Wednesday, August 29, 2012

Gambar terbaik raya 2012

Assalamualaikum....

Salam buat blogku yang baru dapat di jengah. Raya sakan nampaknya....huhu. Banyak yang berlaku sepanjang cuti-cuti raya kali ini. Bukan saja sibuk beraya, sibuk juga menghadiri majlis pertunangan sepupu  di raya ke 4 dan kemudiannya adik sendiri pun bertunang pada raya ke 8. 

Macam-macam nak cerita tapi tak tahu nak cerita. Hari ini cuma nak berkongsi gambar-gambar yang aku rasakan terbaik sepanjang raya kali ini. Gambar di ambil pada 1 Syawal dan 2 Syawal. Tahun ini pagi raya di rumah mertuaku di Muar.

Kami sekeluarga di pagi raya 2012. Tahun ni tema biru

Suka tengok gambar ni, Abid salam Tokmak dia selepas minta maaf dan dapat duit raya

aksi-aksi comel kami

aksi-aksi manja kami...hihi

Arif 1 Malaysia kata mak andaknya....

Arif nak jadi cameraman, Abid pula tak habis mengusik

Aqil sempatlagi main basikal ketika beraya ke rumah salah seorang atok sedaranya. Ada gaya budak kampung beraya tak?

Arif memang manja dengan kakaknya, penat beraya ya?

Keluarga besar kami....semua balik tahun ni, tapi masih tak cukup ahli, ada seorang tertinggal....huhu

gaya manja di pagi raya kedua...bersama suami dan dua orang anakku...Abid dan Alia...
Sekian.....gambar-gambar terbaik raya tahun ini. Tahun ni rasanya paling kurang ambil gambar dari kamera sendiri, nasib baik ada kamera orang lain dan ada fb jadi penghubung. Dapatlah di muatkan mana yang terbaik untuk masuk dalam blog ni....hihi.

Salam aidilfitri buat semua, nanti saya pelan-pelan kayuh bw ke blog anda semua ya....

p/s: target nak dapat berat 55kg pagi raya tak berjaya. Cuma dapat capai 57.5kg je. Takde siapa pun perasan, kecuali adik-adik aku masa di rumah emak di Melaka. Mereka kata aku kurus sikit....hihi. Tapi lepas balik cuti raya, pagi ni timbang dah 58.3kg. Nasib baik naik sikit aje, kalau balik semula ke angka 67kg mau menangis aku...ekekek.
~ يوس ~

Wednesday, August 15, 2012

Balik raya mana tahun ni?

Bagi yang sudah berumahtangga, soalan biasa di dengar menjelangnya hari raya ialah "balik raya mana tahun ni?" Bagi yang suami isteri kampungnya seorang di Utara, seorang di Selatan mesti susah juga kan. Sistem bergilir-gilir balik kampung mana untuk beraya kenalah di paraktikkan.

Kepada yang baru mendirikan rumahtangga, kalau tahun pertama jadi isteri/suami dah kena beraya di rumah mertua mesti ada rasa kekok dan sedih sebab tak dapat beraya dengan keluarga sendiri.

Aku sendiri rasanya tahun pertama beraya sebagai seorang isteri memang beraya di rumah mertua. Tak ingat bagaimana perasaan ketika itu tapi rasa biasa-biasa saja sebab rumah mertua dengan rumah keluargaku jaraknya cuma lebih kurang sejam setengah. Melaka dengan Muar, bukan jauh mana kan. 

Namun, jangan ada perasaan ini bukan kampung aku bila kita beraya di rumah mertua. Kalau ada perasaan macam tu, memang kita akan rasa tak seronok. Mana-mana pun keluarga kita juga ya tak? Bila ada rasa kita nak balik kampung sendiri, perasaan seronok nak beraya tu pasti datang dengan sendirinya walaupun tahun ni beraya di rumah mertua.

Bagi aku keseronokkan beraya dengan keluarga sendiri dan keluarga mertua memang ada sedikit perbezaan. Kalau dengan keluarga sendiri, havoc dengan adik beradik sendiri yang semuanya ala-ala sengal. Tapi pagi raya tetap sayu bila dengar ayah berucap dan sessi bersalam-salaman dengan keluarga. Makan-makan tak begitu meriah sebab keluarga aku kecik. Dah lepas solat raya dan makan-makan pagi, dah mula bosan sikit sebab tak tahu nak jalan mana. Saudara mara agak jauh, semua di Johor lebih kurang. Jadi dekat-dekat situ takde pun. Jadi aku memang suka buat ala-ala sengal dan kecoh di rumah emak dan ayah, sebab kalau tidak macam sunyi je. Nasib baik anak-anak aku pun memang kecoh dan pakngah dan pak usu nya pun kecoh...hehe. Walau adik beradik tak ramai, tetap meriah dengan kekecohan kami. 

Tapi bila pagi raya di rumah keluarga mertua, lebih meriah. Adik-beradik SRD ramai, 9 orang, bayangkan. Makanan pun penuh, tak muat meja, mesti makan di bawah dengan bentang tikar. Kecoh satu rumah, anak buah pula ramai. Kecohnya lain macam. Malam raya dah sibuk main bunga api ramai-ramai, boleh berebut bilik kadang tu, sebab tak cukup bilik tidur, ramai yang tidur kat luar. Nak masuk bilik air pun tunggu giliran, tapi aku seronok! Lain keseronokkannya. Dapat juga merasa adik beradik ramai walau adik beradik sendiri cuma 3 orang.

Tahun ini malam dan pagi raya di rumah mertua. Khabarnya semua adik-beradik akan balik. Kakak ipar yang di Kedah yang dah 2 tahun tak balik pun dengarnya akan balik.Tentu lebih meriah dan seronok. Semua adik beradik SRD pun dah kahwin, anak buah tambah lagi 2 orang. Kalau semua cucu Hajah Hapipah ada  ada di pagi raya tahun ni, jawabnya 25 orang kesemuanya. Campur dengan ibu dan abah masing-masing....wah! Lagi seronok nampaknya. Biasa kalau malam dan pagi raya di rumah mertua, dua hari puasa terakhir mesti di rumah keluarga aku dan begitulah sebaliknya.

Tahun ini ada satu kekurangan. Nenek aku dah tiada, ayah kata mereka pun tak balik kampung di pagi raya macam selalu. Sedih pula di situ. Apa pun, seronok atau tidak, walau di mana kita beraya kita yang patut wujudkan suasana seronok tu kan. Kalau hati kita awal-awal dah sebut sedih dan tak seronok, begitulah yang akan terjadi, jadi set di kepala awal-awal, raya mana-mana pun seronok yang penting dapat berkumpul seisi keluarga.

Raya 2011 di rumah keluargaku

Tahun ni pasti rindu dengan kecoh dan sengal kami adik beradik di pagi raya, namun beraya di rumah mertua pun tak kurang meriahnya, malah lebih meriah sebab......
Raya 2010 bersama keluarga SRD. RIndu juga saat ini. Tahun ini rasanya pasti lebih meriah sebab khabarnya semua akan balik dan cucu emak Hapipah pun dah tambah lagi 2 orang kan. Tahun 2010 ni dua keluarga tiada dalam gambar, keluarga kak long dan keluarga kak uda. Tahun ni minta-minta semua ada, kita bergambar di luar rumah pula ya.....
Di kesempatan ini juga, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua pembaca blog ini, kawan maya, kawan realiti, keluarga semualah yang selalu masuk sini, kalau ada tersalah kata, tersilap bicara, harap di ampunkan. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu adalah dari kesilapan saya sendiri.

Bagi yang nak pulang ke kampung tu, hati-hati di jalan raya ya. Pandu cermat, jiwa selamat, ingatlah orang-orang tersayang yang sedang menunggu untuk berhari raya bersama.

Selamat Bercuti buat semua, 
Selamat Hari Raya Aidilfitri, 
Maaf Zahir dan Batin dari kami sekeluarga.

p/s: Esok tak sempat buat entri dah rasanya, nak buat kuih raya satu plannya sebelum pulang ke kampung Jumaat....hehe. Tapi kalau tak jadi kuih rayanya, bawa balik yang tunjuk jelah, dah siap beli pun....:)

~ يوس ~

Sekitar majlis Iftar, Tadarus dan Khatam Al-Quran bersama pelajar-pelajar SMAPR

Majlis ini berlangsung Jumaat lepas pada tarikh 21 Ramadhan. Baru hari ini berkesempatan nak kongsi di blog. Aku malas nak celoteh panjang sebenarnya, kongsi gambar-gambar je kot.

Apa pun, kami dapat jemputan ke sana sebab pihak sekolah ada jemput sama staf-staf Uni. Oleh kerana SRD orang kuat juga dalam fakulti, maka anak bini pun dapat tumpang sekaki....hehe.

Kami sampai dah lambat, majlis mereka dengarnya bermula seawal 3 petang, tapi kami sampai dah hampir 630 petang. Kiranya kami cuma dapat turut serta dalam majlis berbuka jelah, yang lain tu ketinggalan keretapi...huhu.Yalah, nak tunggu SRD balik kerja semua dulu kan.

Apa pun seronok juga sebab bila di sana aku dapat mengimbau kenangan waktu belajar di asrama dulu. Tengok adik-adik ni semua, teringat lak masa dulu. Ok, kita lihat gambar macam biasa.

Pelajar lelaki di bahagian hadapan

Pelajar perempuan di bahagian belakang. Masing-masing masa ni dah dapat plastik berisi kuih karipap, kaswi dan talam berlauk serta buah kurma dan air kosong untuk berbuka.

Adik-adik yang kurang bernasib baik, terdiri daripada mereka yang anak yatim ataupun keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan. Dekan FKMP sedang memberi bungkusan berisi apalah agaknya tu.

Yang pasti, SRD tukang beri sampul berisi duit raya.

Ini gelagat anak-anak aku. Aqil tak kelihatan, dia lebih tertib duduk.... Tapi dia tersenyum je masa pulang, sebab kata dia " Ibu kakak-kakak kat sana semua kata Aqil handsome!"....hihi, kembang hidung ya Aqil. Arif pun menjadi tumpuan pelajar2 perempuan SMAPR sebab dia memang tak reti dudk diam. Alhamdulillah masa semua solat, pandai pula dia ke tepi main air dalam sinki, sampai basah baju dia...huhu

Selepas solat maghrib, barulah juadah berat di sediakan. Berbuka dengan nasi ambeng kami hari itu.
Nasi ambeng sedulang kongsi 3 orang makan je, aku Alia dan seorang cikgu mereka. Mana nak habis, dahlah aku memang tak banyak makan nasi sekarang. Tapi sedap betul lauk-pauknya semua. Bila tak habis tu, hulur pada sekumpulan pelajar di sebelah yang nampak macam tak cukup makan je. Licin mereka makan....hihi.

Kalau duduk asrama macam tulah kan, makan sedulang ramai-ramai macam ni, semua licin. Walau dah habis sedulang, dapat dulang ke dua pun masih licin...hehe.

Eh! Semua orang dah wish raya nampaknya. Aku next entri lah ya!

~ يوس ~

Tuesday, August 14, 2012

Beberapa Kesalahan Berhari Raya dan tarikh 14 Ogos

Mood nak balik kampung dah datang. Lebih-lebih lagi bila semalam anak-anak kata, "Khamis dah mula cuti ibu!!!" 

Anak cuti awal pun, abah dia masih kerja. Nak buat kad raya dan tepek kad raya macam selalu, tapi lappy aku ni takde photoshop....huhu. Terus terbantut nak buat. Jalan-jalan fb jumpa pula gambar ni. Suka aku tengok. Peringatan untuk kita semua dalam kita berhari raya. Biar bersederhana, jangan lupa ziarah-menziarahi sesama kita, dan jangan makan berlebihan ya. 
Sumber FB.
Hari ini juga 14 Ogos merupakan tarikh kelahiran dan juga tarikh pulangnya kerahmatullah bapa mertuaku yang tercinta Haji Mahzan Bin Sulaiman. Sudah 8 tahun berlalu, namun aku masih ingat saat itu.

Setiap kali buat entri pada tarikh ini mesti ada linangan air mata. Entri tahun lepas pun sama. Tahun ni tak mahu kenangkan kesedihan sangat, dariNya kita datang, kepadaNya jua kita akan kembali. Semoga roh arwah bapa mertuaku tenang dan aman di sana.... aminnn. Al-Fatihah.

~ يوس ~

Monday, August 13, 2012

Pulut kuning , rendang daging dan pizza tuna bersos barbeque

Membaca komen dari kakzakie pada entri SRD kemalangan buat aku bersemangat nak buat pulut kuning dan rendang ni. 



Kalau bubur merah tu aku tak minat nak makan, anak-anak pun tak suka, maka pilihannya dah tentu pulut kuning. Maka inilah menu berbuka kami semalam. Maaflah tayang gambar makanan aje.

pulut kuning express di makan bersama rendang daging. Ini dari pinggan yang aku beri pada jiran.
Kenapa aku kata pulut kuning express? Sebab aku masak guna rice cooker je, tak perlu kukus bagai, tapi rasanya tetap sedap dan memikat hati. Lembut pun lembut. Aku suka!!!!Resepi aku ambil dari sini.

Kemudian tu aku buat lagi pizza untuk anak-anak. Entah kali yang ke berapa buat pizza sepanjang bulan puasa ni. Suka bebenor mereka ni makan, terutamanya Aqil. Semalam aku buat pizza tuna bersos barbeque. Sedap sebab pedas...hehe.

Tak silap pizza ke 6 aku buat sepanjang bulan puasa ni. Dan inilah doh pizza terbaik berbanding yang lain  aku hasilkan. Betul kata Kak Mar, kena praktis selalu buat doh pizza ni, lama-lama nanti pasti menjadi lebih baik.

Ini pizza untuk aku, sekeping kecik je, lelain semua anak-anak bedal....

Ada juga rendang ayam dan nasi impit jiran sebelah beri. Kenyang alhamdulillah. Hari ini pula nak fikir buka apa.....hmmm, asam pedas ikan pari sedap juga ni. Nasi pulalah kan.

~ يوس ~

Friday, August 10, 2012

SRD Kemalangan | Puding Kastard Jagung dan nasi warna warni

Terkejut sekejap semalam seketika ketika aku sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka yang belum selesai, dapat panggilan dari SRD suami tersayang yang dia terlibat dengan satu kemalangan. Masa tu dah hampir ke pukul 6.20 petang. Dalam hati sebenarnya dah mula pot-pet juga (dalam hati pun aku boleh pot-pet kan..huhu), "Mana abang ni? Kata nak balik awal hari ni?" (Ni dalam hati je berkata-kata ya!)

Bila SRD telefon dan kata dia dah terlanggar orang, hati mula berdegup kencang. "Haa!! macam mana abang boleh terlanggar orang?!" Itu yang pertama keluar dari mulut aku. SRD macam biasa memang cool je orangya, tak macam aku yang cepat gelabah. 

" Nanti balik abang cerita ya! Nak hantar orang ni pergi klinik buat rawatan dulu. Nak beritahu balik lambat je. Jangan tunggu, buka je dulu!"

Dalam hati mula rasa tak tenang. Dalam masa sama berdoa saja moga abang baik-baik saja, dan orang yang dia terlanggar pun baik-baik juga. Dek kerana hati tak begitu tenang, makan berbuka pun tak begitu berselera walau menu dah menarik. Tapi seronok tengok anak-anak makan bertambah-tambah. Terutama Alia, yang suka sangat dengan nasi warna-warni dan ayam masak merah. Anak-anak aku panggil nasi hujan panas tu nasi warna warni ya kawan-kawan.

Ok, inilah menu berbuka kami semalam.

Puding kastard jagung. Bila di buat dalam acuan macam ni, hasilnya lebih nampak menarik kan. Nak makan pun rasa seronok. Kalau buat dalam loyang macam biasa, di potong-potong macam kurang menarik je puding kastard jagung ni....hihi.

Nasi warna-warni, nama yang anak-anak sebut, di makan bersama ayam masak merah dan paceri nenas. Pertama kali aku buat paceri nenas ni, alhamdulillah SRD kata menjadi. Nasi tu tercurah kaler hijau terlebih, dah jadi hijau sangat pulak aku tengok...hahaha.
Ok, sambung cerita perihal kemalangan. Selepas solat maghrib, aku sambung mengaji Al-Quran sekejap. SRD masih belum sampai rumah. Hati tambah risau. Kejap-kejap mata menjenguk ke luar tingkap bilik, "Manalah suamiku ni?"

Tak lama kemudian, baru SRD sampai. Waktu maghrib masih belum habis masa tu, dan dia pun masuk dalam tergesa-gesa untuk mengejar waktu solat maghrib. Aku biarkan saja SRD selesai dulu urusannya. Bila dah selesai, duduk sama-sama atas katil, mulalah sessi bercerita.

SRD terlanggar sebuah motor yang di naiki 4 orang kesemuanya di atas motor tu. Ada seorang dewasa yang bawak motor (perempuan makcik kepada budak2 tu) dua orang kanak-kanak (seorang lelaki dan seorang perempuan) dan di belakangnya seorang remaja (abang kepada kanak-kanak tadi ). Punyalah ramai orang naik satu motor!!

Kata SRD, ada sebuah kereta di hadapan kereta dia, dan motor tadi di sebelah kiri, SRD di belakang motor ni. Jarak agak jauh juga, dan SRD memandu dalam kelajuan 70km sejam lebih kurang. Kereta hadapan dah hilang dari pandangan, tiba-tiba motor yang di belah kiri ni beri signal ke kanan tapi tiba-tiba je terus membelok kekanan, takde ambil side ke kanan dulu macam orang lain kata SRD. Yalah, baru bagi signal, terus belok ke kanan, dia tak perasan ke belakang dia tu ada kereta kan.

Dalam hati SRD dah kata, "alamak, sah kena langgar ni!" Cepat-cepat SRD tekan brek, tapi motor tu dah dekat sangat, apa lagi tersondol jugalah motor tu dan mereka semua tergolek kecuali remaja lelaki yang belakang, sempat dia melompat sebab katanya dia nampak kereta suami aku tu.

Bila semua dah terjatuh, rupanya ada kereta lain di simpang yang nampak dan dalam kereta tu adalah datuk kepada budak-budak tu, ayah kepada wanita yang bawa motor tu. Pakcik ni cepat berlari ke arah mereka dan SRD, kiranya rumah mereka dah nampak lah dari jalan tu. Apa lagi, SRD kena marah-marah kat situ. Macam-macam pakcik tu kata antaranya, "Awak tak nampak ke motor tu? Nampak tu signal pun masih hidup!"

SRD cuma diam tak menjawab, di biarkan pakcik tu mencurahkan rasa, sampai pakcik tu kata rasa nak tumbuk je muka suami aku. Huh!!! Aku dengar hanginnnnn satu badan terus. Namun dalam hati SRD berkata juga, "dah anak pakcik bagi signal dan-dan tu terus belok, mana saya sempat elak, dia pun tak tengok ada kereta tak kat belakang kenapa?" Tapi dalam hati je keluar. Laki aku ni memang gitu, tak mudah marah-marah, tak macam aku....hehe.

Bila aku kata," kenapa abang tak bersuara, anak dia pun salah?" Jawab SRD, "dalam undang-undang walau apa pun yang sebenarnya berlaku, yang menyondol tu akan tetap di salahkan."

Hmmm...yakan jelah. Pakcik tu masih bebel-bebel, SRD ajak bawa ke klinik. Cari-cari Klinik area Senggarang semua dah tutup, bawa ke Parit Raja, nasib baik ada satu masih bukak. Yang tercedera ialah dua orang kanak-kanak tu. Sorang luka sikit di tangan, sorang lagi melecet di kaki. Yang bawa motor dan yang belakang sekali tak cedera. 

Dalam masa menunggu doktor merawat, waktu berbuka dah sampai. SRD ajak mereka berbuka sekali di restoran satay berdekatan. Laki aku buka dengan 3 cucuk satay dan air je, sian dia....huhu. Kemudian ayah budak-budak yang SRD langgar tu muncul dengan van. Pakcik tadi dah pesan, kalau anak saya marah awak diam je, lagipun yang bawa motor anak perempuan saya, motor tu pun motor saya. 

SRD cuak, takut anak lelaki pakcik tu lagi garang dari dia, mau kena tumbuk ni. Tapi sabar jelah. Bila sampai, tengok muka memang agak bengis, kurus berseluar paras lutut je. Tapi alhamdulillah orangnya ok, tak marah pun, yang muka ketat cuma yang perempuan bawa motor tu je.

Selesai urusan semua dah SRD bayarkan bil rawatan, hantar mereka balik ke rumah dan barulah SRD sampai di rumah dan dapat makan dengan betul hidangan berbuka yang aku sediakan tadi.

Pagi ini SRD janji dengan anak pakcik tu di kedai motor untuk jelaskan bayaran apa yang patut bagi memperbaiki kerosakan yang ada. Katanya motor tu pun baru sebulan di beli, dan apa yang SRD nampak rosak, no plat belakang patah dan ada bengkok sikit bahagian belakang, lain-lain semua nampak elok. Oleh kerana SRD berlembut je dengan pakcik tu, dia pula yang kemudiannya minta maaf dengan SRD sebab dari mula asyik berkasar. Alhamdulillah.

Selama hampir 20 tahun SRD bawa kereta, inilah baru pertama kali terlibat dengan kemalangan. Pakcik tu pula kata," Oh! Ya ke? Kalau saya dah banyak kali, selalu sangat kena sondol, bawa motor kena sondol, bawa kereta kena sondol, bawa lori pun pernah kena sondol. "

Adeh! Lawak pulak bila dengar macam tu.Kena badi sondol kot. Apa pun alhamdulillah semuanya baik. Risau kan bila terlibat dengan kemalangan ni walau pun kecil-kecil.

Entah berapa belanja yang terpaksa di keluarkan untuk perbaiki motor pakcik tu, tapi yang pasti, kereta SRD pun minta di keluarkan belanja tu. Tengoklah apa dah jadi akibat kemalangan tu.

Kemek di depan dan adakesan hitam melecet, cermin lampu sisi hadapan pecah, calar-calar juga kat lampu tu, dan kawasan lampu tu temasuk ke dalam sikit. 
Peringatan untuk kami untuk lebih berhati-hati bawa kereta, kawasan kampung ni motor memang tiba-tiba je keluar kadang tu. 

Sekian.
~ يوس ~

Thursday, August 09, 2012

Bingka labu lebih memikat hati mereka

Nampaknya anak-anak ibu lebih suka kuih tradisional dari yang moden ya? Ingat lagi aku ada cerita 2 hari lepas, cream cheese butter cake yang aku buat tak laku di mata anak-anak. Semua jamah sikit je, dan akhirnya selepas 3 hari ke tong sampah.(huhu, membazir je, ada orang lain tak cukup makan tau anak-anak). Tapi semalam bila aku buat bingka labu, guna loyang yang sama besar dengan cream cheese butter cake tu, boleh licin. Selepas selesai berbuka tinggal sepinggan kecik je, dan licin juga mereka ngap kemudiannya masa sahur tadi...alhamdulillah.

Tak sangka pulak mereka minat bingka labu ni. Aku pernah buat bingka biasa je, bingka labu ni baru pertama kali buat. Ada labu jiran sebelah beri, dah buat masak lemak campur kacang panjang separuh, separuh lagi takut membazir aku buatlah bingka.

Aqil dan Abid paling banyak makan. Macam sedap sangat pulak aku tengok mereka makan, sampai berebut-rebut. Huhu, suka ibu tengok kamu makan macam tu. Ibu nak buat lagi pun bersemangat tau! Seronok bila apa yang kita masak mereka makan habis kan.

Bingka labu yang aku buat semalam. Ini bingka labu rezeki untuk jiran sebelah aku. Dia beri kami mee hoon goreng guna pinggan tu, maka aku pun pulangkanlah dengan bingka labu ni. Sebab tu  design  pinggan lain dari biasa, bukan pinggan aku ni...hihi. Sebelum di sedekahkan ambil gambar dulu....ekekek.

Resepi bingka labu ( Resepi asal dari My Resipi)

Bahan-bahan:
( Acuan bulat berlubang tengah berukuran 35cm )- aku guna loyang bulat biasa je 20cm
5 biji telur Gred A - aku guna 5 biji telur Gred B
200 ml air
300 ml pati santan -aku guna santan kotak malas nak keluar cari santan lain.
200 g tepung gandum - aku guna 2 cawan tepung
180 g gula halus - aku guna 1 3/4 cawan gula castor
1/2 camca teh garam
1 camca teh esen vanilla
450 g labu manis, dikukus hingga lembut dan dilecek halus - aku guna separuh labu yang jiran bagi tu, tak tahu berapa berat....hihi.

Cara-cara membuatnya:
  • Satukan kesemua bahan dalam satu bekas kecuali labu lecek. Kacau menggunakan wisk hingga sebati dan gula hancur. Tapis adunan. 
  • Masukkan labu manis yg telah dilecek halus tadi. Gaul hingga rata. 
  • Tuang adunan tadi ke dalam loyang yg telah di sapu mentega .
  • Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 200C selama 50 minit. Biarkan sejuk sebelum dipotong.

~ يوس ~

Wednesday, August 08, 2012

Baju raya kanak-kanak lelaki

Selalu bila kita mencari baju raya untuk anak perempuan, banyak pilihan dan fesyen boleh kita lihat. Kadang-kadang rambang mata hendak memilih. Tapi, bila hendak memilih baju raya untuk anak lelaki, susah juga kan. Pandang kiri kanan, belek sana sini, lebih kurang je fesyennya. Tiada banyak pilihan pun.

Dulu masa anak perempuan sorang masih kecik, memang rasanya baju raya dia paling banyak aku beli, Nampak cantik dan design pun up to date je, mulalah hati tertarik. Sebab itu setiap tahun baju raya Alia lah yang paling banyak.

Tahun ini saja dia sorang 5 pasang, kasut raya pun dia sorang yang dapat baru. Orang lain semua pakai kasut lama....hihi. Macam tak adil je bunyinya tapi anak-anak lelaki aku memang tak kisah. Bila aku kata je, " Aqil dengan Abid nak kasut raya ke? Kasut raya tahun lepas tu pun elok lagi, masih boleh pakai sebab jarang guna kan."

Mereka jawab, "Haah ok ibu, Pakai je yang tahun lepas punya, Aqil tak kisah." "Abid pun sama ibu."

Tapi bila soalan sama di ajukan pada Alia, jawapan yang keluar, "Haaaaa! Mana boleh! Alia nak kasut raya baru!"

Hihi....lain kan anak perempuan dengan lelaki.

Sepanjang bulan Ramahdan ni, keywords paling popular yang masuk dalam blog aku ni ialah baju raya 2012. Mesti semua nak mencari baju raya online termasuk ke blog aku ni sebab entri ini. Takpe, aku tambah entri baju raya kanak-kanak lelaki pula. Model utama haruslah anak aku Arif kan. Hari tu tunjuk dia pakai baju kurung Johor, hari ini baju raya yang di gayakan adalah t-shirt dan jeans pendek.

Inilah baju dan seluar tambahan untuk Arif bagi raya tahun ini. Tak banyak pilihan kan, balik-balik macam tu juga. Aku suka nak pilihkan untuk dia jeans pendek macam tu, sebab dia kalau pakai jeans panjang nampak serabut je. Mungkin sebab dia kecik dan kemetot sikit...hihi.
Bila di suruh bergaya depan kamera, pandai pula menggayakan tu. Well done Arif! Penghibur ibu sepanjang masa. Tengok keletah dia dah boleh ketawa  aku ni.

Baju raya Arif masih tak dapat kalahkan jumlah baju raya kakak Alia, macam mana ni? Ibu dengan abah dia, memang kalah terus, anak-anak lebih utama kan.

Semua kawan-kawan lain, dah selesai ke urusan mencari baju raya anak-anak?

p/s: Perasan tak, Arif dah berambut baru. Rambut nak raya.....hehe.

~ يوس ~

Tuesday, August 07, 2012

Merajuk dengan blog?? | Cream cheese butter cake

Salam Ukhwah buat semua....

Semalam 17 Ramadhan, selesai memasak juadah berbuka SRD berkata " Ambil le gambar, masuk dalam blog eh. Merajuk dengan blog ke? Lama tak update?"

Merajuk ke? Tidak sebenarnya, cuma adalah hati sedikit tersentuh dengan satu komen ikhlas seorang pembaca senyap selama ini, tapi sekali dia komen pedas pula. Jadi aku rasa baik berehat sebentar dari menulis untuk mengambil nafas baru, semangat baru. Aku tentunya sayang dengan blog yang telah lama aku bina ni. Mula mengenal blog dan menulis blog dari 2006, mana mungkin aku melupakannya terus. Sayang rasanya. Ramai kenalan dan sahabat aku dapat dari blog. Komen dan cerita-cerita anda semua menceriakan hari-hari aku sepanjang masa. Bila berdiam diri dan komen pun tiada yang masuk, mulalah rindu bertandang. 

Entri akhir aku 27 Julai lalu ialah ketika hari jadi Arif yang kedua. Tiada sambutan apa pun, cuma aku buatkan anak-anak cream cheese butter cake. Saja nak mencuba buat kek keju pula. Tapi rupanya anak-anak kurang minat, aku je yang suka cheese cake ni....huhu.

Atas pandangan kek dari bahagian bawah, bawah pula kek bahagian atas.

Cream cheese butte cake yang sudah di potong.

Aku bagi kat jiran sikit, anak jiran aku kata "sedap kek tu", tapi anak-anak aku, "kek coklatlah ibu lagi sedap"....huhu.

Ok, inilah first dan last ibu buat, malas nak buat kalau orang dalam rumah kurang suka kan. Sendiri buat, sendiri makan, mana nak datang semangat.....ekekek.

Resepi Cream cheese butter cake (Kredit to blog Citarasa Kehidupan Sue Joshua)

BAHAN-BAHANNYA:
200 gm butter
200 gm cream cheese
250 gm gula kastor
250 gm tepung gandum
5 biji telur
1 s/t baking powder

CARA-CARANYA:
  • Pukul butter, cream cheese dan gula hingga sebati, masukkan telur satu persatu hingga adunan ringan, campurkan tepung bersama baking powder kemudian kaub balik tepung kedalam adunan hingga rata dan sebati. 
  • Tuangkan adunan kedalam loyang yang telah disapukan dengan sedikit butter. 
  • Tutup adunan untuk mengelakkan permukaan kek hangus. 
  • Bakar adunan kedalam oven pada suhu 180c hingga masak dan permukaan kek keperangan (kira-kira 50-60 minit) mengikut jenis oven masing-masing.

~ يوس ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...