Aku teringat satu waktu aku pernah buat entri tentang Aqil yang mendapat markah rendah di sekolah agama kerana ujian amali solat dan ujian bacaan solatnya tidak lulus. Entri itu aku tulis pada hari
Rabu, 15 Julai 2009 seperti di sini.
Cabaran dari teguran ustazah Aqil itu, aku berjaya ajar dia solat dalam masa dua minggu saja. Semua ada aku tuliskan dalam entri tersebut.
Namun, cabaran itu tidak berakhir di situ saja. Bagaimana sebenarnya kita hendak memastikan anak-anak kita sentiasa solat, tahu bahawa solat itu wajib, tidak boleh di tinggal dan kesannya dalam kehidupan dia sehari-hari. Cabaran itu lebih besar. Lebih-lebih lagi, bukan pada Aqil saja aku perlu titikberatkan semua itu, tapi juga pada Alia, Abid dan juga Arif nanti.
Baru-baru ini ramai yang kagum bila baca cerita pasal Wardina Safiyyah mengajar anaknya yang berusia 7 tahun solat. Ya! Aku juga suka dengan cara dia. Kita sebenarnya memang perlu ajar anak solat sedari kecil, kerana kalau sudah besar lagi susah nak mendidik mereka kan.
Aku sedar, dalam aku mendidik anak-anak supaya bersolat, banyak juga kesilapan yang aku lakukan. Dari niat wuduk, cara ambil wuduk, niat solat, cara-cara solat, bacaan dalam solat, rukun solat, segala tertib yang kita ajar, dengan mudah sebenarnya anak-anak boleh ikut. Aqil memang aku ajar agak lambat, dah darjah 1 baru ajar. Tapi Alia, dan Abid lebih cepat. Alia 5 tahun dah tahu cara-cara solat, tapi bacaan dalam solat belum begitu lancar. Masuk 6 tahun, dah tahu. Abid pula sekarang dalam usianya 4 tahun lebih, amali solat sudah baik, tetapi bacaan dalam solat masih banyak perlu belajar. Kalau niat, bacaan ketika rukuk dan sujud, duduk antara dua sujud, dia dah boleh baca, tetapi yang panjang-panjang macam tahiyat awal, tahiyat akhir, doa qunut semua belum lagi.
Kesilapan terbesar aku ialah tidak konsisten dalam mendidik mereka mendirikan solat dan tidak tegas. Kenapa aku kata begitu? Aku tidak tahu bagaimana kawan-kawan semua lakukan, tetapi aku sedar ini memang kesilapan aku. Ini kesilapan aku yang biasa.
- Contoh solat Subuh, bila dah terlambat, aku biasanya tak tegas suruh mereka solat. Bila mereka kata lambat dah ibu, aku pun diamkan saja. Jadi mereka tak solat.
- Waktu Zohor pun sama. Van sampai rumah dah pukul 1.15. Pukul 1.50 dah sampai semula depan rumah untuk bawa mereka ke sekolah agama. Kedua-dua mereka sangat lambat makan dan salin pakaian. Jadinya mereka tinggal solat lagi. Aku pula selalu fikir, takpe mereka kecik lagi. Aqil darjah 3, Alia darjah 1.
- Waktu Asar, balik dari mengaji mereka dah sibuk nak bermain di luar. Kadang-kadang mereka solat, kadang-kadang tidak. Bila kawan-kawan dah mula menekan loceng untuk ajak main di luar, aku cakap apa pun mereka tak dengar. Sudahnya mereka tak solat lagi. Kawan-kawan pun jenis yang sama jadi susah untuk aku suruh mereka solat.
- Waktu maghrib adalah waktu yang paling rajin mereka solat. Memang jarang tinggal, tambahan pula SRD sudah di rumah. Mereka takut dengan abah mereka berbanding aku.
- Mereka biasa tidur pukul 10 malam. Aku pula ralit dengan kerja-kerja rumah,atau menonton tv. Bila mereka penat dan dah tertidur, nak kejut untuk solat aku yang kesian. Ini lagi kesilapan besar!!!!
- Bila hari cuti atau balik kampung, sepupu yang sebaya pun ada sama, suruh mereka solat mereka buat tak dengar, bila kawan sebaya tak solat, dan keluarga mereka pun tak tegas suruh solat, aku pun terikut sama. Besar sungguh kesilapan aku.
- Bila dalam perjalanan ke sesuatu tempat. Kami akan berhenti singgah solat di mana-mana. Atau kalau jauh, kami biasanya akan jamak solat tu. Tapi anak-anak masih belum tahu cara jamak solat. Dan kami juga tak tegas suruh mereka solat. Lagi satu kesilapan yang tak boleh di maafkan.
Aku sedar inilah antara kesilapan besar aku dalam meyuruh mereka solat. Tidak konsisten dan tidak tegas. Jadinya, walaupun mereka sudah tahu solat, pandai solat, tapi tak tegas dalam menyuruh mereka mengerjakan solat hanya kerana aku kata, mereka masih kecil, lambat lagi....itulah kesilapan yang terlalu besar!!!
Aku tak mahu terus alpa. Aku sudah sedar kesilapan aku. Aku mula bertegas dengan mereka.
- Waktu Subuh, aku pastikan aku bangun awal dari biasa supaya aku boleh pantau mereka solat dan mendengar bacaan mereka sekali. Anak-anak ni, bila buatnya sekali sekala, bacaan mereka pun ada yang salah, baca nak dengan cepat sebab nak habis cepat, aduhai.
- Zohor pun sama. Kalau dulu biasa waktu tengahari memang aku suapkan mereka kerana takut mereka lambat bersiap, van dah sampai. Tapi sekarang, aku dah tak buat begitu, aku pastikan mereka makan sendiri dengan cepat, dan dirikan solat Zohor sebelum van sampai. Tak sangka, aku berjaya suruh mereka solat, dan mereka pun boleh lakukannya.
- Waktu Asar pun sama. Balik dari sekolah agama dan mengaji, sampai rumah dah pukul hampir pukul 5 petang. Biasanya waktu ini kawan-kawan setaman dan mula menekan loceng rumah ajak Aqil dan Alia bermain. Kali ini aku tak beri mereka peluang lagi. Sebelum keluar harus solat Asar dulu. Atau kalau mereka dah keluar pun, aku panggil mereka balik untuk dirikan solat Asar, kalau tidak tak boleh teruskan bermain sampai bila-bila. Alhamdulillah, mereka mengikut walaupun mula-mula dalam terpaksa. Ada rasa marah di hati mereka. Mereka mempersoalkan lagi kenapa kawan-kawan tak solat takpe, kenapa mereka saja perlu solat. Sungguh besar carbaran nak menerangkan hal ini kepada mereka. Hari demi hari aku terangkan, solat itu wajib untuk semua orang. Bagi yang tak buat, boleh masuk neraka, akan sentiasa lalai dalam tugas mereka, jadi hamba-hamba Allah yang rugi. Ibu tak mahu anak-anak ibu tergolong dalam kumpulan hamba-hamba Allah yang rugi, yang sesat di kemudian hari. Akhirnya mereka faham juga, walaupun belum sepenuh hati. Bayangkan, sangat susah nak suruh mereka solat, bila kawan2 dah menunggu di depan pintu ajal bermain, siap jenguk dari tingkap lagi. Tapi aku cekalkan hati, aku mahu mereka tunaikan tanggunjawab solat itu sebelum mereka bermain. Mula-mula mereka lakukan dengan tergesa-gesa, dalam kepala nak main saja. Aku suruh mereka ulang semula sehingga mereka buat dengan betul, hilang perasaan marah mereka, sehingga aku puashati dengan bacaan mereka. Lama-lama mereka sendiri faham. Aku pula yang geram dengan kawan-kawan mereka yang lain, memang aku tutup pintu kunci dan aku kata, pergi solat dulu ya. Aqil dan Alia nak solat Asar dulu, baru boleh main. Tapi mereka cuma main jauh sikit, dalam 5-10 minit dah datang semula, tengok Aqil dan Alia dah selesai solat atau belum. Cabaran sungguh!!!
- Maghrib memang tiada masalah. Isyak sekarang pun dah takde masalah. Selepas makan dan selesai kerja sekolah, dalam pukul 9.15 aku dah suruh mereka solat. Sebelum mereka mengantuk. Mereka berjaya lakukannya. Cumanya aku dah takde peluang nak menonton tv atau bersenang lenang seperti biasa. Takpe, demi masa depan anak-anak kita memang harus lakukan itu kan.
Aku praktikkan semua di atas bukan untuk Aqil dan Alia saja, juga untuk Abid. Surprisingly, Abid lagi mudah ikut. Dia juga pandai berdoa. Bab doa ni, memang aku suruh mereka luahkan apa yang mereka inginkan setiap kali selesai solat. Apa yang mereka mahu lahir dari hati nurani mereka. Sangat susah nak suruh mereka buka mulut mulanya, tapi lama-lama mudah juga.
Pernah satu hari Alia bersuara ketika aku suruh dia solat. Dia kata, " Alia tak suka solat!"
Ya Allah! Terkejut besar aku. Biasa aku memang sudah melenting, tapi hari itu entah kenapa Allah bantu aku. Selepas saja dia kata macam tu, guruh di langit berdentum kuat. Sungguh!
Terus aku kata pada dia, "kenapa Alia cakap macam tu? Tengok Allah dah marah. Sebab tu guruh berdentum kuat, Alia tak takut ya dengan siksaan Allah."
Dia terus jadi takut, terus mukanya pucat, terus dia kata, "Alia minta maaf ibu. Tak boleh cakap macam tu ya ibu. Tapi Alia penat, asyik-asyik solat je."
Selepas daripada itu, dan aku pun sentiasa berbicara tentang kebaikan dan kelebihan menunaikan solat, dia semakin ok, dan tak malas sangat lagi nak dirikan solat walaupun ada ketikanya liat juga.
Aku sendiri memang perlu banyak berdoa selepas solat untuk anak-anak. Memang cabaran besar kan. Aku ingin tahu juga bagaimana kakak-kakak di luar sana lakukannya pada anak-anak. Juga pada mereka yang sebaya aku, muda dari aku. Mungkin boleh kita kongsikan bersama. Cabaran mendidik anak zaman millineum ni memang besar kan.
Satu lagi yang ingin aku kongsi di sini dari satu laman web yang aku baca:
Aku jumpa satu artikel menarik
di sini yang aku rasa kita sebagai ibubapa memang banyak lakukan kesilapan seperti yang di nyatakan itu. Apa kata kawan-kawan semua lihat sekali...
15 Kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak
Sesungguhnya ini adalah sekadar coretan hasil dari pengalaman aku sendiri seorang ibu muda yang masih perlu banyak belajar dan masih cetek ilmu agamanya. Aku amat berbesar hati sekirannya rakan-rakan di luar sana dapat kongsi maklumat seumpama, bagaimana anda mendidik anak mendirikan solat ya? Terutama akak-akak yang sudah punya anak yang remaja, pasti pernah lalui cabaran ini kan.
Banyak lagi yang perlu aku belajar untuk jadi ibu yang baik kepada anak-anak. Zaman makin maju, anak-anak makin bijak, tapi kita juga tidak mahu mereka lupa tentang dunia akhirat.Banyak yang akan di tanya pada kita di akhirat nanti, takutnya!! Sama-samalah kita kongsi apa yang baik tu ya.
Ikhlas,
~ يوس ~