlah hatinya agar beriman kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu.

Ya Allah , zahirkanlah dia ke dunia dengan mudah dan selamat .

Ya Allah anugerahkanlah dia kesihatan yang sempurna , berakal dan bijaksana , alim dan beramal .


Ya Allah ,

panjangkanlah umurnya dalam ketaatan , sihatkanlah tubuh badannya ,dan indahkanlah akhlaknya , fasihkanlah lidahnya , perelokkanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhamad s.a.w. dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam .



~ يوس ~

Monday, October 15, 2012

Bayi bawah 2 tahun sebenarnya tidak memerlukan bantal??

Aku terpanggil ingin berkongsi maklumat mengenai ini. Membaca entri Izan semalam dan melihat Zayyan menggunakan bantal besar di kepala membuatkan aku teringat pesan midwife semasa aku melahirkan Alia dan Abid di UK.

Orang melayu kita ni biasalah kan, bila ada baby baru saja di rumah, mesti ada bantal kecik-kecik, besar, bantal peluk semua di sediakan. Biasanya ada satu bantal untuk kepala dan dua bantal peluk comel di sisi baby, betul tak? 
Set tilam baby yang biasa kita beli sebelum bayi lahir kan!( image ehsan google)

Aku pun sama. Masa Aqil dulu itulah yang aku sediakan, bila bersalinkan Alia, aku cari juga dua bantal peluk dan dua bantal di kepala. Tapi di Sheffield, aku mula beli baby crib untuk baby sebab kat sana biasa memang mereka letak baby atas crib. Kat sini jarang-jarang orang buat, bayi biasa tidur atas katil yang sama dengan ibu dan bapa kan.

Masa dalam pantang, kali pertama midwife datang rumah dan dia nampak aku letak Alia atas crib tapi di kepalanya ada bantal, dan di sisinya juga ada bantal peluk, aku di marahinya. Terus dia ambil dan buang. Katanya, jangan gunakan bantal untuk baby, bahaya!! Selimut pun jangan beri! Kalau takut anak sejuk, gunakalan sleeping bag untuk baby.

Aku tak tanya lanjut, tapi pelik jugalah. Kenapa tak boleh letak bantal? Apa bahayanya? Dan kalau letak bayi kita atas cot bed atau crib pun, dia suruh letakkan kakinya mengena pada hujung crib/cot bed. Jangan kepala yang dekat dengan hujung cot bed tu, bahaya!

Kenapa? Sebab katanya, kalau ada selimut, bila bayi kita tiba-tiba menggelungsur ke bawah, takut dia tertutup dengan selimut tu, nanti dia lemas. Sebab tulah lebih di galakkan guna sleeping bag. Tapi kat Malaysia ni tak perlu kot guna sleeping bag. Panas!

Contoh sleeping bag untuk baby. Alia dengan Abid dulu guna benda ni, ada warna purple dan biru tak silap mereka punya. (image ehsan google)
Cuba cari gambar mereka dengan sleeping bag, tapi tiada dalam simpanan pula. Malas nak selongkar album lama. Jumpa yang ini saja.

Abid bersama baju tebalnya. Ada rupa angkasawan tak? Tapi ini bukan sleeping bag ya, ini baju time winter...:)

Ok! Berbalik kepada cerita kenapa jangan gunakan bantal untuk bayi kita. Artikel At what age can I give my baby a pillow? ni mungkin boleh memberi jawapan. Sedikit petikan dari artikel itu...

You may think that because you enjoy sleeping with a pillow, your baby will too. But there is a suffocation hazard to giving them a pillow, and it’s actually not very naturally for them to have their head held up like that while they sleep. Babies can roll around a lot when they sleep, and if the pillow ends up on top of their head, they may not have the motor skills to knock it off. That’s why it’s best to leave things empty in their crib.
Artikel Menjadikan tidur bayi anda suatu perkara yang selamat ni pun ada sentuh pasal bab ni. Aku petik sedikit dan letak di blog ini..

Jangan biarkan bayi anda tidur di atas bantal atau dengan menutup kepalanya 

Jangan biarkan bayi anda tidur di atas bantal sebab ianya berisiko untuk dia jatuh atau lemas di dalam lipatannya. Sentiasalah periksa bayi anda untuk memastikan dia tidak menggeleser ke bawah sehingga kepalanya ditutup dengan selimut atau duvet. Ini boleh menyebabkan dia menjadi terlalu panas atau sukar bernafas.


Kita sentiasa berharap bayi kita tidur dengan nyenyak, tapi tak tahu cara dan kaedah yang betul. Anda boleh baca artikel ini untuk mendapat sedikit ilmu bagaimana nak biarkan bayi kita tidur dengan nyenyak. Sila klik Bantu bayi tidur nyenyak ini.

Dalam artikel tu pun ada sentuh kenapa kalau boleh jangan gunakan bantal dan selimut. Dan kalau kita teringin nak gunakan bantal juga, gunalah bantal yang sesuai untuk bayi kita, jangan terlalu besar atau tebal untuknya kerana ianya tidak selamat untuk mereka.

Dan yang paling penting sebenarnya bayi tak sesuai tidur bersama kita di atas katil yang sama. Takut risiko terhempap badan kita dan lemas. Tapi kita ni biasa malas dan nak mudah. Malam-malam penat kalau asyik keluar dan masukkan bayi kita dalam katilnya kan. Kita pun kadang tertidur sama masa susukan dia. Cuma tulah, jangan tidur mati sampai tak sedar kita dah buat bayi kita lemas pula. Bahaya.

Aku biasa walau bayi tidak di dalam katilnya dan letakkan di bawah, aku letakkan dia atas tilamnya saja tanpa bantal. Biar kedudukan bayi kita tu sama rata dari kepala ke kaki. Sebab kalau ada bantal, mesti bahagian kepala lagi tinggi kan. Dan aku perhatikan bayi pun biasanya akan lebih cepat belajar meniarap dan merangkak tanpa bantal tau!

Tiba-tiba rasa nak kongsi semula video Arif mula meniarap ni dulu. Comel dan tembam kan dia masa ni...hehe.


Anda juga boleh baca artikel lain yang berkaitan di sini ya..

When can my child sleep with a pillow?



Gaya tidur bayi

Semoga ianya sama-sama bermanfaat untuk kita.

~ يوس ~

Saturday, October 13, 2012

Tips @ Petua untuk dapatkan anak perempuan

image ehsan google

Ini entri copy and paste.

Untuk bacaan aku juga. Dalam banyak-banyak yang aku google, ini paling menarik perhatian aku.

SUMBER : ayahmama.com

1. Mulakan dengan doa dan niat untuk memperoleh jantina bayi perempuan.

2. Pastikan hubungan seksual dilakukan pada waktu subur isteri iaitu antara hari kesebelas hinggalah hari kesembilan belas dari kiraan pertama datangnya haid.

3. Biarkan suami melepaskan hanya lima puluh peratus sahaja spermanya ke dalam rahim isteri sementara bakinya dirembeskan di bahagian pangkal rahim.

4. Selepas berasmara, isteri digalakkan tidur mengiring ke sebelah kiri dan sekiranya membelakangkan suami maka mintalah izin terlebih dahulu.

5. Akhiri dengan doa agar hajat yang diinginkan dimakbulkan oleh-Nya.

Amalan pemakanan ketika janin berusia satu hingga empat bulan :

1. Banyakkan pengambilan sayur, sup, asam serta jenis yang beralkali.
2. Lebihkan buah-buahan .
3. Elakkan dari mengambil minuman berkarbonat.

Perbuatan yang digalakkan ketika kandungan berusia satu hingga sembilan bulan

1. Amalkan membaca surah Yusuf dan Maryam.
2. Usap kandungan dengan lembut dan panggillah bayi anda dengan nama Maryam atau Siti Aishah.
3. Banyakkan berdoa agar permintaan anda dikabulkan.

Ini satu lagi yang menarik.


1. Petua dapat bayi berambut kerinting

Amalkan memakan 5 hingga 10 biji kerang rebus setiap hari.

image dari entri ini.

















2. Petua dapat bayi berkulit halus dan cerah

Amalkan memakan sayuran hijau setiap hari. Contohnya seperti sayur bayam.

















Di samping itu,  lebihkan juga pengambilan telur ayam kampung.

Jika diizinkannya, pasangan akan dikurniakan bayi atau anak yang berambut kerinting walaupun kita dan pasangan berambut lurus.

Begitu juga dengan petua kedua. Walaupun kita dan pasangan berkulit gelap tapi inginkan zuriat yang berkulit halus dan cerah, amalkan saja petua tersebut.

Wah! Serius teruja nak cuba bab amalan pemakanan tu. Amalan surah tu memang dari dulu dah amalkan, tapi bab pemakanan tu belum pernah praktikkan lagi. Sesungguhnya kita merancang Allah yang menentukan, namun tak salah mencuba kan. Apa pun jantina bayi yang lahir nanti, yang penting dia sihat dan baik-baik saja.....Aminn.



~ يوس ~

Monday, September 24, 2012

Sentuhan Ajaib Rizalman : Dekorasi rumah yang memukau! | Hati ini.....

Hari ini ada rakan fb share link blog Rizalman. Masuk saja blog dia dan lihat entri ini, terpukau! Serius cantiknya sentuhan dia!!! Entri tahun 2010, baru kini aku dapat lihat. 

Perubahan yang paling aku suka tengok adalah yang ini.

Rumah di Parit Jayus, BP dari biasa-biasa aje, 
*

*

*

*

*

*

ting....jadi begini.

Perggh!!!!! Menarik kan!
Banyak lagi hasil kerja yang dia kongsikan di blognya. Boleh lah terjah sana ya. Sumber image di atas semua dari blog Rizalman.

p/s: Minta maaf belum dapat balas jejak semua yang berkunjung ke sini. Cik Puan Blog masih kurang sihat. Batuk, selsema tak baik-baik lagi. Datang pula satu masalah lain yang menganggu fikiran. Selagi belum selesai apa yang terbenak di fikiran tu, rasa macam berdebar-debar saja dan kurang selesa. Bila terpandang kata-kata ini di fb yang di kongsikan oleh seorang teman, rasa macam mengena je dengan diri.

InsyaAllah, bila semua dah terang dan nyata, akan aku kongsikan di sini. Sebagai satu coretan pengalaman sendiri.

Sehingga di lain waktu.....

Salam.

Peluang memenangi rumah idaman anda!!
~ يوس ~ 

Wednesday, August 15, 2012

Balik raya mana tahun ni?

Bagi yang sudah berumahtangga, soalan biasa di dengar menjelangnya hari raya ialah "balik raya mana tahun ni?" Bagi yang suami isteri kampungnya seorang di Utara, seorang di Selatan mesti susah juga kan. Sistem bergilir-gilir balik kampung mana untuk beraya kenalah di paraktikkan.

Kepada yang baru mendirikan rumahtangga, kalau tahun pertama jadi isteri/suami dah kena beraya di rumah mertua mesti ada rasa kekok dan sedih sebab tak dapat beraya dengan keluarga sendiri.

Aku sendiri rasanya tahun pertama beraya sebagai seorang isteri memang beraya di rumah mertua. Tak ingat bagaimana perasaan ketika itu tapi rasa biasa-biasa saja sebab rumah mertua dengan rumah keluargaku jaraknya cuma lebih kurang sejam setengah. Melaka dengan Muar, bukan jauh mana kan. 

Namun, jangan ada perasaan ini bukan kampung aku bila kita beraya di rumah mertua. Kalau ada perasaan macam tu, memang kita akan rasa tak seronok. Mana-mana pun keluarga kita juga ya tak? Bila ada rasa kita nak balik kampung sendiri, perasaan seronok nak beraya tu pasti datang dengan sendirinya walaupun tahun ni beraya di rumah mertua.

Bagi aku keseronokkan beraya dengan keluarga sendiri dan keluarga mertua memang ada sedikit perbezaan. Kalau dengan keluarga sendiri, havoc dengan adik beradik sendiri yang semuanya ala-ala sengal. Tapi pagi raya tetap sayu bila dengar ayah berucap dan sessi bersalam-salaman dengan keluarga. Makan-makan tak begitu meriah sebab keluarga aku kecik. Dah lepas solat raya dan makan-makan pagi, dah mula bosan sikit sebab tak tahu nak jalan mana. Saudara mara agak jauh, semua di Johor lebih kurang. Jadi dekat-dekat situ takde pun. Jadi aku memang suka buat ala-ala sengal dan kecoh di rumah emak dan ayah, sebab kalau tidak macam sunyi je. Nasib baik anak-anak aku pun memang kecoh dan pakngah dan pak usu nya pun kecoh...hehe. Walau adik beradik tak ramai, tetap meriah dengan kekecohan kami. 

Tapi bila pagi raya di rumah keluarga mertua, lebih meriah. Adik-beradik SRD ramai, 9 orang, bayangkan. Makanan pun penuh, tak muat meja, mesti makan di bawah dengan bentang tikar. Kecoh satu rumah, anak buah pula ramai. Kecohnya lain macam. Malam raya dah sibuk main bunga api ramai-ramai, boleh berebut bilik kadang tu, sebab tak cukup bilik tidur, ramai yang tidur kat luar. Nak masuk bilik air pun tunggu giliran, tapi aku seronok! Lain keseronokkannya. Dapat juga merasa adik beradik ramai walau adik beradik sendiri cuma 3 orang.

Tahun ini malam dan pagi raya di rumah mertua. Khabarnya semua adik-beradik akan balik. Kakak ipar yang di Kedah yang dah 2 tahun tak balik pun dengarnya akan balik.Tentu lebih meriah dan seronok. Semua adik beradik SRD pun dah kahwin, anak buah tambah lagi 2 orang. Kalau semua cucu Hajah Hapipah ada  ada di pagi raya tahun ni, jawabnya 25 orang kesemuanya. Campur dengan ibu dan abah masing-masing....wah! Lagi seronok nampaknya. Biasa kalau malam dan pagi raya di rumah mertua, dua hari puasa terakhir mesti di rumah keluarga aku dan begitulah sebaliknya.

Tahun ini ada satu kekurangan. Nenek aku dah tiada, ayah kata mereka pun tak balik kampung di pagi raya macam selalu. Sedih pula di situ. Apa pun, seronok atau tidak, walau di mana kita beraya kita yang patut wujudkan suasana seronok tu kan. Kalau hati kita awal-awal dah sebut sedih dan tak seronok, begitulah yang akan terjadi, jadi set di kepala awal-awal, raya mana-mana pun seronok yang penting dapat berkumpul seisi keluarga.

Raya 2011 di rumah keluargaku

Tahun ni pasti rindu dengan kecoh dan sengal kami adik beradik di pagi raya, namun beraya di rumah mertua pun tak kurang meriahnya, malah lebih meriah sebab......
Raya 2010 bersama keluarga SRD. RIndu juga saat ini. Tahun ini rasanya pasti lebih meriah sebab khabarnya semua akan balik dan cucu emak Hapipah pun dah tambah lagi 2 orang kan. Tahun 2010 ni dua keluarga tiada dalam gambar, keluarga kak long dan keluarga kak uda. Tahun ni minta-minta semua ada, kita bergambar di luar rumah pula ya.....
Di kesempatan ini juga, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua pembaca blog ini, kawan maya, kawan realiti, keluarga semualah yang selalu masuk sini, kalau ada tersalah kata, tersilap bicara, harap di ampunkan. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu adalah dari kesilapan saya sendiri.

Bagi yang nak pulang ke kampung tu, hati-hati di jalan raya ya. Pandu cermat, jiwa selamat, ingatlah orang-orang tersayang yang sedang menunggu untuk berhari raya bersama.

Selamat Bercuti buat semua, 
Selamat Hari Raya Aidilfitri, 
Maaf Zahir dan Batin dari kami sekeluarga.

p/s: Esok tak sempat buat entri dah rasanya, nak buat kuih raya satu plannya sebelum pulang ke kampung Jumaat....hehe. Tapi kalau tak jadi kuih rayanya, bawa balik yang tunjuk jelah, dah siap beli pun....:)

~ يوس ~

Tuesday, August 14, 2012

Beberapa Kesalahan Berhari Raya dan tarikh 14 Ogos

Mood nak balik kampung dah datang. Lebih-lebih lagi bila semalam anak-anak kata, "Khamis dah mula cuti ibu!!!" 

Anak cuti awal pun, abah dia masih kerja. Nak buat kad raya dan tepek kad raya macam selalu, tapi lappy aku ni takde photoshop....huhu. Terus terbantut nak buat. Jalan-jalan fb jumpa pula gambar ni. Suka aku tengok. Peringatan untuk kita semua dalam kita berhari raya. Biar bersederhana, jangan lupa ziarah-menziarahi sesama kita, dan jangan makan berlebihan ya. 
Sumber FB.
Hari ini juga 14 Ogos merupakan tarikh kelahiran dan juga tarikh pulangnya kerahmatullah bapa mertuaku yang tercinta Haji Mahzan Bin Sulaiman. Sudah 8 tahun berlalu, namun aku masih ingat saat itu.

Setiap kali buat entri pada tarikh ini mesti ada linangan air mata. Entri tahun lepas pun sama. Tahun ni tak mahu kenangkan kesedihan sangat, dariNya kita datang, kepadaNya jua kita akan kembali. Semoga roh arwah bapa mertuaku tenang dan aman di sana.... aminnn. Al-Fatihah.

~ يوس ~

Monday, July 23, 2012

3 hari pertama berterawih bersama anak kecil di masjid ; Satu pengalaman...

Selama mempunyai anak kecil, tidak pernah sekali pun aku ke masjid untuk berterawih. Selalu mengambil jalan mudah berterawih di rumah saja kerana takut anak-anak akan menganggu jemaah-jemaah yang lain.Namun bila nak solat terawih di rumah pun, ada masa terganggu juga dengan benda-benda lain.  Tahun ini memasang azam nak berterawih di masjid/surau. Membaca Tips Bawa Anak Kecil Ke Masjid oleh Mommy Lyna memberi aku lebih semangat dan keyakinan bahawa aku pun boleh bawa anak seaktif Arif ke masjid bersama.

Aku suka dengan point kedua yang Mommy Lyna nyatakan pada entri itu iaitu:
Fokus kepada memperkenalkan masjid kepada anak, rather than penuhkan solat tarawih. Kebanyakan ibu yang dilanda dilema ialah kerana risaukan bagaimana nak solat dengan budak kecil yang sedang lasak. Kena ingat tarawih tu sunat, tapi kewajipan kita sebagai ibu bapa untuk mendidik anak mencintai masjid. Setahun sekali je, hari2 lain memang jangan haraple nak bawa kan? Kita pun time bulan puasa je ghairah nak buat ibadat sunat
Aqil dan Abid dah biasa ikut abahnya ke masjid untuk solat Jumaat. Terawih pun dah selalu juga di tahun-tahun sebelumnya. Tapi Alia dan Arif belum lagi kerana aku tak berani bawa Arif sekali. Tahun ini Arif dah hampir 2 tahun. Bolehlah ku kira bawa dia ke masjid bersama untuk solat terawih.

Malam pertama kami berterawih di Masjid Kg. Sg Lurus. Seperti kata Mommy Lyna cuba bawa anak ke masjid yang lebih besar sikit, nak ke surau Taman yang berdekatan takut kecik nanti lebih menganggu jemaah lain. Aku memilih duduk di saf yang paling belakang. Bila saja solat Isyak, aku maju ke depan di saf ke dua akhir. Saf paling belakang, ramai kanak-kanak perempuan lain sebaya Alia atau besar sikit. Sebaya Arif tiada nampaknya. Hati aku rasa sangat risau. Berdebar-debar bagaimana dengan kelakuan Arif nanti.

Sebelum pergi dah cakap dengan dia baik-baik untuk duduk diam di masjid. Siap aku bawakan dia bantal kecil dan botol susunya ku buat penuh. Dia memang diam saja mulanya di belakang, berbaring dan menghisap botolnya sehingga habis. Tapi bila saja terawih bermula, dan baru habis 4 rakaat, Arif sudah mula buat perangai. Dia bermain dengan rehal yang ada di bahagian tepi penjuru masjid. Kelentang, kelentung bunyinya. Aku jadi tidak khusyuk tapi aku kuatkan hati. Dalam hati berdoa supaya Allah mudahkan dan Arif akan berkelakuan lebih sopan sepanjang di masjid.

Masjid ini buat solat terawih 20 rakaat, jadi agak lama, dan Arif mula bosan kot. Dia dah bawa rehal tu berjalan sana sini. Melalui antara saf, malah rehal itu juga di ketuk di kepala kakaknya Alia ketika Alia sujud. Nasib baik ketuk kepala akak sendiri, kalau orang lain? Aku berhenti dan tidak meneruskan rakaat seterusnya. Berusaha untuk menyuruh Arif duduk diam di tepi, dia nampak patuh. Bila habis rakaat ke 8, Alia pun dah letih aku suruh Alia saja yang perhatikan Arif. Aku meneruskan hingga habis rakaat ke 20 dan solat witir. Ada kakak dia pun dia berlari-lari juga.....aduhai.

Malam ke dua, semangat aku belum luntur. Kali ini kami di Melaka rumah ayah dan bondaku. Jadi berpeluang bersolat terawih di Masjid lebih besar dan jemaah perempuannya juga ramai. Kami ke Masjid Tun Khalil Yaakob, Melaka. Di sini aku lihat lebih ramai budak-budak kecil sebaya Arif di bawa. Hati aku lebih seronok dan teruja. Tidak begitu risau sebab ada kawan yang juga bawa anak kecil.

Memilih saf belakang juga, Arif nampak dah lebih faham sebab kali kedua di masjid. Dia lebih duduk diam di tepi. Aku dapat menghabiskan solat Isyak dan terawih dengan baik sehingga rakaat ke 4. Namun masuk rakaat seterusnya dia mula berlari-lari. Semuanya kerana ada kanak-kanak lain yang besar sedikit dari dia mengajak dia bermain sama. Berlari-lari, dia pun apa lagi, mengikut lah. Aduh!!!! Hati mula bimbang sedikit. Bila habis rakaat ke 8 sekali lagi tugas Alia memerhatikan Arif. Alhamdulillah dia nampak lebih baik cuma suaranya boleh dengar juga satu masjid....huhu. Dan kerana Imam pun hanya buat terawih 8, cepat sikit habisnya, takdelah lama suaranya bergema di masjid tu. Lepas habis witir dan doa alhamdulillah berjaya malam kedua. Arif pun nampak gembira.

Hari ke tiga semalam, mulanya aku nak tinggalkan dia di rumah bersama emakku yang kurang sihat. Tapi dia menjerit-jerit, meronta-ronta mahu ikut juga. Aku kuatkan hati, memang niatku nak berterawih di masjid di samping nak memperkenalkan anak-anak dengan masjid. Selepas ini dah balik BP, pasti tak dapat tinggalkan dengan sesiapa pun Arif. Jadi aku bawa juga dia bersama. Kali ini sampai je dia terus duduk diam, alhamdulillah. Sehingga selesai kami solat Isyak pun, dia diam saja. Ku kira dia sudah faham.

Tiba-tiba bila nak mula solat terawih, ada seorang makcik dari saf belakang aku yang kakinya kurang kuat mungkin untuk berdiri lama dan susah nak bangun bila sujud mungkin, beralih ke saf depan sebaris dengan aku.Ada sebuah kerusi di belakangnya untuk membantu dia melaksanakan solat. Setiap kali lepas rukuk, makcik ni akan duduk  di kerusi itu. Kira dia perlukan bantuan kerusi untuk rukun solat yang seterusnya.

Arif pelik kot kenapa nenek ni ada kerusi. Aku pun tak perasan dia dah bangun sebab khusyuk solat. Rupanya dia dah pergi tarik kerusi tu ke belakang, jauh dari makcik tu. Aku tak tahu apa yang berlaku sebenarnya, tapi selesai saja terawih dua rakaat dan aku memberi salam, makcik tu bersuara. Dia duduk selang satu jemaah dengan aku. "Anak siapa tu?" Masa ni Arif sudah duduk diam di tepi semula.

"Anak saya makcik!"

"Tahu tak dia tarik kerusi makcik ni tadi, nyaris makcik jatuh. Nasib baik, kalau jatuh tak tahulah nak kata apa."

Muka aku merah padam rasa masa tu. Malunya. Apa Arif sudah buat??Jawapan yang keluar dari mulutku, "ya ke makcik?"

Kemudian teruskan solat sebab Imam pun dah mula rakaat yang seterusnya.

Selesai semua baru aku mengambil kesempatan meminta maaf dengan makcik tu. Nasib baik makcik tu kata,"takpelah budak-budak bukan tahu apa, cuma kaki makcik ni memang tak berapa kuat, kena duduk di kerusi, takut terjatuh bila dia tarik tadi".

Lega rasa hati. Mulanya sedikit cuak, sebab gaya makcik tu bertanya 'anak siapa tu?' bunyinya macam dia marah masa tu.

Hari ini sudah di BP semula. Malam ini masih bersemangat nak berterawih berjemaah. Malam ni plannya nak ke surau taman saja, sebab jiran aku kata, surau taman buat terawih 8 rakaat saja. Cepat sikit habis, mungkin Arif kurang bosan dan buat perangai. Tak tahu bagaimana. Risau juga ni.

Wahai hati, kuatkan semangat aku. Macam kata Mommy Lyna, fokus kepada perkenalkan masjid/surau kepada anak-anak dari cuba penuh kan solat terawih tu. Kalau tak dapat habis, boleh sambung di rumah kan. Tapi tulah, kalau dah balik rumah nak sambung selalu liat. Nasib baik ada anak daraku Alia boleh bantu. Dia pun dah suka nak solat terawih, cuma solat witir tu memang dia malas betul nak buat. Alasan dia, "takpe ibu, Alia tengok adik."

Oklah tu. Harap aku dapat terus konsisten dan istiqamah dalam melaksanakan azam untuk terawih di masjid/surau tahun ini.

Arif!!! Sila bantu ibu untuk lebih duduk diam ya, dan jangan ganggu jemaah lain sedang bersolat.

Sebenarnya bukan Arif je yang tak duduk diam, Abid pun sama. Tapi Abid abah dia yang perhatikan sebab bersama jemaah lelaki.

Suka juga tengok klip video ini.






Bila bawa anak seligat dan aktif Arif ke masjid, perkara pertama yang aku takut ada yang menegur "Dah tahu anak tu tak reti duduk diam, janganlah bawa ke masjid!"

Dalam masa yang sama berdoa niat aku ikhlas nak menghidupkan malam-malam Ramadhan dan nak anak-anak tahu bezanya malam Ramadhan dengan malam-malam di bulan yang lain. Semoga jemaah lain yang ada pun faham.

Tapi kat surau sini, takde pun yang bawa anak sebaya Arif. Aduh! Kuatkah semangat aku ni? Ada tak kawan-kawan lain yang dah biasa bawa anak kecil ke masjid berterawih. Apa tips anda?


~ يوس ~

Friday, July 20, 2012

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Lagu Nasyid dari Rabbani




Ahlan wa sahlan, marhaban
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan
Ahlan wa sahlan, marhaban
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan

Ramadhan menjelma lagi
Menghimpun Rahmat dan Maghfirah
Bertambah keberkatannya
dengan amal ibadah
Diri tunduk keinsafan
dan rasa berdosa

Bulan kemuliaan yang dikurniakan ini
Usah biarkan berkatnya
berlalu sia-sia saja
Ia hadir bagai air bah
membasuh daki dunia

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka
seperti ketibaan orang yang kita cinta
Dengan ucapan
Ahlan Wa Sahlan Marhaban Ya Ramadhan
Hati gembira pintu terbuka
Rahmat Allah Yang maha Besar

Kita beroleh mutiara hikmah Al-Quran
Lantas dibelenggu nafsu dan syaitan
Didatangkan pula Lailatul Qadar
Pengorbanan yang dibuat balasannya syurga

Ahlan Wasahlan ya Ramadhan...

Ramadhan menjelma lagi.  Hati berkobar-kobar nak sambut Ramadhan esok. Teruja, gembira. Semoga kita semua dapat melaksanakan rukun Islam ke 3 ini dengan baik dan sempurna. Di kesempatan ini, yus ingin mengucapkan Salam Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pengunjung blog ini. Ampun dan maaf di pinta andai ada terkasar bahasa, tersalah kata moga dapat sama-sama kita memperbaiki diri sempena kedatangan Ramadhan kali ini.

Di sini juga saya ingin berkongsi satu entri dari teman blogger yang sangat menarik bagi saya. Jujur saya baru tahu aplikasi ini. Sambil-sambil baca blog, sambil-sambil tu boleh juga dengar bacaan Al-Quran yang di alunkan. Perisian ini juga membolehkan  kita membaca Al-Quran dengan mudah dari lappy kita sendiri. Boleh juga memperbaiki bacaan sendiri, mana yang tak berapa betul tu kan. Moga bermanfaat kepada semua. Entri yang saya maksudkan adalah dari blog KomenSen pakngah al-lavendari kita. Entri bertajuk ...


Jemput ke sana bagi yang tak baca lagi tu ya...

Salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa ikhlas dari saya dan keluarga...

~ يوس ~

Thursday, July 19, 2012

Mari berpuasa anak-anak.....

Ramadhan bakal menjelma lagi. Beberapa hari ini, anak-anak aku memang teruja bertanya mengenai puasa.

"Ibu, lagi 4 hari kita puasa kan?", tanya Abid beberapa hari yang lalu.

"Abid nak puasa penuh tak?" tanyaku pula.

"Tahun lepas Abid puasa penuh berapa hari ibu?", dia bertanya lagi.

"Ibu tak ingatlah Abid, tapi rasa beberapa hari je kot, seminggu tak sampai." jawab ku pula.

"Ok, tahun ni Abid cuba tambah beberapa hari lagi ya ibu," janji Abid pula.

Alhamdulillah anak-anak aku rasanya mudah di latih berpuasa. Aqil berjaya puasa penuh sebulan ketika darjah 2. Alia pula, darjah 1 dah boleh puasa sebulan. Abid masih dalam proses belajar.

Dari tahun lepas poster ini sudah terlekat baik di dinding bilik Alia. Tahun ini nampaknya senanglah dia melihatnya semula walau aku tahu dia sudah ingat dan hafal niat puasa dan doa berbuka puasa itu.

Alia dapat dari majalah Ana Muslim yang selalu di belinya.
Banyak tips-tips mendidik anak berpuasa boleh kita baca di internet. Google aje banyaklah cara dan tips di kongsikan. Aku nak kongsi cara aku serba sedikit. Rakan-rakan pembaca pun mungkin boleh berkongsi sama cara anda mendidik anak berpuasa di sini. Bolehlah sama-sama kita lakukan kepada anak-anak kita kan.


  • Mula-mula kenalah ajar niat puasa dulu. Kemudian tu, cuba latih perlahan-lahan, hari pertama dapat separuh hari pun dah kira berjaya bagi anak kita. Aku ajar anak-anak berpuasa seawal usia 5 tahun. Abid 4 tahun dah mula belajar. Dapat 1 hari penuh tahun itu.
  • Terapkan kepentingan bersahur kepada anak-anak. Anak-anak kita ni cepat lapar, jadi kalau tak bersahur susahlah mereka nak berpuasa kan. Ada aku baca, mereka ajar anak bersahur waktu pagi sebelum pergi sekolah. Kira waktu sarapan tu waktu sahur bagi anak-anak. Tapi aku ikut waktu sama je dengan waktu aku. Semua kena sama-sama bersahur pagi-pagi sebelum imsak tu. Rasa pelik pulak kalau anak-anak bersahur pukul 7 kononnya sebab mereka baru nak belajar.
  • Puasa adalah rukun Islam ke tiga. Anak-anak kita ni, kat tadika lagi dah hafal rukun Islam tu. Mereka memang ingat apa yang cikgu ajar di sekolah kan. Jadi kita ingatkan balik kepada mereka, puasa ni adalah rukun Islam ketiga. Wajib di laksanakan. Mereka mudah faham. Ceritakan juga kepada mereka hikmah berpuasa, selain dari dapat pahala megajar kita untuk lebih sabar dan mendidik kita lebih bersyukur. Selalu aku ingatkan mereka, bagaimana dengan orang-orang lain yang tak punya cukup makanan, macam kanak-kanak di Afrika.
  • Masak menu juadah berbuka yang mereka suka. Ini untuk menggalakkan mereka lebih seronok berpuasa, dapatlah mereka makan apa yang mereka mahu. Sebagai ganjaran mereka berpuasa.
  • Ingatkan mereka perkara-perkara yang membatalkan puasa. Bila selalu di ingatkan, nanti mereka sendiri akan memberi ingatan antara satu sama lain. Siap gaduh-gaduh pun ada...hihi. Dan masing-masing akan memberitahu aku kalau ada yang cuba-cuba curi minum atau makan. Sebenarnya tak pernah pun mereka buat begitu, cuma kerap masuk bilik air dan mula sibuk nak mandi aje tu adalah...huhu.
  • Kalau waktu tu aku uzur, tak boleh puasa, biasanya aku tak sorok pun dari anak-anak. Aku tetap bangun sahur bersama mereka, tapi mereka dah tahu bila nampak aku tak solat kan. Jadi mereka sendiri akan kata, "hari ini ibu tak puasa ya!" Tapi aku selalu akan kata, walau ibu tak puasa hari ini, ibu kena ganti puasa bila ibu dah tak uzur nanti. Lagi seronok puasa sama-sama di bulan Ramadhan, daripada puasa sorang-sorang masa orang lain boleh makan. Mereka mudah faham, dan tak pernah sibuk pun nak ikut tak puasa sebab ibu tak puasa. Lagipun, mereka cuma tahu aku tak boleh puasa, tapi tak pernah perasan waktu bila aku ada minum atau makan pun. Kenalah sembunyikan perkara tu kan. Kesian anak tu tengah puasa, kita makan depan mereka pula. Dan bila hari aku ganti puasa, mereka sendiri kata, "Ibu puasa ganti ya? Sebab ibu ada tak puasa masa Ramadhan dulu kan." Alhamdulillah senang betul mereka faham semua tu walau Abid yang baru nak masuk 6 tahun tu.Tapi kena terangkan juga, kenapa kita tak boleh berpuasa masa tu. Suka-suka tak nak puasa, itu tak bolehlah kan.
  • "Siapa puasa, baru boleh dapat beraya dan duit raya." Itu yang selalu aku cakap pada mereka, tak puasa malulah nak pergi raya lepas tu minta duit raya. Duit raya untuk orang yang berpuasa aje, hadiah sebab mereka rajin puasa. Bukan saja dapat duit raya, dapat pahala berganda dari Allah. Allah sayang, semua pun sayang.
  • Suruh mereka rehat dan tidur selepas balik dari sekolah. Sebab kalau mereka main je, mesti penat dan mulalah sibuk nak berbuka puasa. Pulak tu bila berbuka bukan nak makan, nak minum aje sebenarnya. Haus yang lebih di bulan puasa ni kan, laparnya tak sangat pun anak-anak aku ni.
Itu antara yang ingat di kepala otak ni sekarang. Bagaimana pula dengan kawan-kawan semua. Bagaimana korang ajar anak-anak berpuasa?

Moga puasa tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan dapat kita sama-sama mengumpul pahala berganda-ganda. Masih banyak yang kurang dalam diri ini. Sifat amarah yang masih tinggi, kurang sabar kadang tu, semuanya harap dapat aku jauhi. Berazam nak solat terawih penuh tahun ni,tapi tulah bila solat terawih di rumah selalu kadang culas.Malunya.....huhu. Nak ke masjid dengan bawa anak kecil ni macam tak yakin. Takut mereka menganggu orang lain terutamanya anak seaktif Arif. Tapi bila aku baca Tips Bawa Anak Kecil Ke Masjid di sini, aku jadi teruja nak cuba tahun ni. Ada tak kawan-kawan yang boleh kongsi dengan aku, tips bagus membawa anak-anak bersama ke masjid waktu terawih. Kongsilah dengan aku ya!


Salam Ramadhan untuk semua dan selamat menjalankan ibadah puasa.

Sekian....

~ يوس ~

Wednesday, July 11, 2012

Kelab Taha : Menabung untuk anak dari kecil

Lambatnya aku up entri hari ini. Biasa pagi-pagi, hari ni petang-petang pula ya.

Pagi ini ke Tabung Haji menambah tabungan untuk anak-anak. Tabungan sendiri suami dah buat potongan gaji setiap bulan jadi cuma buat kemaskini buku ajelah. Tabungan anak-anak, aku memang peruntukan sejumlah wang dari yang SRD beri setiap bulan untuk tabungan mereka. Untuk Etiqa takaful lain, untuk akaun tabung haji lain.

Bila jumlahnya dah menampakkan tanda-tanda kalau tak di simpan cepat, akan terguna pakai, maka haruslah segera di simpankan ke akaun....hihi.

mesti adil, setiap seorang ada buku. Dan bila ada buku, perlulah selalu menabung, jangan biar buku tu nampak kosong je kan!!!! Pesanan untuk diri sendiri!!! hehe.
Dah lama tertarik dengan Kelab Taha yang di tubuhkan oleh Tabung Haji, tapi tak pernah bertanya setiap kali berkunjung ke sana. Pagi ini aku teruja ingin nak tahu. Lebih-lebih lagi bila selalu juga terbaca di akhbar Kelab Taha ni ada memberi Anugerah Kecemerlangan kepada ahli-ahlinya yang berjaya dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

image di pinjam dari blog ini.

Melalui sumber www.tabunghaji.gov.my, Kelab TaHa dilancarkan pada tahun 2008 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi yang disempurnakan oleh YB Dato' Dr. Ahmad Zahid b Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Penubuhan kelab disasarkan kepada penabung muda yang berumur dari 7 hingga 17 tahun.

Makanya hanya anakku Aqil dan Alia saja yang layak memohon. Bila dah ada akaun tabung haji, senang aje nak menjadi ahli. Cuma perlu beritahu kepada petugas di kaunter, dan dia akan updatekan dalam sistem yang anak kita mahu turut serta menjadi ahli. Maklumat semua kan sama masa mula-mula mengisi borang nak buat buku akaun dulu kan. Sekarang ni, hanya perlu menunggu kad keahlian berserta no keahlian Kelab Taha yang akan di hantar ke rumah. Aku pula yang excited terlebih nak tunggu kad keahlian mereka ni, al-maklum dulu-dulu zaman kita mana ada...hehe.

Apa keistimewaan menjadi ahli Kelab Taha??
  • Kad keahlian secara percuma.
  • Potongan harga di lebih 300 rangkaian rakan Kelab TaHa di seluruh Malaysia.
  • Potongan 15% harga penginapan di mana-mana Rangkaian TAHA.
  • Layak dipertimbangkan untuk Anugerah Kecemerlangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.*
  • Penyertaan Klinik Bimbingan Peperiksaan UPSR, PMR dan SPM secara percuma.*
  • Peluang menyertai peraduan dan memenangi hadiah yang menarik.*
Sumber : tabunghaji.gov.my
Lain-lain keistimewaan boleh rujuk di sini.

Apa pula objektif penubuhan Kelab Taha ni??
  • Menanam minat menabung sejak di bangku sekolah. Menyemai rasa bangga menjadi ahli Tabung Haji di usia muda.
  • Menganjurkan program-program khas untuk manfaat tambahan kepada ahli kelab seperti Seminar Bimbingan Peperiksaan, perkhemahan ibadah dan sebagainya.
  • Mempelbagaikan program dan aktiviti untuk pendeposit muda dan membangkitkan keinginan menyahut laungan Kaabah di usia muda.

Aku percaya ramai di antara pembaca yang dah punya akaun TH kan. Suka nak ikut contoh Tips Menabung yang berkesan dari Eyriqazz.com.  Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Arif saja walau baru nak capai usia 2 tahun, tapi simpanan TH dia dah hampir 2K. 

Semoga anak-anak ibu akan sentiasa beringat untuk menabung. Dulu-dulu atok dan maktok susah, tak dapat buat simpanan untuk ibu dan abah. Dah besar, baru dapat buat simpanan sendiri, daftar haji pun lambat, kalau ikut giliran katanya 2039 baru tiba giliran kami....huhu. Berjanggut nak tunggu. Moga ada rezeki kita kan anak-anak.

Kawan-kawan yang ada anak berusia 7 tahun ke atas dan masih belum menyertai Kelab Taha ni, jomlah pakat-pakat join sama. Di samping menggalak anak-anak menabung, dapat juga menikmati keistimewaan yang di berikan. Tak rugi kan!


~ يوس ~

Tuesday, July 03, 2012

Program Kemah Keming UAI di Astro tu betul ke??

Tanggal 24 June yang lalu blog aku ini ada war-war kan tentang program Kemah Keming oleh Ustaz Azhar Idrus di Astro Oasis yang kononnya akan bermula 3 Julai iaitu hari ini. Maklumat itu sebenarnya aku dapat dari FB Page Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus ini.

Takde niat apa, cuma rasa teruja nak menonton ceramah UAI di tv pula di samping berkongsi dengan semua kawan-kawan pembaca blog aku ni.. Dan aku lihat memang banyak lagi blog lain turut berkongsi maklumat yang sama.

Tiba-tiba pada tanggal 1 Julai aku menerima komen ini pada entri tersebut  ...

Komen dari blogger Zulkifli yang mendakwa sebagai PA UAI
Rasa bersalah kalau aku dah menyebarkan maklumat yang tidak tepat.  Jadi aku simpan entri itu dalam draf buat sementara waktu. Aku minta maaf banyak-banyak kepada siapa yang datang sini dan mula fikir program tu akan di siarkan malam ini. Bila aku cuba google tajuk Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus, blog aku memang tersenarai di tangga ke dua. 

Dala  enjin carian google blog aku tersenarai no 2 untuk keyword kemah keming ni

Hari ini, semalam dan beberapa hari ni, ramai yang masuk blog aku melalui keyword kemah keming UAI ni. Ramai betul peminat UAI ni kan. Aku dah sebarkan maklumat yang salah ke? FB page Kemah Keming tu masih wujud aku tengok. Mungkin tarikh siarannya belum di tetapkan lagi. Dan aku sendiri pun tak pernah nampak promo mengenai program ini di tv.

Hari ini aku saja masuk laman sesawang  astro.com.my dan cari maklumat mengenai program ini. Aku jumpa ini dalam program guide astro ...

Tarikh siarannya di tulis 9 Jul 11.30pm pula. Tapi kat bawah tu kenapa dah jadi episod 3 tapi waktu siaran 9 Jul 5.30 pm pula.
Kesimpulan yang aku dapat, program ni memang ada, cuma tarikh dan waktu siaran mulanya belum tetap lagi kot. Aku mohon maaf pada semua andai aku dah sebarkan maklumat yang tidak tepat sebelum ni. Aku pun cuma dapat dari FB page yang aku nyatakan tadi. 

Apa pun, harap program ni akan bermula  juga nanti, tapi kalau tidak, itu semua mungkin bukan di bidang kuasa kita. Baik korang semua semak di laman seaswang astro.com sendiri.

Korang rasa aku patut simpan je entri yang pertama mengenai hebahan ini dalam draf terus atau aku patut publish kan semula, sebab aku dah buat entri susulan yang ni kan.

Buat sementara aku biarkan dulu entri tu terus berada di blog ini.

Pandangan dan pendapat semua amat aku hargai.

Terima Kasih!

updated 3 Julai 5:55pm: aku dah padam entri hebahan pertama tu. Rasa lebih elok entri tu tiada di blog ini. Moga kekeliruan ini dapat di atasi dari penjelasan dalam entri ini.
~ يوس ~

Thursday, June 28, 2012

Di sebalik title nikah : Aku terima nikahnya....

Renungan untuk para suami dan juga bakal-bakal suami....
image dari: FB page Assalamualaikum

Bukan senang nak jadi suami merangkap ketua keluarga ni. Dan juga bukan mudah untuk menjadi seorang isteri yang sentiasa membahagiakan suaminya. Isteri juga perlu memainkan peranan dalam rumahtangga. Pendek kata, dua-dua memang kena tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing kan. Kalau ada yang leka atau terlupa, masing-masing harus mengingatkan antara satu sama lain. Yang menerima teguran pula janganlah ego sangat sampai tidak dapat mengakui kesilapan. Kira suami PM keluarga dan isteri pula timbalannya. Anak-anak pula adalah menteri-menteri @ rakyat jelata di bawahnya. Masing-masing ada peranan masing-masing. 

Ketua tidak selalunya betul, anak-anak tidak selalunya salah. Kadangkala kita perlu cuba bayangkan diri kita di tempat orang lain, contoh kalau kita di tempat isteri kita, atau kita di tempat anak kita. Cuba selami perasaan mereka juga.

Sama juga dengan seorang ketua dalam satu organisasi. Cubalah jangan penting diri sendiri, berlagak bossy, masa dia saja yang betul, masa dia saja yang perlu di jaga, masa orang bawahan langsung tak ambil kira. Dia saja yang sibuk, dia saja yang betul. Semua benda cuba di laksana, konon nak dapat nama, tapi dia sendiri tak tahu buat kerja, yang laksanakan orang bawahan. Apa yang di kejar sebenarnya, kalau yang di kendong pun berciciran. Eiiiii.....emo tetiba!

Macam dah lari tajuk je ni? Ahaks...

Apa kata kita renungkan kata-kata dari Imam Ghazali ini pula,

image dari  FB 
Sama-sama kita perbaiki diri....

Ikhlas...

~ يوس ~

Thursday, May 31, 2012

10 pesanan untuk jadi isteri solehah

Kalau semalam aku kongsi panduan untuk menjadi suami luar biasa, hari ni nak kongsi 10 pesanan untuk jadi isteri solehah pula. Info ini aku dapat dari akhbar Berita Harian semalam, Rabu 30 Mei 2012, ms N6 bahagian Agama.

10 pesanan jadi isteri solehah


  • Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
  • Mendengar dan mentaati suami. ( tapi janganlah taat membuta tuli ya tak, kalau benda yang baik wajiblah taat, kalau yg tidak baik tu, bawa-bawalah berbincang dulu...ayat tambahan sendiri ni.)
  • Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumahtangga.
  • Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
  • Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
  • Menjaga makan minum suami dengan betul, tepat serta waktu tidur suami bagi elak emosi suami terganggu.
  • Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
  • Amanah menjaga harta benda dalam rumahtangga.
  • Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumahtangga kepada orang lain.
  • Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.

Image aku dapat dari blog ini, untuk entrinya Isteri solehah perhiasan paling membahagiakan. Sila terjah sana untuk baca lebih lanjut.

Peringatan dan panduan untuk diri sendiri dan kawan-kawan semua. Semoga ianya bermanfaat.

p/s: hari ni tak boleh berlama-lama dengan lappy juga nampaknya. Parents aku nak datang, tengok cucu kesayangan mereka Arif yang luka di kaki akibat terkena lidi basikal tu. Sayang betul atok dan nenek dengan cucu, dengar je cucu sakit sikit, terus terjah....huhu. Maaf ayah, emak, bulan ni belum sempat balik Melaka lagi....:D

~ يوس ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...