Tak tahu bagaimana nak mula, tapi nak juga menulis pasal ni.
Aku beri contohlah ya. Hari ini hati ku sedikit terguris, bila anak aku Alia berkata dengan muka yang masam mencuka, "Alah ibu ni? Kenapa letak air Alia kat sini, tak sejuklah".
Biasanya, aku memang dah siapkan air untuk bekal anak-anak ke sekolah agama dalam peti sejuk. Hari ini aku terlupa masukkan, tapi dia dah bising macam tu.
Kini aku faham, hati seorang ibu ni kadang-kadang anak tu tak bermaksud apa pun, tapi benda kecil macam tu pun hati kita boleh terguris.
Ingin aku ceritakan di sini luahan dari hati seorang ibu yang aku dengar. Kisah yang mana ibu ni anak-anaknya ramai. Dah banyak asam garam kehidupan dia. Seorang ibu tu biasalah ingin tahu apa yang berlaku pada anak-anaknya. Suka bertanya dengan siapa dia berkawan, apa yang di bualkan anaknya dengan kawan. Dengan anak-anak yang terdahulu, biasanya tiada masalah, senang mereka berkongsi cerita, tapi anaknya yang satu ini sukar untuk dia memahaminya.
Ibu ini hatinya terluka bila mana dia tanya pada anaknya itu, apa cerita anak tersebut dengan kawannya di telefon, anak itu menempelak balik " Itu pun emak nak tahu ke?".
Ibu itu juga terluka bila mana dia minta tolong dengan anaknya untuk mengurutnya, anaknya itu lebih pentingkan tidurnya kerana penat. Padahal anak itulah teman ibunya kini, yang ada di rumah bersama-sama dengannya. Pada siapa lagi ibu itu nak melayan borak kalau bukan dengan anaknya itu. Bila mana abang atau adiknya berkasar dengan ibunya, dia perasan, dia marah, tapi bila diri sendiri melakukan, dia tidak sedar.
Bila mengenang tempat ibu itu, hatiku terfikir, bagaimana agaknya aku bila hari tua nanti? Bagaimanakah sikap anak-anak aku pada aku nanti? Sekarang pun aku dah boleh terguris hati, bila umur semakin meningkat biasanya kita lebih sensitif kan.
Kata ibu itu, fikirannya buntu bila mana anaknya itu kata, "emak tak sayang saya? ", taktkala ibu itu tak sempat nak masak makanan yang dia minta. Yelah, bila adik beradik yang lain pulang ke rumah, banyak juadah tersedia di hidang, tetapi bila dia minta, ibunya itu lambat membuatkan.
Hati kecil ibu tu berkata, bila ramai yang pulang, seronok nak masak, semua makan, habis makanan, tapi bila seorang dua di rumah, penat juga dia nak masak, makannya sikit saja. Sudahlah begitu, bila makanan di simpan, ada masa tak di sentuh pun anaknya itu, alasan penat, sudah makan di tempat kerja, tapi bila tiada bising pula.
Pada aku, seorang ibu itu memang sayang pada anak-anaknya sekiranya sifat ingin ambil tahu tentang anak-anak tu masih tebal. Kalau ibu itu sudah membisu seribu bahasa, semua benda yang berlaku di sekeliling dia dah tak ambil peduli, masa itulah baru kita boleh cakap ibu itu dah tak betul. Dah tak peduli anak-anak.
Samalah bila seorang ibu sanggup buang anaknya yang baru lahir di tepi jalan, itu barulah nama tak sayang anak.
Kenapa pula bila ibu bertanya sesuatu dengan anak , anak itu menjawab " itu pun emak nak tahu ke?" Kurang ajar benar bunyinya kan...
Ibu yang sentiasa mengambil tahu adalah ibu yang terlalu sayang anak-anaknya. Ibu yang sangat perihatin, ibu yang mahukan yang terbaik untuk anaknya. Walaupun dalam hati dia tak suka apa yang anaknya lakukan, tapi selagi dia masih bertanya, masih mengambil tahu apa yang kita lakukan, dengan siapa kita berkawan, itulah tanda kasihnya pada kita sangat dalam. Jangan sampai satu apa pun yang kita buat dia tak hirau, masa itu mungkin sudah terlambat. Menyesal tak sudah jadinya.
Orang tua dulu selalu kata, apa yang kita lakukan pada emak kita, satu hari mungkin anak kita akan balas pada kita. Takutnya kalau kita berlaku kurang ajar pada ibubapa kita, balasannya kita sendiri yang terima di usia tua kita....Nauzubillah....
Moga kita semua tergolong dari orang-orang yang tahu hormat ibubapa. Peringatan untuk diri aku sendiri..
Syurga itu di telapak kaki ibu, jadi renung-renungkanlah....
~ يوس ~