Friday, December 28, 2012

I'm back!!! : Penangan Istanbul Aku Datang...

Fuh!!! Sebulan rupanya aku tak berceloteh di sini. Rasa dah hilang minat pun ya juga. Mesti dah ramai yang lupa. 

Tapi semalam, lepas tengok Istanbul Aku Datang, Dian tu kan blogger juga, entah kenapa, suka cara dia menulis di blognya tu. Teringat masa aku mula-mula berblog 6 tahun dulu. Lebih santai, lebih relax, apa rasa nak tulis, pakai taip aje, tapi sekarang rasanya aku lebih berhati-hati. Not every single things happened in your life could be share kan.

Pertama kali melanggan Astro First. Gara-gara nak tengok Beto dalam Istanbul Aku Datang. Dah lama nak tekan 'beli' pada remote astro tu tapi selalu terhalang niat tu sebab rasa tak penting pun. Tapi semalam, hari yang agak membosankan. Dengan SRD OS (berapa kali nak OS dalam seminggu agaknya? huhu), kepala  pula pening, emosi kurang stabil. Aku over sensitif sekarang! Kenapa sikit-sikit rasa nak mengalir je air mata. Pembawakan budak mungkin. This time over moody....huhu.(Pleaseeeeee someone! Help me!!! )

Tapi this movie entitled Istanbul Aku Datang berjaya buat aku terhibur. Senyum sorang, (eh! Rasa Alia pun senyum-senyum sorang aku perhatikan), sweet movie lah ya. 

Dari dulu tak berapa minat Lisa, tapi cerita ni oklah lakonan dia. Beto seperti selalu tidak menghampakan, dan Tomok pun not bad. Takdelah kaku sangat macam review yang aku baca sebelum ni. Aizat pun ok walau scene dia sikit aje.

Baru tahu kalau langgan Astro First ni boleh tengok cerita tu 48 jam ya? Haha, sah masih macam katak di bawah tempurung. Hasilnya dah 3 kali aku ulang cerita tu, masih tak jemu dan menghiburkan.

Selain itu, ianya berjaya juga buat aku menulis semula di blog yang aku sayang ni. Harap aku tak terus putus semangat menulis di sini. Banyak kenangan belum sempat aku coretkan, rasa macam ianya akan hilang begitu saja dari ingatan. Kalau di tulis, boleh baca semula kan!

Oklah. GTG, salam.....

p/s: ada yang rindu Yus ke? Adeh! Jangan perasanlah ya! Ahaks!


~ يوس ~

Tuesday, November 27, 2012

Sepupu paling kecil datang ke rumah : Welcome Nuha! and Happy 6th birthday Abid

Cerita berlaku seminggu yang lepas. Baru rajin nak update. Huhu.....sungguh sekarang ni sedang tahap kemalasan yang melampau! Serba serbi malas je.....huwaaaa!

Ok!Ok! Mood rajin sikit pagi ni.....

19 November yang lepas sepupu paling kecil budak-budak ni pertama kali datang ke rumah kami. Datang bersama bondanya Cik Ana anak-anak aku tu, dan Tok Mak mereka (mil aku yang tersayang). Sampai juga Nuha ke rumah mokteh ya!

Geram sungguh dengan si Nuha ni. Peel baru dia yang aku nampak hari tu, suka sangat terjeler lidah. Jelir lidah sampai semua lidah nak terkeluar. Tapi bila aku nak ambil gambar, pandai pula cover tu....huhuhu. Memang dah nak makan sangat kot budak ni ya Ana....hihi.

Tapi Nuha datang sekejap aje. Hanya sempat bermalam semalam di rumah kami. Entah bila Nuha nak sampai lagi lepas ni ya! Esoknya 20 November Nuha dah berangkat pulang. Sebelum pulang, kita kerjakan Nuha. Ambil gambar banyak-banyak dengan dia....hehe.

Bersama Arif, dua-dua tersengih, sorang belum ada gigi, sorang lagi dah nak hilang gigi....huhu. Lepas ni Nuha dah tak jadi sepupu paling kecil lah ya, ada dua bakal menyusul, adik Arif jadi paling kecil pulak....hehe.

Bersama Kakak Alia dan abang Arif. Alia anak dara aku sorang ni memang dah boleh di harap urus adiknya Arif. Pegang Nuha pun tak nampak kekok, senanglah ibu nanti ya Alia...:)

Lagi anak-anak aku bersama Nuha. Gambar kanan baru abang Abid nak menyelit. Hari itu 20 November adalah hari ulangtahun Abid yang ke 6. Abang Aqil tak join, jalan masih mengengkang belum baik sunat...hihi.

Sempena birthday Abid, pagi itu bersarapan dengan kek budak-budak ni. Nuha tolong tengok, baru perasan takde Nuha pun dalam gambar masa nak potong kek. Arif lagilah, mandi pun belum....huhu.
Selamat hari ulangtahun yang ke 6 buat anak ibu Abid. Minta maaflah baru hari ini ibu update dalam blog ni. Abid tak kisah pun kan, ibu je rasa bersalah pada diri sendiri sebab takde buat apa pun untuk birthday Abid kali ni. Pening lalat tak sudah ibu kan. Doakan ibu dapat habiskan 1st trimester ni dengan cepat, ibu pun dah tak larat rasa....huwaaa.

p/s: Minggu depan baru plan nak buat buku merah sebab dah masuk 12 minggu....:)
~ يوس ~

Thursday, November 15, 2012

Aqil dan Berkhatan

Semalam tarikh 14hb November 2011 bermulalah episod baru buat anak bujangku Aqil. Beralih ke satu fasa baru, selamat sudah dia berkhatan dengan kaedah Alisklamp di Putra Specialist Hospital Batu Pahat, alhamdulillah.

Benar juga kata orang, bila dia dah sebut sendiri nak berkhatan tu baik segerakan, jadi perasaan takut pada diri anak tu kurang sikit. Aqil nampak selamba dan steady saja sepanjang di khatankan. Good boy Aqil.

Ini ketika mula-mula sampai di hospital dan baru selesai buat pendaftaran. Tempahan untuk berkhatan sebenarnya dah di buat sebelum cuti sekolah lagi, semalam ada 5 peserta kesemuanya yang berkhatan di PSHBP. Setiap orang yang mengikuti program berkhatan di sini di beri satu goodies bag yang di dalamnya berisi 1 tin biskut Munchy, 1 helai kain pelikat, 2 bekas kacang (jajan), satu pamplet panduan & maklumat selepas berkhatan dan paling best kata Aqil sebab dapat angpow berisi duit RM10. Tu pasal tersenyum lebar sampai keluar dimple tu.....hehe.

Proses berkhatan sedang berjalan. Aqil orang kedua di khatankan semalam. Sepanjang berada atas katil tu doktor suruh dia baca Al-Fatihah. Dok ulang-ulang baca dari mula naik katil sampai semua selesai. Sampai tersasul-sasul pun ada....hihi. Tapi dia memang nampak bersedia, sekali sekala mukanya berkerut menahan sakit kot, tapi semuanya berjalan lancar dan berjaya, alhamdulillah.
Aku memang tak mahu lepas peluang untuk turut berada dalam bilik OT tu. Anak sulung berkhatan, satu pengalaman yang tak dapat di lihat lagi lain kali. Haruslah tak lepas peluang kan walau sebenarnya aku yang lebih kecut perut kat dalam tu. Duduk paling hujung kat tepi pintu, bila nampak muka anak berkerut, mulalah aku paling muka ke pintu. Takut nak tengok.....hahahha. Ni kira takut dalam berani. Masuk dalam bilik tu dalam pukul 9.10 pagi, selesai semua lebih kurang pukul 9.30, alhamdulillah.

Keseluruhannya aku puashati. Yuran berkhatan di sini RM230 dan doktor juga mengajar kami cara membuka klamp selepas 5 hari. Di jangka klamp Aqil boleh di buka hari Selasa nanti. 

Setelah semuanya selesai bergambar di luar bilik OT bersama person in-charge En Eizzwan. Aku buat tempahan berkhatan di PSHBP ni dengan dialah. Wajah Aqil nampak ceria lepas sunat kan. Gambar kanan tu, masa tunggu ambil ubat di farmasi, sengaja di kerutkan muka dia, padahal sebenarnya biasa je.

Dapat hadiah kerusi malas dari abahnya. Senang nak berehat dan duduk tengok tv. Arif pun enter frame sekali. Maklum tadi tak dapat ikut ke hospital. Dia kena tinggal bersama atok ayah dan maktoknya di rumah.
Kali pertama nak buang air kecil selepas berkhatan, muka Aqil berkerut seribu menahan sakit, tapi alhamdulillah takdelah sampai mengalir air mata sakit. Aqil memang berani bagi ibu. Tahniah Aqil. Lepas dari tu dah khusyuk main PS2 dia. Hari pertama aku beri dia makan nasi dengan kuah sup ayam dan sayur buncis aje. Ayamnya aku tak berani bagi. Dan pertama kali dia makan sayur buncis tu, selama ni tak mahu makan sayur. Itu pun sebab di hospital tadi doktor pesan jangan lupa makan sayur kalau nak cepat baik. Banyak juga dia makan, boleh pulak telan sayur ya??? Kalau tidak, tak mau dia makan....huhu.

Ada orang jeles sebab Mak Toknya beri duit RM10 pada Aqil sedang dia cuma dapat RM2. Abidlah tu. Kata maktoknya, "Aqil dan sunat! Abid belum kan!".

Terpaksa akur....hehe.

Ada yang jeles juga sebab aku suap Aqil dan Arif makan, siapa lagi kalau bukan Abid dan Alia. Nak juga bersuap bagai, tunggu nanti Abid sunat ya!!! Arif tu memang harus di suap, kalau tidak dia makan sikit sangat. Bila bersuap, banyak sikit dia makan. Alia pun nak bersuap juga? Adeh! Semua masih nak manja dengan ibu ya, dah nak tambah adik pun tau!

Selamat berhijrah ke alam lebih dewasa buat anak ibu Aqil. Moga jadi lebih matang dan jadi abang yang baik buat adik-adik ya sayang. Tak sangka dah bujang anak sulung aku ni.......hihi.

Dan buat semua pembaca blog ini, Salam Maal Hijrah 1434 H.

~ يوس ~

Friday, November 09, 2012

Hari Anugerah Kecemerlangan 2012

Tahun ini tahun yang baik buat anak ibu Alia Zafirah. Muka ceria, dan gembira sebab menerima banyak hadiah. Namun Aqil monyok sedikit sebab tahun ni tak bernasib baik untuk naik ke pentas. Prestasi Aqil sedikit merosot, walau peratus keseluruhannya meningkat dari peperiksaan pertengahan tahun. Entah mana silapnya, tapi pelajar tahun 4 semua merosot ku kira sebab dalam senarai penerima hadiah semalam tiada seorang pun pelajar tahun 4 yang mendapat 5A....huhu. Cikgu tahun 4 harus kena soal ni....hehe, atau mungkin semua pelajar tahun 4 enjoy main aje ya!!!

Apapun, Tahniah buat anak ibu Alia, dan buat Aqil jangan putus asa. Perbaiki lagi untuk tahun hadapan ya sayang...

Gambar-gambar sekitar majlis yang berlangsung semalam.

Alia tiga kali naik ke pentas menerima hadiah untuk 4 kategori berlainan. Untuk hadiah matapelajaran terbaik Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris cikgu bagi sekali dua beg terus, tak perlu nak ulang naik pentas.

Bersama kawan-kawan sebayanya yang turut menerima hadiah.

Dah sampai rumah, tersenyum rian bersama hadiah dan piala yang dia terima. Beg belakang sekali tu yang ada reben hijau tu, ibu punya untuk hadiah cabutan bertuah. Tak sangka tahun ni dapat pula hadiah cabutan bertuah sebab selama ni tak pernah bertuah pun nak dapat.....hehe.
Petangnya di sekolah agama pun berlangsung majlis anugerah kecemerlangan juga. Tapi aku tak pergi tengok pun. Pening tak habis hadir untuk majlis sekolah pagi  kan. Sebenarnya pening dengan badan yang tak berapa sihat asyik loya di tambah lagi dengan terpaksa melayan kerenah Arif yang terlalu ligat. 3 kali kakaknya naik pentas pagi itu, 3 kali juga dia pun berlari atas pentas. Sudah tu tak mahu turun-turun dok berlari-lari atas tu. Kita sibuk nak ambil gambar kakaknya, dia pun buat perangai lah kan....huhu.

Berlari atas pentas lain, minta beg plastik dari orang lain, dok sibuk susun kerusi lain. Kalau tak kerana ibu nak tengok kakak kamu, ada yang ibu pulang awal tau Arif! Bila di suruh duduk diam, kita pegang, mulalah mulut dia bising, terjerit-jerit. Adeh!!! Anak siapalah tu. 

Ini pula hadiah dari sekolah agama yang Alia terima untuk tempat kedua dalam kelas.
Buat anak ibu Nur Alia Zafirah, tahniah ya! Moga terus sukses, mendapat keputusan yang lebih baik di tahun-tahun akan datang, dan berjaya di dunia dan di akhirat....Aminnn. 


~ يوس ~

Wednesday, November 07, 2012

Abid : Video persembahan membaca dalam bahasa inggeris

Ok, gagahkan diri nak kongsi video Abid ni di blog. Apsal lah lemau sangat dua tiga menjak ni?...huhu.


Video Abid buat persembahan membaca dalam bahasa inggeris semasa hari konvokesyen tadikanya Ahad lepas. Tajuk cerita yang dia baca.."Our School"

We love our school
We think it is the best
because we all make it the best.

We respect our teachers
and we repect each other
We think it is important
to be polite at all times

Everyone at our school,
tries hard to be honest and fair.
We all try hard to do our best
at our work,
at our play
and at our sports.

Our shool is like one big family
We want everyone to be proud of our school
as we are!

Itulah teks cerita yang dia baca. Tak dapat ambil gambar dia dari mula, tekan je record dah sampai perkataan Our school....huhu.

Ibu bangga sebab Abid tak gentar di atas pentas tu. Well Done Abid! Abid juga berjaya mengekalkan kedudukan di tempat pertama untuk pelajar tadika 6 tahun. Tahniah Abid!

Abid dan hadiah untuk tempat pertama dalam kelas.
Tersenyum aku bila Tok Maknya bertanya, "Abid dapat hadiah apa?"

Dia jawab, "Abid tak dapat hadiah pun, dapat piala aje!!"

Haha....tulah. Satu yang tak best aku rasa, kata konvokesyen tadika, tapi takde pakai jubah pun? Nasiblah gambar yang dapat hari tu ada pakai jubah ya Abid. Haha, ibu yang semangat nak tengok anak pakai jubah sebenarnya....ekekek.

~ يوس ~

Thursday, November 01, 2012

Arif: Gaya bawa beg

Gambar-gambar yang sempat aku ambil ketika keluar dari hospital tempohari. Gambar Arif je pun. Senyum aku tengok dia sekarang. Semakin bijak, dan kalau boleh banyak benda nak buat sendiri. Cuma satu je yang dia malas, bila nak susu tahu perintah aje. "Ibu!!! Tol mana?"

Itulah ayat wajib dia bila nak botol susu. Walau botol susu tu depan mata je pun, haram dia nak rajinkan tangan ambil. Buat muka toya je, tetap nak kita juga yang ambil. Hangin aku...huhu.

Arif berbaju melayu hari itu, mulut dia bising je sepanjang berada di wad dan hospital tu. Sibuk nak bawa beg berisi baju dan telekung aku, tapi cuba tegok gaya dia bawa beg. Apa yang istimewanya?

Tangan harus di angkat ke atas ya!!! Sepanjang perjalanan dengan beg tu tangan tak boleh turun bawah, sebab kalau tangan jatuh, beg pun jatuh.......hahahhahaha!!!!
Seboleh-boleh dia yang nak bawa beg tu, orang lain jangan kacau, saya nak tolong ibu!! Kan Arif.

~ يوس ~

Tuesday, October 30, 2012

Raya korban aku bermalam di hospital

Salam....

Ok, baru 11 hari aku menyepi dari blog dah rasa rindu. Tapi serius, tak tahu nak update apa. Kenapa blog ini sepi?


  1. Puan blog tak berapa sihat, kali ini rasanya mabuk teruk juga.
  2. Takde idea nak update apa.
  3. Aik!! Tak kan takde cerita raya korban kan?
Ok. Raya haji kali ini tak nampak pun orang sembelih lembu. Tak pergi sembahyang raya pun. Tak sibuk masak juadah raya pun. Sebabnya, pagi raya aku di hospital....huhu. 
Dapat ambil gambar tangan sendiri je yang dah kena cucuk sebab kena masuk air,
Bukanlah serius sangat. Tapi satu pengalaman juga, mengandung kali ni awal-awal dah kena tidur dekat wad. Pagi Khamis tu, bangun dari tidur dah rasa sakit menyucuk di bawah perut dekat ari-ari tu. Tapi aku diamkan aje. Masa tu memang dah ada di rumah emak. Sarapan, makan macam biasa. Tapi setiap masa tak selesa. Rasa sakit je. Cuba google di internet, apa penyakit kalau sakit tang situ.

Jumpalah istilah kencing kotor. Ok! Noted, agak mesti aku kena kencing kotor kot. Pergi Poliklinik Wahidah di Ayer Keroh. Doc buat scan dan check perut. Nampak kandungan dalam rahim, dia tekan-tekan dekat perut bahagian bawah tu. Aku kata lagi dia tekan lagi sakit. Tetiba dia kata appendix kot?

Ha!! Sudah! Terus dia buat surat refer ke GH. Ke hospital Melaka aku petang tu. Bila doc buat pemeriksaan, dia dapat kesan betul ada jangkitan pada air kencing. Kira betul lah kena kencing kotor tu, tapi sebab ada surat dari klinik luar kata aku mungkin kena appendix jadi prosedur hospital, kena stay di wad untuk pemeriksaan lanjut dari yang lebih pakar.

Adeh!!! Kalau tak mahu duduk wad, kena tandatangan surat akuan mengatakan kita tak mahu tinggal di wad atas pilihan sendiri dan kalau berlaku apa-apa, hospital tak akan tanggung segala apa yang berlaku selepas itu. Makanya atas nasihat SRD aku bermalam di wad malam itu.

Bila malam, sakit aku bertambah kuat. Terutama ketika nak baring di katil. Kena masuk air dua tiub melui tangan. Aku di suruh berpuasa malam itu. Kali terakir makan pukul 3.30 petang. Aku dah lapar!!! Tapi tak boleh makan.....huwaaa. Darah di ambil satu tiub kecik, air kencing di ambil 2 botol. Entah apa ujian dia nak buat.

Malam itu, doc buat scan lagi. Semuanya normal alhamdulillah. Doc buat scan dalam kawasan labour room. Berpeluanglah lihat ramai yang keluar masuk bilik nak bersalin. Terdengar suara-suara kesakitan bakal-bakal ibu yang sedang bertarung nyawa melahirkan bayi mereka. Terdengar juga jeritan suara bayi-bayi yang baru lahir. Tetiba terus rasa seram.....Aduh! Aku akan mengalami pengalaman itu sekali lagi nanti. Takut juga walau dah mengalaminya 4 kali....huhu.

Malam itu tidur tak berapa lena, kesejukkan dan lapar....huhu. Tapi pukul 5 pagi air dari tiub kedua dah habis dan misi kata aku dah boleh makan dan minum. Syukur. Tapi yang ada di sisi hanya biskut tiger dan roti buterscotch tu, Makan itu ajelah.

Pagi dapat sarapan bee hoon goreng singapore yang rasa tawar je. Pagi itu bila doc besar (isitilah dari misi-misi di situ) datang buat pemeriksaan, dia kata aku dah boleh balik. Syukur lagi. Kira betullah hanya masalah kencing kotor.

SRD sampai lebih kurang pukul 11.30 pagi. Barulah dapat makan best sikit. Emak bekalkan soto dengan sup tulang. Ada begedil lagi. Tengahari dah berada di rumah emak. Makan di hospital tadi tak puas. Sekali lagi melantak soto...hihi.

Petangnya ke rumah akak ipar aku. Makan nasi beriani yang dia buat. Malam itu pergi kenduri kawan ayah. Dia buat korban satu keluarga dan terus masak lembu dan kambing korban tu di rumahnya. Jemput seluruh kampung makan kenduri. Alhamdulillah.

Apa lagi yang berlaku malam itu? Ha!! Abid nyaris terhempap motor. Tulah dok sibuk main panjat-panjat motor yang ada kat rumah orang tu, nyaris terhempap motor. Nasib baik dia berjaya elak, kena sipi juga di bahagian kaki.

Walau lauk kenduri nampak sedap, tapi aku tak makan banyak pun. Kurang selera, rasa loya aje. Sepanjang minggu ini memang rasa loya tak sudah. Pagi-pagi je muntah. Kali ni punya morning sickness agak terlebih kot. Tak macam biasa. Nak masak pun ada rasa lain dari yang sebelum ni. Nampak darah ikan nak muntah, nampak ayam pun nak muntah. Susahnya aku rasa....Dugaan orang mengandung.

Sabtu tu, ayah sibuk dengan majlis korban di masjid, konon nak tengok pun tak terdaya. Rasa kalau nampak darah lembu banyak2 mau pengsan, baru tengok darah ayam dengan ikan pun dah pening dan nak pitam.

Oklah, mengadap lappy lama2 pun pening. Rindu nak baca blog kawan-kawan semua, tapi kesihatan tak berapa mengizinkan. Nanti-nanti ya. Terima kasih sudi baca.


~ يوس ~

Thursday, October 18, 2012

8 Perkara Wajib untuk Kehamilan yang sihat!

Baca satu lagi info berguna mengenai kehamilan. Apabila kita tahu saja kita hamil, perkara yang paling penting di titikberatkan adalah penjagaan kesihatan. Dalam tempoh 40 minggu kehamilan tu, akan berlaku banyak perubahan dari segi fizikal dan mental pada diri kita. Makanya perlu ada persiapan agar sepanjang kehamilan kita berada dalam keadaan sihat.

8 Perkara Wajib untuk kehamilan yang sihat ialah : -

Sumber di petik dari pama.karangkraf.com. Aku kongsi yang ringkas saja, nak penerangan lanjut sila terjah sana ya.

  1. Pemeriksaan Antenatal untuk memastikan anda dan bayi sihat sepanjang kehamilan.
  2. Jaga Pemakanan - ibu hamil perlu mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang.
  3. Pengambilan asid folik. Ia dapat membantu mencegah masalah spina bifida dan masalah kecacatan tiub neural.
  4. Bersenam
  5. Memakai pakaian dan kasut yang sesuai.
  6. Hadkan pengambilan kafein kerana sesetengah penyelidik berpendapat bahawa pengambilan terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko keguguran dan melahirkan bayi yang tidak cukup berat.
  7. Atasi morning sickness 
  8. Berehat secukupnya.

Ada lagi ke yang ibu hamil perlu ambil tahu semasa kehamilan? Bolehlah kongsikan di sini.

p/s: Walau ini bukan kali pertama hamil, kadang-kadang kita terlupa apa yang perlu di titikberatkan semasa mengandung. Info ini sebagai satu cara untuk aku refresh semula apa yang pernah dan mungkin aku tak tahu sebelum ini. Juga untuk perkongsian bersama kepada pembaca yang lain.
~ يوس ~

Doa Mudah Bersalin & Kesejahteraan Anak Dalam Kandungan



اللَّهُمَّ احْفَظْ وَلَدِيْ مَادَامَا فِيْ بَطْنِيْ وَاشْفِهِ وَأنْتَ شَافٍ لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

اللَّهُمَّ صَوِّرْ فِيْ بَطْنِيْ صُوْرَةً حَسَنَةً وَثَبِّتْ قَلْبَهُ إِيْـمَانًا بِكً وَبِرَسُوْلِكَ


اللَّهُمَّ أَخْرِجْهُ مِنْ بَطْنِيْ وَقْتَ وِلاَدَتِيْ سَهْلاً وَتَسْلِيْمًا


اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَحِيْحًا كَامِلاً وَعَاقِلاً حَاذِقًا عَالِـمًا عَامِلاً


اللَّهُمَّ طَوِّلْ عُمْرَهُ وَصَحِّحْ جَسَدَهُ وَحَسِّنْ خَلْقَهُ وَأفْصِحْ لِسَانَهُ وَأحْسِنْ صَوْتَهُ لِقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ وَالْحَدِيْثِ بِبَرَكَةِ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وَسَلَّمَ


وَالْحَمْدُلِلّهِ رَبِّ الْعَالَـمِيْنَ

Ya Allah ,

peliharalah anakku selama ia berada di dalam kandunganku dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan , tidak ada penawar melainkan penawar-Mu , penawar yang tidak meninggalkan penyakit.

Ya Allah ,

Engkau perelokkanlah kejadiannya yang sempurna dan tetapkanlah hatinya agar beriman kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu.

Ya Allah , zahirkanlah dia ke dunia dengan mudah dan selamat .

Ya Allah anugerahkanlah dia kesihatan yang sempurna , berakal dan bijaksana , alim dan beramal .


Ya Allah ,

panjangkanlah umurnya dalam ketaatan , sihatkanlah tubuh badannya ,dan indahkanlah akhlaknya , fasihkanlah lidahnya , perelokkanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhamad s.a.w. dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam .



~ يوس ~

Wednesday, October 17, 2012

Kenangan di tadika bersama Abid.

Tadi nak buat tajuk lain, tapi teringat pula semasa Alia dapat gambar yang sama dulu, aku buat entri dengan tajuk Kenangan di tadika bersama Alia. Makanya, Abid pun samalah...hihi.

Sudah habis peperiksaan untuk Abid di tadika. Keputusan belum di ketahui. Majlis konvokesyen di jangka pada 4 November ini, namun gambar bersama rakan-rakan dan gambar berjubah pegang scroll sudah di perolehi.

Segak bergaya Abid ibu tengok. Gambar ni ibu ambil semula guna kamera hp je, tu pasal tak cantik. Takpelah yang ori cantik kan, kita mana ada scanner....hehe. Anak ibu yang sentisa manis bila tersenyum Muhammad Abid Zulfan
Bila lihat Abid bersama kawan-kawannya, memang semua tak sangka dia sudah 6 tahun. Kalau ikut bulan belum lagi ya Abid, bulan depan baru cukup 6 tahun, tapi lebih ramai yang menyangka Abid ni 4 tahun....huhu. 

Perkembangan Abid sebagai persediaan untuk masuk darjah 1 tahun depan.

  • Sudah boleh membaca dengan baik juga untuk Bahasa Melayu tetapi kerap membuat kesilapan bacaan terbalik suku kata. Dia ni dari dulu memang ada masalah ni, 'b' dia kata'd' dan begitulah sebaliknya. Bila dah boleh membaca pun, selalu terbalik suku kata, suku kata belakang dia sebut dulu, pelik pun ya juga. Untuk English, masih belum begitu baik, tapi oklah. Malah Abid bakal buat persembahan membaca cerita dalam Bahasa Inggeris masa konvokesyennya nanti. Sekarang tengah gigih berlatih. Cikgu suruh Abid buat persembahan di pentas, sebab masa pertandingan membaca dalam aktiviti ko-kurikulum yang lepas, Abid dapat tempat pertama.

  • Menulis juga baik, cuma tulisannya agak besar-besar bagi ibu. Menulis nama sendiri, tang bahagian Muhammad tu selalu salah, tapi Abid Zulfan tu laju je.

  • Kemahiran mengira ok bagi ibu, cuma bila bab tolak tu masih perlu latihan lebih.

  • Kemahiran mewarna pun baik dah bagi ibu. Kalau nak bandingkan dengan kakaknya Alia, Abid lebih cantik mewarna.

Salah satu hasil mewarna Abid, tengoklah kepak burung pun dah sama warna dengan sarangnya...huhu.
  • Pemahaman membaca baik. Abid suka bertanya dari apa yang dia baca, dia memang selalu banyak soal. Membaca bersama Abid perlu kesabaran sebab satu ayat dia baca, banyak benar soalannya....adeh!

  • Himpunan doa-doa, Abidlah yang paling pandai antara semua. Abang, kakak dan ibu pun banyak belajar doa baru dari Abid. Well Done Abid!

  • Bacaan solat juga sudah lancar walau ada yang pelat sedikit. Sebenarnya sebutan kurang betul sebab dia nak laju je. Cuma ibu geram, Abid selalu nak cepat, ekpress bebenor sampai tersasul-sasul...huhu.

Serba ringkas perkembangan Abid dari pemerhatian ibu. Satu yang ibu risau, Abid ada sifat "mesti Abid dulu" saja. Di sekolah cikgunya selalu kata, kalau cikgu bertanya dan cikgu panggil nama orang lain dulu, dia akan merajuk dan terus tak mahu jawab walau soalan lain. Adeh!!! Kat tadika bolehlah cikgu beri perhatian pada Abid lebih, di sekolah biasa mana boleh begitu Abid!!!

Kuat merajuk!! Kalau kena marah dengan ibu di rumah, mesti hari itu cikgu dia mengadu, "Abid hari ni monyok je, semua kerja nak tak nak je buat. Kat rumah kena marah ya!"

Sampai cikgu pun tahu dah....sensitif terlebih. Pandai tapi over sensitif, macam mana tu Abid?

Apa pun ibu doakan Abid berjaya di sekolah, dan menjadi murid yang pintar, bijak dan cergas ya. 

Ini pula Abid bersama guru dan rakan-rakan sekelasnya. Nampak ta Abid di mana? Murid lelaki paling rendah tu dialah...huhu
P/s: Korang, Blog Yus - Our Life sekarang ada page sendiri di fb. Like kalau sudi ya....:) Klik image di bawah ni....terima kasih.


~ يوس ~

Tuesday, October 16, 2012

Adik - adik sepupu Arif...

Kalau nak tunjuk semua sepupu sepapat yang Arif ada, mestilah ramai. 21 kesemuanya sepupu yang Arif dan anak-anakku ada. Tapi ni nak tayang gambar adik sepupu jelah. Kiranya yang umur bawah dari Arif. Yang Arif selalu buli bila jumpa....hahahha!

Dari kiri Damia (anak Pak Anjang ), Aiman (anak Busu Ajul), Nuha @ Baim (anak cik Ana)
Kalau Damia tu suka nak bermain dengan Arif, tapi nanti dia kena buli ajelah dengan Arif. Yang tak tahan tu pandai menjerit macam kakaknya. Comel lak Mokteh tengok dengan mulut muncung gitu Damia...hehe. Damia baru setahun lebih tahun ini.

Aiman pula si pipi sentol. Suka dengar suara dia yang garau sikit. Dah pandai jalan dalam walker sekarang, boleh tahan dia ni. Ceria dan senyum sokmo.

Nuha @ Baim. Ibu dia pangil Nuha, tapi kami ikut suka, kadang-kadang panggil dia Nuha, kadang-kadang panggil dia Baim. Ala-ala Baim Wong...hehe. Nama pun Nurul Nuha Ibrahim kan, dua-dua pun nama saya kan Nuha...hehe. Masa gambar ni di ambil, Mokteh tak berapa selesa nak pegang Nuha, ala-ala takut-takut.  Masa ni baru 2 bulan kot.Mukanya selalu nampak pucat je tu yang tak berani pegang lelama sangat. Nuha kurang sihat sejak lahir kan, perlu attention lebih, tu yang muka pun selalu nampak pucat.

Tapi sejak dah buat minor operation baru-baru ni, wajah Nuha makin ceria Mokteh tengok...alhamdulillah. Semakin comel, semakin mengikut wajah ibunya. Dah tak pucat, nampak kulit lebih cerah dan ceria. Barulah mokteh suka nak gomol dan pegang. Tak rasa takut-takut sangat dah. Hujung minggu lepas singgah Muar, Nuha dan berimage baru. Tapi Mokteh lupa pula nak ambil gambar terbaru Nuha, jadi Mokteh cilok gambar dari fb ibu Nuha sajalah....hehehe. 

Nuha dah 4 bulan sekarang. Dah tak pucat macam dulu, makin ceria tnegok. Hencemlah Nuha dengan image baru...hehe. Saya dah takde rambut sekarang....:)
Kalau aku pegang si Nuha ni, ada orang jeles tau! Siapa lagi kan....Mokteh doakan Nuha sentiasa sihat dan cergas dan membesar menjadi anak yang baik ya. Kesian kat ibu kamu, jangan menjeng sangat tau!...hahaha. 

Eh! Takde ambil gambar Arif dengan adik-adik sepupunya pun. Cuma ada satu je dalam kamera hp ni.

Arif bersama adik Aiman...

Tengoklah tu, kan dah mula nak mengusik tu. Sibuk di pegang-pegang telinga dak Aiman tu ya...Ibu bit karang.

Hai!! Macam manalah Arif ada adik nanti....risau gak ni.Arif!!! Jangan suka usik anak orang tau! 

~ يوس ~

Monday, October 15, 2012

Bayi bawah 2 tahun sebenarnya tidak memerlukan bantal??

Aku terpanggil ingin berkongsi maklumat mengenai ini. Membaca entri Izan semalam dan melihat Zayyan menggunakan bantal besar di kepala membuatkan aku teringat pesan midwife semasa aku melahirkan Alia dan Abid di UK.

Orang melayu kita ni biasalah kan, bila ada baby baru saja di rumah, mesti ada bantal kecik-kecik, besar, bantal peluk semua di sediakan. Biasanya ada satu bantal untuk kepala dan dua bantal peluk comel di sisi baby, betul tak? 
Set tilam baby yang biasa kita beli sebelum bayi lahir kan!( image ehsan google)

Aku pun sama. Masa Aqil dulu itulah yang aku sediakan, bila bersalinkan Alia, aku cari juga dua bantal peluk dan dua bantal di kepala. Tapi di Sheffield, aku mula beli baby crib untuk baby sebab kat sana biasa memang mereka letak baby atas crib. Kat sini jarang-jarang orang buat, bayi biasa tidur atas katil yang sama dengan ibu dan bapa kan.

Masa dalam pantang, kali pertama midwife datang rumah dan dia nampak aku letak Alia atas crib tapi di kepalanya ada bantal, dan di sisinya juga ada bantal peluk, aku di marahinya. Terus dia ambil dan buang. Katanya, jangan gunakan bantal untuk baby, bahaya!! Selimut pun jangan beri! Kalau takut anak sejuk, gunakalan sleeping bag untuk baby.

Aku tak tanya lanjut, tapi pelik jugalah. Kenapa tak boleh letak bantal? Apa bahayanya? Dan kalau letak bayi kita atas cot bed atau crib pun, dia suruh letakkan kakinya mengena pada hujung crib/cot bed. Jangan kepala yang dekat dengan hujung cot bed tu, bahaya!

Kenapa? Sebab katanya, kalau ada selimut, bila bayi kita tiba-tiba menggelungsur ke bawah, takut dia tertutup dengan selimut tu, nanti dia lemas. Sebab tulah lebih di galakkan guna sleeping bag. Tapi kat Malaysia ni tak perlu kot guna sleeping bag. Panas!

Contoh sleeping bag untuk baby. Alia dengan Abid dulu guna benda ni, ada warna purple dan biru tak silap mereka punya. (image ehsan google)
Cuba cari gambar mereka dengan sleeping bag, tapi tiada dalam simpanan pula. Malas nak selongkar album lama. Jumpa yang ini saja.

Abid bersama baju tebalnya. Ada rupa angkasawan tak? Tapi ini bukan sleeping bag ya, ini baju time winter...:)

Ok! Berbalik kepada cerita kenapa jangan gunakan bantal untuk bayi kita. Artikel At what age can I give my baby a pillow? ni mungkin boleh memberi jawapan. Sedikit petikan dari artikel itu...

You may think that because you enjoy sleeping with a pillow, your baby will too. But there is a suffocation hazard to giving them a pillow, and it’s actually not very naturally for them to have their head held up like that while they sleep. Babies can roll around a lot when they sleep, and if the pillow ends up on top of their head, they may not have the motor skills to knock it off. That’s why it’s best to leave things empty in their crib.
Artikel Menjadikan tidur bayi anda suatu perkara yang selamat ni pun ada sentuh pasal bab ni. Aku petik sedikit dan letak di blog ini..

Jangan biarkan bayi anda tidur di atas bantal atau dengan menutup kepalanya 

Jangan biarkan bayi anda tidur di atas bantal sebab ianya berisiko untuk dia jatuh atau lemas di dalam lipatannya. Sentiasalah periksa bayi anda untuk memastikan dia tidak menggeleser ke bawah sehingga kepalanya ditutup dengan selimut atau duvet. Ini boleh menyebabkan dia menjadi terlalu panas atau sukar bernafas.


Kita sentiasa berharap bayi kita tidur dengan nyenyak, tapi tak tahu cara dan kaedah yang betul. Anda boleh baca artikel ini untuk mendapat sedikit ilmu bagaimana nak biarkan bayi kita tidur dengan nyenyak. Sila klik Bantu bayi tidur nyenyak ini.

Dalam artikel tu pun ada sentuh kenapa kalau boleh jangan gunakan bantal dan selimut. Dan kalau kita teringin nak gunakan bantal juga, gunalah bantal yang sesuai untuk bayi kita, jangan terlalu besar atau tebal untuknya kerana ianya tidak selamat untuk mereka.

Dan yang paling penting sebenarnya bayi tak sesuai tidur bersama kita di atas katil yang sama. Takut risiko terhempap badan kita dan lemas. Tapi kita ni biasa malas dan nak mudah. Malam-malam penat kalau asyik keluar dan masukkan bayi kita dalam katilnya kan. Kita pun kadang tertidur sama masa susukan dia. Cuma tulah, jangan tidur mati sampai tak sedar kita dah buat bayi kita lemas pula. Bahaya.

Aku biasa walau bayi tidak di dalam katilnya dan letakkan di bawah, aku letakkan dia atas tilamnya saja tanpa bantal. Biar kedudukan bayi kita tu sama rata dari kepala ke kaki. Sebab kalau ada bantal, mesti bahagian kepala lagi tinggi kan. Dan aku perhatikan bayi pun biasanya akan lebih cepat belajar meniarap dan merangkak tanpa bantal tau!

Tiba-tiba rasa nak kongsi semula video Arif mula meniarap ni dulu. Comel dan tembam kan dia masa ni...hehe.


Anda juga boleh baca artikel lain yang berkaitan di sini ya..

When can my child sleep with a pillow?



Gaya tidur bayi

Semoga ianya sama-sama bermanfaat untuk kita.

~ يوس ~

Sunday, October 14, 2012

Mengidam ikan kering timah / layur

Tiba-tiba mengidam nak makan ikan kering timah / layur. Semuanya bila emak sebut semalam dia beli ikan layur basah di Parit Jawa. Masak asam pedas, terus habis licin.

Bila emak sebut ikan layur je , aku terbayang ikan kering timah / layur zaman dulu-dulu. Sebenarnya aku ingat ikan timah atau layur ni sama saja, tapi ayahku kata ada bezanya. Ikan timah warnanya putih saja, tapi ikan layur tepinnya ada warna kuning.

Sebut dengan SRD teringin nak ikan kering timah. Mana nak cari? Kat sini dah lama tak jumpa. Teringat biasa kalau di kedai apek kat Sungai Balang tu ada kot. Makanya dalam perjalanan ke Melaka, kami singgah di sana. 

Cari-cari ikan kering timah yang besar macam aku biasa makan kecik-kecik dulu tapi tak jumpa.

image pinjam dari sini. Ha!!! Aku teringin ikan kering timah yang besar-besar macam nilah.
Tapi yang SRD jumpa ikan kering timah yang kecik-kecik macam ni pula....huhu.

ikan kering timah yang SRD beli untuk aku.
Dah mula rasa kecewa sebab takut rasanya tak sama. Yalah kalau yang besar tu isinya lebih tebal, lemak, sedap bagi aku. Apa pun oklah dari takde kan.

Bila sudah di goreng dengan tepung inilah hasilnya....

ikan kering timah dah siap goreng

Sambil menaip entri ni, sambil aku mengunyah ikan kering timah ni. Sedap pula. Macam kerepek...hihi. Tak sama dengan yang jenis besar tu, tapi oklah dari tiada kan.

Siapa suka makan ikan kering timah / layur ni? Sedap kan!!!

p/s: Pregnant kali ni macam-macam lak aku nak makan. Belum ada tanda-tanda morning sickness pun, teringin macam-macam je...huhu.

~ يوس ~

Saturday, October 13, 2012

Tips @ Petua untuk dapatkan anak perempuan

image ehsan google

Ini entri copy and paste.

Untuk bacaan aku juga. Dalam banyak-banyak yang aku google, ini paling menarik perhatian aku.

SUMBER : ayahmama.com

1. Mulakan dengan doa dan niat untuk memperoleh jantina bayi perempuan.

2. Pastikan hubungan seksual dilakukan pada waktu subur isteri iaitu antara hari kesebelas hinggalah hari kesembilan belas dari kiraan pertama datangnya haid.

3. Biarkan suami melepaskan hanya lima puluh peratus sahaja spermanya ke dalam rahim isteri sementara bakinya dirembeskan di bahagian pangkal rahim.

4. Selepas berasmara, isteri digalakkan tidur mengiring ke sebelah kiri dan sekiranya membelakangkan suami maka mintalah izin terlebih dahulu.

5. Akhiri dengan doa agar hajat yang diinginkan dimakbulkan oleh-Nya.

Amalan pemakanan ketika janin berusia satu hingga empat bulan :

1. Banyakkan pengambilan sayur, sup, asam serta jenis yang beralkali.
2. Lebihkan buah-buahan .
3. Elakkan dari mengambil minuman berkarbonat.

Perbuatan yang digalakkan ketika kandungan berusia satu hingga sembilan bulan

1. Amalkan membaca surah Yusuf dan Maryam.
2. Usap kandungan dengan lembut dan panggillah bayi anda dengan nama Maryam atau Siti Aishah.
3. Banyakkan berdoa agar permintaan anda dikabulkan.

Ini satu lagi yang menarik.


1. Petua dapat bayi berambut kerinting

Amalkan memakan 5 hingga 10 biji kerang rebus setiap hari.

image dari entri ini.

















2. Petua dapat bayi berkulit halus dan cerah

Amalkan memakan sayuran hijau setiap hari. Contohnya seperti sayur bayam.

















Di samping itu,  lebihkan juga pengambilan telur ayam kampung.

Jika diizinkannya, pasangan akan dikurniakan bayi atau anak yang berambut kerinting walaupun kita dan pasangan berambut lurus.

Begitu juga dengan petua kedua. Walaupun kita dan pasangan berkulit gelap tapi inginkan zuriat yang berkulit halus dan cerah, amalkan saja petua tersebut.

Wah! Serius teruja nak cuba bab amalan pemakanan tu. Amalan surah tu memang dari dulu dah amalkan, tapi bab pemakanan tu belum pernah praktikkan lagi. Sesungguhnya kita merancang Allah yang menentukan, namun tak salah mencuba kan. Apa pun jantina bayi yang lahir nanti, yang penting dia sihat dan baik-baik saja.....Aminn.



~ يوس ~

Friday, October 12, 2012

Kemaruk makan coklat!!!

Dari minggu lepas aku asyik nak makan coklat. Rasa kalau boleh nak kunyah coklat sepanjang masa dalam mulut ni. Padahal selama ini aku tak suka coklat. Kurang gemar apa saja yang ada coklat. Setakat jamah sikit tu oklah, tapi nak makan banyak-banyak sorry.

Sangat pelik, aku boleh habiskan satu bar coklat besar. Tapi terpaksa berebut dengan anak juga. Sukanya coklat sekarang! Macam mengidam coklat pulak!!!

Anak dalam perut ni suka coklat rupanya. Baru sebulan dah suka coklat ya....hahaha. Ni sesuatu yang baru. Pengalaman mengandung yang lalu, tak pernah sekali pun suka nak makan coklat. Lain anak lainlah yang dia suka kan.

Habis je stok coklat, mulalah minta SRD belikan lagi. Bang terima kasih belikan ibu coklat lagi....

Sambil mengadap lappy, kita kunyah coklat Roast Almond ni. Sedap!!!


~ يوس ~

Confirmed!!

Ok! Petang semalam dah jumpa doktor. Buat ujian sekali lagi di PKU pula. Confirmed!!

Doktor kata biasa kalau anak pertama baru 4 minggu susah nak kesan positif atau tidak, ini aku anak ke lima, kalau dah dua line tu memang confirmed lah kan!

Makanya dapat  folic acid seperti biasa.

Aku ni dari dulu selalu je culas makan folic acid ni. Harap-harap kali ini tidak.

Ubat yang sebelum ni, ubat cair kahak tu masih boleh di teruskan. Turbuhaler dan Nosex juga masih perlu di habiskan. EPO?? Kena stop dulu nampaknya.

p/s: Dah 4 minggu boleh lagi ke planning nak dapatkan anak perempuan? Haha....mengidam nak baby girl seorang lagi ni. Moga doa aku ini di makbulkan Tuhan. Korang tolong doakan sama ya. Tq....


~ يوس ~

Thursday, October 11, 2012

Terima Kasih Allah...

Pagi-pagi ini dapat dua berita yang menggembirakan. Rezeki dari Allah. Kurniaan untuk kami sekeluarga. Terima Kasih Allah atas segala nikmat dan limpah kurnia yang Kau berikan kepada kami. Alhamdulillah...Semoga kami tidak menjadi orang-orang yang lupa dengan nikmat yang Engkau berikan. Jadikanlah kami orang-orang yang tahu bersyukur Ya Allah.

Pertamanya rezeki yang Kau berikan kepada suamiku. Tahniah abang! Moga dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik. Dah pegang gelaran lebih besar pada nama tu, tanggungjawab pun lebih besar kan. Jangan lupa diri, dan ingat waktu kita tiada apa-apa. Semua itu nikmat dunia yang sementara. 

Keduanya, orang baru bakal muncul InsyaAllah. Belum confirm lagi. Baru buat home test saja, tunggu kepastian dari doktor ya. 

Gembira dengan berita kedua tu, tapi dalam masa yang sama takut juga. Takut sebab 2 minggu sudah aku ada buat x ray di hospital. Tak tahu, dan tak sangka melekat, bagaimana ya? Ok ke? Semoga semuanya baik-baik saja. Kalau ikut perkiraan sendiri baru 4 minggu 4 hari.

Yang pertama tu, rezeki anak kot. Alhamdulillah....Syukur!

Nota kaki: Ingat tak mahu cerita dulu, tapi ada orang tu terlebih excited dan gembira. Dia dulu buka cerita  pada PA nya. Memang dia pun yang hendak sangat orang baru dalam keluarga kami. Gembira sebab dapat menggembirakan hatinya. Berita baik, eloklah di kongsikan bersama kan.

~ يوس ~

Tuesday, October 09, 2012

Harga @ Nilai blog : RM 20,282.46


Ok. Ni saja gatal tangan. Jalan-jalan BW, masuk blog Irfa, jumpa entri RM 1061.69 sen,Sapa Nak Beli? Konfius ingatkan dia nak jual apa?...hihi. Rupanya kita boleh lihat nilai @ harga blog kita di http://bizinformation.com.my/

Makanya inilah nilai Blog Yus - Our Life aku ni...


print screen dan crop selepas valuatian di buat dari web tersebut.
Macam mana dia ni buat penilaian ekk? Suka-suka dia je kot. Tapi dah masuk 20k tu nilai blog aku. Ada orang nak beli ke? Hahaha, kalau ada pun aku tak nak jual. Banyak sentimental value dalam ni. Cerita dan diari keluarga sendiri. Hanya kita sendiri yang tahu nilainya berapa kan.

Ok. Siapa-siapa yang gatal tangan nak cuba juga tu, terjahlah sana ya.



~ يوس ~

Monday, October 08, 2012

Berkhatan dengan Alisklamp

Nak khatankan anak, ibu yang dok risau cari maklumat sana sini. Apa pun banyak info aku perolehi dari hasil google aku dua tiga hari ini.

Ada 3 cara-cara berkhatan bagi lelaki yang aku jumpa.

1. Cara khatan konvensional 'dorsal slit' - Ini adalah cara standard yang digunakan oleh doktor-doktor dan 'Medical Assistant' disemua klinik atau hospital-hospital kementerian kesihatan Malaysia.

2. Cara 'Laser' atau 'electrocoutry' - menggunakan tenaga letrik dan menyebabkan 'pembakaran tisu' semasa pemotongan kulit. Namun risikonya agak besar kerana ada kes kurang enak yang di laporkan seperti terpotong sebahagian kepala zakar, tercedera lubang kencing dan yang terok sekali adalah terpotong putus batang zakar.

3. Cara CLAMP (Sepitan) -  cara khatan yang paling lama sekali diamalkan kerana lebih mudah, cepat dan kurang menyakitkan. Cara ini sudah sampai keperingkat generasi ke tiga dan terkini.

Boleh baca maklumat penuh di web iluvislam.com di sini.

Dan aku tertarik dengan cara CLAMP generasi ketiga dan terkini iaitu Alisklamp.Satu kaedah khatan yang sempurna dan menjadi pilihan ramai katanya. Paling menarik dlam Soal Jawab mengenai kaedah khatan cara alisklamp ni anak kita tidak perlu memakai kain selepas di khatankan.  Kaedah Alisklamp tidak memerlukan penjagaan khusus selepas khatan. Anak kita boleh bergerak dan melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas dikhatankan.Berjalan, bermain, mandi mahupun berenang di kolam atau pantai serta-merta selepas prosedur berkhatan juga tiada masalah!

Impressed!! Nak tahu lanjut? Silalah ke laman alisklamp.my dan baca segala soal jawab mengenainya di sini.

Bagaimana rupa alat alisklamp ni??

Inilah rupanya. ALISKLAMP boleh di dapati dalam beberapa saiz mengikut kesesuaian kanak-kanak atau orang dewasa. Image pinjam dari blog gambargambarpelik.blogspot.com. Banyak lagi maklumat lain mengenai kaedah khatan cara alisklamp di sana. Sila terjah siapa yang nak tahu lebih lanjut ya!
Bagaimana pula prosedur khatan cara Alisklamp ni?

Semuanya dapat kita baca di laman web alisklamp.my di sini.

Ok!!! Dah tekad nak buat cara Alisklamp ni untuk anak-anak. Tapi kalau di BP ni nak buat di mana ya??

Hanya ada dua klinik saja yang menjalankan kaedah alisklamp di BP ni. Satu nya ialah di Putra Specialist Hospital dan satu lagi di Klinik Putra Tongkah Pechah. Senarai doktor dan klinik di tempat lain boleh di rujuk di sini ya kawan-kawan.

Kos berkhatan cara Alisklamp?

Sila rujuk di sini.

Tapi tadi aku dah telefon Putra Specialist dan tanya kos alisklamp di sana. RM230 seorang. Akhir bulan 11 biasanya ada buat majlis berkhatan beramai-ramai di sana. Kalau nak turut serta, kos tetap sama tapi ada special gift untuk kanak-kanak yang turut serta. Tarikh belum di tentukan. Dah beri nama untuk mereka hubungi sekiranya tarikh dah tetap. 

Ramai ibubapa sekarang khatankan anak-anak awal kan. Ada yang baru dua tiga bulan pun sudah di khatankan. Perempuan tu biasalah, ini lelaki. Tapi aku masih nak ikut cara lama. Dulu2 kalau adik-adik aku, ayah kata selagi belum khatam quran, tak boleh sunat! Sebenarnya itu salah satu cara memotivasikan mereka untuk cepat khatam Quran. Bila tengok semua rakan dah khatam tapi dia belum, mesti rasa lain kan. Aqil ni belum khatam lagi. Baru Juzuk 22. Lambatnya dia ni nak khatam. 

Kalau ikutkan, tahun depan lah baru dia khatam dan plan untuk di sunatkan. Tapi dia dah 10 tahun. Anak-anak ni kalau dah 10 tahun, tak mahu solat kita dah boleh pukul kan. Jadinya umur max 10 tahun ni memang dah patut khatan lah supaya semua ibadahnya lebih sempurna. Satu lagi, kalau khatan awal, mereka tak merasa perasaan takut nak khatan tu kan. Kalau mereka dah tahu dan faham, mesti perasaan mereka berbeza. Sesuatu yang pastinya menjadi kenangan bagi anak lelaki kita sampai dewasa.

Aqil!!! Kamu khatan tahun ni ya! 

Ibu ni!!! Kata nak tunggu Aqil khatam Quran. Tahun depan lah ibu!

Hari tu dia yang beriya nak tahun ni, bila kita dah ubah fikiran, dia pula yang nak ikut plan kita pada mulanya. Takutlah tu ya!!! Tapi bila aku tunjukkan gambar-gambar perbezaan antara yang belum khatan dan yang sudah di khatankan di blog ini......

Oklah ibu!! Tahun ini Aqil nak sunat ya!!...

Hehehe....

p/s: kawan-kawan yang dah pernah ada pengalaman khatankan anak, kaedah yang manakah anda gunakan? Ceritalah pengalaman menjaga anak anda sikit ya....
~ يوس ~

Berkelah di Dataran Batu Pahat

Orang selalu pergi picnic @ berkelah waktu siang, kami berkelah waktu malam. Berkelah tak semestinya d tepi pantai kan, di dataran atau di tengah padang pun seronok!! Yang penting ada makan-makan, ada aktiviti sesama keluarga.  

Dah lama tak melepak di Dataran BP ni, tak tahu pulak suasana malam di sana sangat 'happening' sekarang. Dah gaya macam I-City pun ada. Tak perlu nak ke Shah Alam tengok cahaya lampu berkerlipan di pokok-pokok, di sini pun ada. Walau tak besar macam yang di sana, tapi oklah ya!

Anak-anak aku yang teruja dapat bermain di sini waktu malam. Paling teruja adalah Arif. Aku pun tak pasti, apalah yang seronok sangat bagi dia. Sakan berlari ke sana ke mari. Nun di belakang sana, mercu tanda dataran BP ni iaitu sepasang tangan yang memegang Batu dan Pemahat.

Berkelah sambil makan Domino Pizza! Siap bawa tikar semua. Banyak mata memerhati gelagat kami, yalah orang lain datang takde pun yang bawa tikar dan pizza semua...hihi.

Selepas makan, main bola sepak dan badminton sekeluarga. Aku dan Alia lebih banyak berjalan di kawasan sekitar, ambil gambar guna hp kecik aku je ...huhu

Khusyuk sebenarnya memerhatikan kumpulan senamaerobik yang sedang bersenam ni. Konon nak join, tapi dengan pegang handbag semua, malas! Lagu semua sedap-sedap pula tu. Tak pasti adakah ini acara setiap malam, tapi aku dengar dari orang yang jaga tandas, kalau malam minggu selalunya ada. 
Serba ringkas aktiviti kami malam Sabtu lepas.

Sekian....

p/s: ada rasa macam nak berehat seketika dari berblog pun ya, tapi bila lama tak update jadi tambah malas nak update. Pelan-pelan aku cuba gagahkan diri update blog ni. Terima kasih pada yang masih sudi baca dan tinggal komen ya. Semangat berblog dan ber'bw' puan blog ni memang semakin menurun sebenarnya.....huhu.

~ يوس ~

Wednesday, October 03, 2012

Kaedah mendidik anak : Ustaz Don Daniyal


Video yang sangat terkesan di hati. Rasa diri banyak kekurangan dalam mendidik anak-anak. Moga aku dapat menjadi ibu yang lebih baik....amin. 

~ يوس ~

Friday, September 28, 2012

Aqil : Penjimat rupanya dia

Teruja nak sambung cerita Aqil pergi rombongan. Ibu yang terlebih excited ni nak oiiii!

Oh ya! Takde sebut pun dia pergi kemana kan entri semalam. Rombongan sekolahnya menuju ke masjid negara, Akuaria KLCC, Petrosains KLCC dan Menara Kuala Lumpur. Ada angkasapuri dalam senarai, tapi kata Aqil tak jadi pergi sebab kekangan masa.

Alhamdulillah, Aqil selamat sampai di sekolahnya pagi tadi pukul 1. Hati cuak juga, kenapa lambat sangat. Nasib baik ada dapat call dari salah seorang guru merangkap jiran setaman kami pukul 10.15 masih di Seremban. Dah dapat agak mesti sampai lambat juga.

Tengok muka anak dah turun dari bas, gembiranya hati. Macam-macam perasaan. Banyak yang aku nak tanyakan pada dia.

Sebelum tu, petang itu ada berborak dengan jiran sebelah yang anaknya sebaya Aqil juga ikut rombongan tersebut. Aku tahu anaknya tu bawa hp, jadi nak sangat tahu apa perkembangan budak2 tu semua di sana. Tersenyum mendengar cerita jiran baikku ini yang anaknya telefon bertanya, boleh tak dia habiskan semua duit yang dia bawa. Khabarnya mamanya beri 50 ringgit sebagai dui poket. Perempuan, jadi macam-macam nak di belinya.

Masa tu aku dah terfikir, Aqil aku beri cuma 40 ringgit. Cukup ke duit tu buat dia belanja. Alahai, rasa kesian pula kalau tak cukup. Sekali sekala datang KL, mesti banyak yang dia nak beli, lebih-lebih lagi tengok rakan-rakan lain membeli.

Bila dia sampai rumah dan aku tanya habis tak duit poketnya, aikkkk! Ada RM23 lagi. Sikitnya berbelanja. Tak beli apa-apa ke anak aku ni?

Satu persatu dia keluarkan apa yang ada di begnya. Selipar dalam plastik. Baju kotor dalam plastik juga. Berus gigi dan sabun dalam plastik. Sepasang lagi baju bersih yang dia tak guna pun (aku bekalkan dia dua pasang). Air masak yang aku bekalkan tak berusik pun, air oren juga tak habis, ada setengah lagi. Alahai!!! Anak ibu ok ke? Semua tak habis. Tapi roti dua bungkusdan biskut oat krunch 5 bungkus yang aku bekalkan semuanya habis. Ada kerepok lekor siap goreng yang aku bekalkan, juga tak habis makan. Ish!Ish!. Apa yang  kamu makan nak!!

Tapi aku tahu, cikgunya dah siapkan makanan untuk murid yang ikut rombongan. Pagi ada sarapan, tenghari pun ada makan, malam pun sama. Semua dah termasuk dalam yuran rombongan yang di bayar sebelum puasa hari tu RM80.

Bila aku tanya makan malam tadi apa? Jawabnya.....

"Cikgu beri nasi ayam ibu. Tapi kalau nak beli makanan sendiri pun boleh. Ramai kawan-kawan yang beli KFC. Semua tak nak makan nasi ayam cikgu! Tapi Aqil makan."

"Kenapa Aqil tak nak beli KFC juga. Aqil kan selalu suka?"

"Mahal lah ibu. Habis duit Aqil nanti."

Alahai anak ibu. Pandai dah berjimat. Tahu harga duit ya! Sejuk hati ibu mendengarnya. Kemudian tu dia keluarkan pula cenderahati yang dia bawa pulang untuk kami. Terkejut juga sebab aku tak suruh dia beli pun. Ingatkan dia tak tahu nak beli cenderahati.

Fridge magnet untuk ibu katanya. Pen untuk abah, dan mainan dinasour comel je untuk adik-adiknya, yang katanya bila di rendam dalam air selama 3 hari boleh membesar 60% dari saiz asal.

Senyum aku! Ingat dia pada semua.

"Mana Aqil punya! Kan banyak lagi duit Aqil yang lebih tu. Kenapa tak beli satu kenangan untuk Aqil sendiri?"

"Takpe ibu. Aqil kan dah dapat pergi. Lagipun semua mahal-mahal je Aqil tengok. Keychain pun dah 10 ringgit. Aqil beli air coke je singgit."

Tak tahu apa perasaan bila dengar jawapan dia tu. Senyum dalam hati je. SRD pun sama. Penjimat sungguh rupanya anak aku Aqil ni. Tapi bila pergi mana-mana dengan kami takde pula macam tu. Bila bawa duit sendiri, dan belanja sendiri berjimat-cermat sungguh. 

Oleh kerana sedikit terharu, SRD kata, " takpelah pen tu Aqil ambil ajelah. Abah dah banyak pen. Abah beri pada Aqil ya!"

"Betul ke ni abah! Terima kasih abah!" 

Dia memang suka menyimpan dari dulu. Dari darjah 1 aku beri 50 sen pun kadang-kadang dia bawa balik semula duit tu dan simpan. Aku biasa bawakan dia bekal. Dalam dompet dia selalu penuh duit. Duit poket yang kami beri, jarang-jarang dia belanjakan. Tak macam Alia adiknya. Dapat banyak mana pun kalau boleh semua nak habiskan. Boros pula yang perempuan sorang tu...huhu. Tapi kalau masa tu dia teringin beli sesuatu, berhabis duit pun dia ok je. Itulah Aqil.

Macam-macam cerita juga dari dia. Bas pancitlah, nampak ikan jerung besar lah. Apa lagi ya! Tak sempat tanya semua lagi. Kesian dah pukul 2 pagi masa tu. Nampak benar kami pun excited nak tahu cerita. Dia pun ok je bercerita. Gembira sebab dia seronok ikut rombongan tu.

Ok, lain kali boleh pergi lagi ya nak!!

Fridge magnet yang dia belikan untuk aku dan dinasour comel kepunyaan Abid. Yang 2 lagi untuk Alia dan Arif dah kena simpan. Alia lah, nampak je pagi-pagi terus sorokkan. 

Sekian....

~ يوس ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...