Friday, July 27, 2012

Catatan 6 Ramadhan : Dah tinggal 1 hari ya Abid | Happy 2nd Birthday Arif

Dah masuk hari ke 7 kita berpuasa hari ini. Sekejap saja dah seminggu kan. Cepat betul masa berlalu.

Hari ini nak coret sikit cerita mengenai Abid di puasa yang ke 6 semalam. Dua hari sebelum ini, bangun saja dari tidur, dia terus menuju ke dapur dan membuka pintu peti ais. Alia yang nampak berkata " Ha!!! Abid nak curi minum ya? Abid kan puasa!"

Ketika itu baru pukul 4.30 petang. Memandang wajah Abid yang sedikit monyok di tegur kakaknya aku bersuara pula. " Abid kalau tak tahan haus, nak buka beritahu ibu ya! Jangan curi-curi minum air sejuk dalam peti ais pulak. Ibu tak marah kalau Abid nak berbuka, sebab tak tahan tapi jangan curi-curi buka dan kata Abid puasa. Yang itu ibu marah!"

"Taklah ibu, Abid tengok je. Abid tak minum pun. Betul!" jawab Abid.

Semalam dalam pukul 12.30 tenghari selepas pulang dari sekolah, dia datang  dan berbisik di telinga aku.

"Ibu, kalau Abid nak buka ibu tak marah kan. Tapi kena cakap dulu kan, jangan tipu kan. Abid haus lah ibu, tak tahan sangat ni, Abid nak minum, boleh bu."

Adeh! Dia ingat betul apa aku cakap, nak tahan-tahan pun tak boleh rasanya. Muka nampak haus sangat. Kesian tengok. 

"Ok, Abid boleh berbuka. Tapi Abid jangan cakap dengan abang Aqil dan Alia Abid tak puasa tau! Kesian kat mereka sebab mereka puasa," jawab ku.

"Boleh! Abid tak cakap, tapi ibu pun janji tak cakap dengan abah ya Abid dah buka puasa hari ini," balas Abid.

"Eh mana boleh. Ibu kan selalu cakap abah, abah pun tak marah kalau Abid cakap jujur, kalau Abid curi-curi minum tu yang abah marah!"

Petang itu bila selesai aku bercakap dengan abahnya di telefon pasal nak buka apa, boleh pula dia bertanya, "Ibu dah cakap abah ya! Abah marah tak Abid tak puasa hari ni?"

Hehe....sweet anak ibu tau. Takpelah Abid. Belum pun 6 tahun kamu. Baru saja 5 tahun 8 bulan, belum wajib puasa. Yang penting Abid tahu dan nak belajar puasa. Ibu bangga dengan Abid. Baru sehari tinggal puasa. Jangan lepas ni asyik buat alsasan sama je sebab tak nak puasa ya....ekekek.

*************************************************
Hari ini kira entri dua dalam satu. Ibu nak kongsi kegembiraan dan rasa syukur ibu sempena ulangtahun ke 2  adik Abid yang comel pula iaitu Arif Zakwan bersama teman-teman blog semua.

Muhammad Arif Zakwan, you are 2 today!
Dalam usia 2 tahun, Arif memang penghibur kami sekeluarga.Keletahnya sehari-hari selalu buat kami geram mulanya, tapi akan ketawa kemudiannya. Selalu dah ibu kongsikan dengan semua keletah Arif di blog. Kawan-kawan blog ibu pun semua kenal Arif macam mana.

Terbaru, dia suka main air sekarang. Bila habis makan sibuk nak basuh pinggan sendiri. Pandai cari kerusi panjat untuk basuk pinggan di sinki. Pinggan orang lain pun dia nak basuhkan. Kita marah, dia kata, "Ayip wat" (maksudnya biar Arif buat). Semua lengkap, siap guna sabun cuci depan belakang, tapi yang tak bestnya, habis basah semua sampai ke lantai.

Suka juga main air dalam bilik air. Pantang nampak orang nak solat, dia pun sibuk nak solat. Kemudian tu mulalah ke bilik air ambil wuduk. Basah lagi satu badan. Ambil wuduk walau belum tahu rukun dan tertibnya, semua ada tu. Kadang basuh muka dulu, kadang tu kaki dulu, tapi bila kita kata dah cukup, boleh dia jawab, "angan lom!"

Haha, tahu dia mana yang tertinggal. Arif, Arif. Dah pandai ikut orang azan juga. Semua keletahnya menghiburkan.

Moga membesar sihat, cergas, menjadi anak yang soleh, dan tahu berbakti kepada kedua orang tua ya.Ibu sentiasa doakan yang terbaik buat semua anak-anak ibu tak kira Aqil, Alia, Abid mahupun Arif. Kami semua sayang Arif.

Happy Birthday Arif sayang!

~ يوس ~

Thursday, July 26, 2012

Mari berbicara bersama saya ; Arif

Salam semua....

Hari ini ibu beri peluang saya mencoret sepatah dua di blog ibu lagi. Walaupun sebenarnya ibu yang buat semua pun, saya berlakon je. Ibu tu takut tayang gambar makanan lama-lama dalam blog nanti ada yang terbatal puasa pulak. Baik letak video saya ni kan.

Tapi masa ibu suruh saya berlakon tadi, saya takde mood sebenarnya. Jadi saya buat tak mengikut piawaian yang ibu mahu. 




Inilah saya aunty2 semua. Tadi sebenarnya ibu ada lihat video anak kawan dia yang duduk Germany tu. Ibu suka pula tengok video tu, jadi ibu pun mulalah nak ambil video saya pula. Dulu-dulu ibu selalu rakamkan aksi-aksi abang2 dan kakak saya dan muatkan video mereka di blog. Tapi saya ibu jarang buat. Ibu malas ya?

Tapi kemudian ibu kata takut rugi pula tak rakamkan serba sedikit aksi saya tu, jadi ibu pun rakamkan satu yang ini. Kemudian bila dah siap rakam, baru ibu teringat, esok 27 Julai adalah ulangtahun kelahiran saya yang ke 2. Ibu benar-benar terlupa ulangtahun kelahiran saya tinggal sehari je. Sampai hati ibu tau!

Tapi saya tahu ibu sayang saya. Saya pun bukan tahu nak minta apa-apa untuk hari jadi. Ibu nak beri apa ya? Kawan-kawan blogger ibu saya semua pun nak beri saya apa? Rasanya tak perlulah minta apa-apa kan bulan-bulan puasa ni. Saya cuma minta semua doakan saya sihat sejahtera dan dapat membesar dengan baik, menjadi anak yang berguna dan dapat bantu ibu dah abah bila saya besar nanti. Itu adalah hadiah yang paling best rasanya kan, doa dari semua.

Terima kasih....jumpa lagi esok di hari lahir saya ya!

Yang menurut perintah,

           Ayipp

~ يوس ~

Catatan 5 Ramadhan 2012 : Homemade pizza

Dah lama nak cuba buat pizza sendiri tapi takut tak jadi. Anak-anak aku semua memang hantu pizza, semalam semua dok request nak makan pizza waktu berbuka. Boleh ke aku buat ni? Paling takut bahagian doh pizza tu, takut sangat tak jadi.

Yus! Kamu boleh! Buat je, tak jadi pun anak-anak pasti ngap punya....hahaha.

Google resepi cara buat pizza sendiri, jumpa resepi Pizza Ayam Hawaian dari Nannie ni. 

"Ok! Kalau ibu jumpa bahan-bahannya ibu buat ya anak-anak," itu janji aku pada mereka semua.

Susahnya nak cari cheese dekat pekan Senggarang yang kecik ni!!! Shortening tu apa? Tak pernahku tahu...huhu. Tapi ada bantuan resepi doh dari seorang akak kenalan lama dari Sheffield. Resepi dia tak perlu ada shortening. Dalam hati dah kata, kalau tak jumpa shortening tu, guna je resepi Kak Mar tu. Tapi sebab jumpa, guna resepi Nannie jawabnya.

Call penyelamat en. SRD kita di pejabat. Minta dia cari bahan di PR kalau berkesempatan.

Dia memang penyelamat. Semua bahan ada di sana kecuali Mixed Italian Herbs. Aku gantikan saja dengan paprika herbs. Jadilah pizza aku Pizza Ayam Hawaian Paprika kot namanya....hehe.

Pizza sebelum di bakar dalam oven.
Pizza yang sudah masak, terlebih bakar sikit kot...huhu. Inilah Pizza Ayam Hawaian Paprika aku....suka2 je letak nama...hihi.

Bagi aku, percubaan kali pertama ni, kurang berjaya sikit. Rasa dah ada, anak-anak dah kata sedap. Tapi ibu belum puashati! Bahagian tepinya agak keras, sukatan doh kalau ikut resepi itu macam terlebih untuk tray pizza aku yang size nya 10 inci. Kena kurangkan sikit sukatan selepas ni. Bila baca balik, Nannie tu buat untuk tray 12 inci. Adeh! patutlah.

So semalam berbuka ala western kami. Ada 2 pizza, ada garlic bread resepi ikut sini, ada cream of chicken bancuh dari tin Campbells tu je dan air sirap bandung. Lain-lain makanan lupa nak ambil gambar, excited sangat berjaya buat pizza sendiri, tangkap gambar pizza je...huhu.

Bulan puasa ni, dah kurangkan makan nasi lagi, baru berjaya turun sikit lagi berat badan. Ingat tak, aku hari tu excited kejap berdiet. Ni barulah berubah lagi angka tu sikit. Perkembangan terbaru selepas 3 bulan...





Ada hikmahnya di sebalik bulan Ramadhan ni, kalau tidak tak bergerak dari angka 61kg yang akhir dapat turun  hujung bulan 6 hari tu....huhu.Tak mahulah target sampai 51kg tu, dapat 55kg sehingga habis Ramadhan pun kira ok dah, alhamdulillah. 
~ يوس ~

Wednesday, July 25, 2012

Catatan Ramadhan 2012 : 4 Ramadhan

Sudah hari ke 5 berpuasa hari ini. Dapat rasakan Ramadhan kali ini lebih seronok dari tahun-tahun sebelumnya. Tak tahu kenapa. Ada sesuatu kelainan.... Moga terus seronok sehingga akhir Ramadhan nanti.

Semalam berbuka dengan menu lebih ringkas. Tak perlu banyak-banyak, yang penting masak sendiri dan tak membazir.

Cucur Udang resepi mat gebu dan roti sosej gulung ikut je resepi ni, di tambah dengan kurma Wasem dari Yusof Taiyobb dan air soya campur cincau.
Untuk sahur pula, nasi panas + telur masak kicap + peria yang di goreng bersama udang kapas dan telur. Semua masak ekspress pagi-pagi bermula pukul 4. Alhamdulillah, harap aku dapat bangun awal setiap pagi memasak. Kalau terlajak, kesian juga anak-anak.

Semalam ada yang tanya aku resepi mee kari tom yam. Aku memang selalu buat mee kari tom yam ni, resepi asal aku ikut dari sini. Pastu pandai-pandailah ubah sendiri, tukar ayam dengan daging ke, tambah lagi udang, bebola ikan, dan sayur sawi. Aku kan suka ikut resepi internet, tapi pastu pandai-pandai ubah sendiri ikut bahan yang ada di rumah.

Semalam juga buat pertama kalinya ke surau berterawih dengan SRD saja, tanpa anak-anak. Aqil sedang dalam minggu peperiksaan bulanan, Alia pula ada kerja sekolah yang belum siap, Abid dah abang dan kakak tak ikut, dia pun malaslah nak ikut. Arif ku tinggal saja dengan abang2 dan kakaknya. Masa nak keluar tu, memang dengar suara dia melalak sakan, tapi Aqil pandai ajak dia main dalam bilik dan kunci bilik tu, jadi dia tak dapat nak keluar kejar kami. Berbuih juga mulut aku mengingatkan agar siapkan kerja masing-masing dan buat latihan ulangkaji.  

Alhamdulillah dapat berterawih dengan lebih khusyuk tanpa Arif yang ligat. Bila sampai rumah, tengok muka dia pun ceria je, langsung tiada kerisauan. Anak-anak dah boleh di harap jaga adik mereka, alhamdulillah.  Masing-masing juga menunjukkan kerja sekolah dan latihan yang telah mereka siapkan.Cuma peringatan aku pada mereka, bila hari minggu kita pergi terawih sama-sama ya!

p/s: Bulan Ramadhan ni kurang dapat BW dari biasa. Maaf ya! Terima kasih pada yang masih setia menjengah. Selamat berpuasa buat semua.

~ يوس ~

Tuesday, July 24, 2012

Catatan Ramadhan 2012 : 3 Ramadhan

Aku nak buat catatan mengenai Ramadhan kali ini mana yang menarik dan rasa sesuatu yang baru berlaku dalam keluarga kami. Pada yang sudi baca terima kasih.

Ada satu komen yang menarik perhatianku untuk entri 3 hari pertama berterawih bersama anak kecil di masjid; satu pengalaman semalam. Komen dari kak Ina Hashim.

sila baca pada bahagian yang aku buat kurungan merah
Belum berpeluang ke Mekah, baca komen kak Ina ni buat aku teruja dan tambah semangat nak teruskan azam setakat yang termampu berterawih di masjid/surau berjemaah. Cuma itulah, mentaliti dan penerimaan kat sini mungkin ada sedikit berbeza. Itu yang takut tu, takut ada yang marah sebab bawa anak kecil bersama. Apa pun alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar.

Semalam terawih malam ke 4, kami ke surau taman sebelah. Dalam perjalanan aku dah mula bercakap dengan Arif supaya duduk diam di surau. Oleh kerana surau agak kecil berbanding di masjid sebelum ni, dia mudah nampak abang-abangnya Aqil dan Abid. Sebelum-sebelum ni elok je duduk dengan aku dan Alia. Kalau berjalan pun di sekitar tempah makmum perempuan saja, ini sampai ke ruangan jemaah lelaki pun dia pergi juga. Aduh!! Tak masuk langsung dalam kepala otak dia apa yang aku beritahu tadi....huhu.

Masa solat Isyak paling kritikal. Suara Arif turut mengaminkan dengan kuat ketika makmun semua sebut amin selepas imam baca fatihah. Dia pula di tempat ruangan tempat solat lelaki. Tak tahulah apa yang berlaku di sana. Selesai Isyak, rasa nak balik je sebab aku takut sangat dia menganggu jemaah lelaki bersolat, tapi SRD kata " Takpe, dia tak kacau orang, cuma bising sikit saja. Lagipun dia bersama kanak-kanak lelaki lain yang ramai juga di surau. Duduk belakang."

Ok, aku ikut. Sampai di rakaat 4 terawih, masa ni dia dah berada di ruangan solat wanita. Entah macam mana dia boleh nampak pula cermin mata makcik di saf hadapan aku yang di letakkan di bawah. Kurang khusyuk jadinya aku, takut sangat dia patahkan cermin mata makcik tu, seperti dia patahkan cermin mata aku hari itu. Alhamdulillah tak jadi apa-apa. Selepas salam di beri, aku cepat-cepat ambil cermin mata tu dan pulangkan kepada makcik itu. Makcik tu sendiri kata, " Takutnya kalau dia patahkan tadi.." Terus dia pakai je cermin mata tu...hehe.

Makcik ni juga ada kerusi di belakangnya. Sama macam cerita aku sebelum ni. Rakaat seterusnya, Arif mula pegang-pegang kerusi tu, tapi dia tak tarik cuma tepuk-tepuk je. Sekali tiba-tiba makcik tu duduk. Terduduk tangan dia sekali. Menjerit sakan si kecik tu. "Ahh! Akit! Akit! Akit!"

Makcik tu bangunkan punggungnya sedikit, dan tangannya dapat di keluarkan. Selepas itu barulah Arif duduk diam di hujung tepi saf aku sambil berbaring. Lega rasa hati.....

Kelakar pun ada mengingatkan.Tulah siapa suruh pegang-pegang kerusi kan. Tapi selepas botol susunya habis di hisap, dia masih tetap berjalan-jalan cuma tidak menganggu mereka yang solat. Alhamdulillah.

Arif! Ibu mula rasa luntur semangat nak meneruskan azam berterawih berjemaah di surau ni. Tapi abah memberi galakan. Alhamdulillah. Moga dapat di teruskan lagi, mungkin tak dapat setiap hari di bulan Ramadhan ini cuma cuba yang terbaik untuk dapat sebanyak mungkin. Moga di permudahkan....

Dah 3 hari berbuka puasa, juadah berbuka kami belum lagi menyentuh nasi. Kononnya tahun ni berazam tak nak berbuka nasi sangat, tapi sahur harus ada nasi. Anak-anak aku pun memang kurang makan nasi waktu berbuka dari dulu lagi. 

Ini menu berbuka hari ke 3 kami semalam.

Menu simple hasil tangan aku sendiri. Roti jala cicah sambal sardin, dan mee kari tomyam. Ayam kfc dua ketul tu ada staf SRD beri. Kalau ada yang perasan, nampak tak dalam gambar tu ada kelihatan tangan Abid dan Ultraman mainannya. Masa aku nak ambil gamba ni dia kata,"Ibu! Boleh tak Otomen Abid masuk sekali ya!"....suka hati kamulah Abid...hehe.
Alhamdulillah kenyang. Menu hari ini masih blurr lagi. Apa nak masak hari ini ya?

~ يوس 

Monday, July 23, 2012

3 hari pertama berterawih bersama anak kecil di masjid ; Satu pengalaman...

Selama mempunyai anak kecil, tidak pernah sekali pun aku ke masjid untuk berterawih. Selalu mengambil jalan mudah berterawih di rumah saja kerana takut anak-anak akan menganggu jemaah-jemaah yang lain.Namun bila nak solat terawih di rumah pun, ada masa terganggu juga dengan benda-benda lain.  Tahun ini memasang azam nak berterawih di masjid/surau. Membaca Tips Bawa Anak Kecil Ke Masjid oleh Mommy Lyna memberi aku lebih semangat dan keyakinan bahawa aku pun boleh bawa anak seaktif Arif ke masjid bersama.

Aku suka dengan point kedua yang Mommy Lyna nyatakan pada entri itu iaitu:
Fokus kepada memperkenalkan masjid kepada anak, rather than penuhkan solat tarawih. Kebanyakan ibu yang dilanda dilema ialah kerana risaukan bagaimana nak solat dengan budak kecil yang sedang lasak. Kena ingat tarawih tu sunat, tapi kewajipan kita sebagai ibu bapa untuk mendidik anak mencintai masjid. Setahun sekali je, hari2 lain memang jangan haraple nak bawa kan? Kita pun time bulan puasa je ghairah nak buat ibadat sunat
Aqil dan Abid dah biasa ikut abahnya ke masjid untuk solat Jumaat. Terawih pun dah selalu juga di tahun-tahun sebelumnya. Tapi Alia dan Arif belum lagi kerana aku tak berani bawa Arif sekali. Tahun ini Arif dah hampir 2 tahun. Bolehlah ku kira bawa dia ke masjid bersama untuk solat terawih.

Malam pertama kami berterawih di Masjid Kg. Sg Lurus. Seperti kata Mommy Lyna cuba bawa anak ke masjid yang lebih besar sikit, nak ke surau Taman yang berdekatan takut kecik nanti lebih menganggu jemaah lain. Aku memilih duduk di saf yang paling belakang. Bila saja solat Isyak, aku maju ke depan di saf ke dua akhir. Saf paling belakang, ramai kanak-kanak perempuan lain sebaya Alia atau besar sikit. Sebaya Arif tiada nampaknya. Hati aku rasa sangat risau. Berdebar-debar bagaimana dengan kelakuan Arif nanti.

Sebelum pergi dah cakap dengan dia baik-baik untuk duduk diam di masjid. Siap aku bawakan dia bantal kecil dan botol susunya ku buat penuh. Dia memang diam saja mulanya di belakang, berbaring dan menghisap botolnya sehingga habis. Tapi bila saja terawih bermula, dan baru habis 4 rakaat, Arif sudah mula buat perangai. Dia bermain dengan rehal yang ada di bahagian tepi penjuru masjid. Kelentang, kelentung bunyinya. Aku jadi tidak khusyuk tapi aku kuatkan hati. Dalam hati berdoa supaya Allah mudahkan dan Arif akan berkelakuan lebih sopan sepanjang di masjid.

Masjid ini buat solat terawih 20 rakaat, jadi agak lama, dan Arif mula bosan kot. Dia dah bawa rehal tu berjalan sana sini. Melalui antara saf, malah rehal itu juga di ketuk di kepala kakaknya Alia ketika Alia sujud. Nasib baik ketuk kepala akak sendiri, kalau orang lain? Aku berhenti dan tidak meneruskan rakaat seterusnya. Berusaha untuk menyuruh Arif duduk diam di tepi, dia nampak patuh. Bila habis rakaat ke 8, Alia pun dah letih aku suruh Alia saja yang perhatikan Arif. Aku meneruskan hingga habis rakaat ke 20 dan solat witir. Ada kakak dia pun dia berlari-lari juga.....aduhai.

Malam ke dua, semangat aku belum luntur. Kali ini kami di Melaka rumah ayah dan bondaku. Jadi berpeluang bersolat terawih di Masjid lebih besar dan jemaah perempuannya juga ramai. Kami ke Masjid Tun Khalil Yaakob, Melaka. Di sini aku lihat lebih ramai budak-budak kecil sebaya Arif di bawa. Hati aku lebih seronok dan teruja. Tidak begitu risau sebab ada kawan yang juga bawa anak kecil.

Memilih saf belakang juga, Arif nampak dah lebih faham sebab kali kedua di masjid. Dia lebih duduk diam di tepi. Aku dapat menghabiskan solat Isyak dan terawih dengan baik sehingga rakaat ke 4. Namun masuk rakaat seterusnya dia mula berlari-lari. Semuanya kerana ada kanak-kanak lain yang besar sedikit dari dia mengajak dia bermain sama. Berlari-lari, dia pun apa lagi, mengikut lah. Aduh!!!! Hati mula bimbang sedikit. Bila habis rakaat ke 8 sekali lagi tugas Alia memerhatikan Arif. Alhamdulillah dia nampak lebih baik cuma suaranya boleh dengar juga satu masjid....huhu. Dan kerana Imam pun hanya buat terawih 8, cepat sikit habisnya, takdelah lama suaranya bergema di masjid tu. Lepas habis witir dan doa alhamdulillah berjaya malam kedua. Arif pun nampak gembira.

Hari ke tiga semalam, mulanya aku nak tinggalkan dia di rumah bersama emakku yang kurang sihat. Tapi dia menjerit-jerit, meronta-ronta mahu ikut juga. Aku kuatkan hati, memang niatku nak berterawih di masjid di samping nak memperkenalkan anak-anak dengan masjid. Selepas ini dah balik BP, pasti tak dapat tinggalkan dengan sesiapa pun Arif. Jadi aku bawa juga dia bersama. Kali ini sampai je dia terus duduk diam, alhamdulillah. Sehingga selesai kami solat Isyak pun, dia diam saja. Ku kira dia sudah faham.

Tiba-tiba bila nak mula solat terawih, ada seorang makcik dari saf belakang aku yang kakinya kurang kuat mungkin untuk berdiri lama dan susah nak bangun bila sujud mungkin, beralih ke saf depan sebaris dengan aku.Ada sebuah kerusi di belakangnya untuk membantu dia melaksanakan solat. Setiap kali lepas rukuk, makcik ni akan duduk  di kerusi itu. Kira dia perlukan bantuan kerusi untuk rukun solat yang seterusnya.

Arif pelik kot kenapa nenek ni ada kerusi. Aku pun tak perasan dia dah bangun sebab khusyuk solat. Rupanya dia dah pergi tarik kerusi tu ke belakang, jauh dari makcik tu. Aku tak tahu apa yang berlaku sebenarnya, tapi selesai saja terawih dua rakaat dan aku memberi salam, makcik tu bersuara. Dia duduk selang satu jemaah dengan aku. "Anak siapa tu?" Masa ni Arif sudah duduk diam di tepi semula.

"Anak saya makcik!"

"Tahu tak dia tarik kerusi makcik ni tadi, nyaris makcik jatuh. Nasib baik, kalau jatuh tak tahulah nak kata apa."

Muka aku merah padam rasa masa tu. Malunya. Apa Arif sudah buat??Jawapan yang keluar dari mulutku, "ya ke makcik?"

Kemudian teruskan solat sebab Imam pun dah mula rakaat yang seterusnya.

Selesai semua baru aku mengambil kesempatan meminta maaf dengan makcik tu. Nasib baik makcik tu kata,"takpelah budak-budak bukan tahu apa, cuma kaki makcik ni memang tak berapa kuat, kena duduk di kerusi, takut terjatuh bila dia tarik tadi".

Lega rasa hati. Mulanya sedikit cuak, sebab gaya makcik tu bertanya 'anak siapa tu?' bunyinya macam dia marah masa tu.

Hari ini sudah di BP semula. Malam ini masih bersemangat nak berterawih berjemaah. Malam ni plannya nak ke surau taman saja, sebab jiran aku kata, surau taman buat terawih 8 rakaat saja. Cepat sikit habis, mungkin Arif kurang bosan dan buat perangai. Tak tahu bagaimana. Risau juga ni.

Wahai hati, kuatkan semangat aku. Macam kata Mommy Lyna, fokus kepada perkenalkan masjid/surau kepada anak-anak dari cuba penuh kan solat terawih tu. Kalau tak dapat habis, boleh sambung di rumah kan. Tapi tulah, kalau dah balik rumah nak sambung selalu liat. Nasib baik ada anak daraku Alia boleh bantu. Dia pun dah suka nak solat terawih, cuma solat witir tu memang dia malas betul nak buat. Alasan dia, "takpe ibu, Alia tengok adik."

Oklah tu. Harap aku dapat terus konsisten dan istiqamah dalam melaksanakan azam untuk terawih di masjid/surau tahun ini.

Arif!!! Sila bantu ibu untuk lebih duduk diam ya, dan jangan ganggu jemaah lain sedang bersolat.

Sebenarnya bukan Arif je yang tak duduk diam, Abid pun sama. Tapi Abid abah dia yang perhatikan sebab bersama jemaah lelaki.

Suka juga tengok klip video ini.






Bila bawa anak seligat dan aktif Arif ke masjid, perkara pertama yang aku takut ada yang menegur "Dah tahu anak tu tak reti duduk diam, janganlah bawa ke masjid!"

Dalam masa yang sama berdoa niat aku ikhlas nak menghidupkan malam-malam Ramadhan dan nak anak-anak tahu bezanya malam Ramadhan dengan malam-malam di bulan yang lain. Semoga jemaah lain yang ada pun faham.

Tapi kat surau sini, takde pun yang bawa anak sebaya Arif. Aduh! Kuatkah semangat aku ni? Ada tak kawan-kawan lain yang dah biasa bawa anak kecil ke masjid berterawih. Apa tips anda?


~ يوس ~

Friday, July 20, 2012

Menu hari ini : Inspirasi dari internet

Esok dah nak mula puasa, bahangya kian terasa. Bila tiba bulan Ramadhan, mood untuk memasak macam-macam mula datang. Bila setiap hari dah memasak, kadang-kadang rasa jemu juga makan dan masak benda yang hampir sama je kan. Mulalah tekak nak rasa macam-macam dan nak cuba menu-menu yang berlainan dari biasa.

Hari ini malas nak keluar beli barang. Habiskan saja apa yang ada kat rumah ni. Berinspirasikan resepi-resepi yang banyak ada dalam internet ni, inilah yang terhasil untuk makan tengahari tadi.

Aku panggil menu ni, nasi hujan panas hitam segar boleh...hihi.
Sebenarnya apa yang ada atas pinggan itu ialah nasi hujan panas, di makan bersama daging masak hitam manis dan salad sayur segar.

Resepi hasil cedok dari internetlah kan.

Nasi hujan panas dan daging masak hitam manis tu resepi datang dari sini. Untuk nasi hujan panas, aku bantai guna beras biasa je, mana nak cari basmathi dalam rumah. Kan malas nak keluar cari kan. Daging masak hitam manis tu, nasib baik semua bahan ada.

Dan salad sayur segar pula datang dari blog ini. Namun ada perubahan sendiri sebab aku bubuh mana ada yang ada di rumah saja.Takde letak kentang pun, cili pun pakai cili hijau sebab cili bangla takde, ada campur sikit minyak bijan, tomato dan black pepper....sedap!

Komen dari SRD, "Hmmm....macam ni kalau nak buat jamuan raya nanti tak payahlah suruh orang masak, atau guna katering. Bini abang masak semua sendiri lah ya!"

Saja tau dia, perli ke apa....huhuhu. Masak sikit bolehlah bang, masak banyak-banyak, kenalah ada pembantu. Kalau pembantunya si Arif tu, alamatnya tetamu semua tak dapat makan le...hihi.

Seterusnya untuk minum petang....bubur sum sum kegemaran sepanjang masa.

bubur sum sum hasil tangan aku. First time buat sendiri ni, biasa makan yang emak buat je...hihi.
Untuk bubur sum sum, tanya resepi dari emak, tapi aku saja nak ikut resepi dari internet juga. Resepi aku ikut dari blog ini. 

Komen dari SRD, "air gula manis terlebih, cer kurangkan gula tu". 

Opps, aku ikut bulat-bulat resepi tu, so, maknanya lain kali bila nak buat kena kurangkan amaun gulalah ya.

Komen Abid penggemar benda-benda manis macam ni, "Sedap ibu!!!!"

Arif pula..."nak agi!!Agi!!Agi bu!!"

Dua lagi tu, tak berapa suka sangat yang manis-manis ni...huhu. Sebenarnya tak suka nak mencuba benda baru yang mereka tak pernah makan, adeh!

Ok, untuk bubur sum sum ni memang aku suka sangat. Nanti boleh buat lagi di bulan puasa ya.

p/s: Mungkin boleh jadi inspirasi untuk menu berbuka esok atau lusa bagi kawan-kawan yang lain juga ya. Selamat berpuasa!Belum sempat BW lagi...sorry.


~ يوس ~

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Lagu Nasyid dari Rabbani




Ahlan wa sahlan, marhaban
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan
Ahlan wa sahlan, marhaban
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan

Ramadhan menjelma lagi
Menghimpun Rahmat dan Maghfirah
Bertambah keberkatannya
dengan amal ibadah
Diri tunduk keinsafan
dan rasa berdosa

Bulan kemuliaan yang dikurniakan ini
Usah biarkan berkatnya
berlalu sia-sia saja
Ia hadir bagai air bah
membasuh daki dunia

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka
seperti ketibaan orang yang kita cinta
Dengan ucapan
Ahlan Wa Sahlan Marhaban Ya Ramadhan
Hati gembira pintu terbuka
Rahmat Allah Yang maha Besar

Kita beroleh mutiara hikmah Al-Quran
Lantas dibelenggu nafsu dan syaitan
Didatangkan pula Lailatul Qadar
Pengorbanan yang dibuat balasannya syurga

Ahlan Wasahlan ya Ramadhan...

Ramadhan menjelma lagi.  Hati berkobar-kobar nak sambut Ramadhan esok. Teruja, gembira. Semoga kita semua dapat melaksanakan rukun Islam ke 3 ini dengan baik dan sempurna. Di kesempatan ini, yus ingin mengucapkan Salam Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pengunjung blog ini. Ampun dan maaf di pinta andai ada terkasar bahasa, tersalah kata moga dapat sama-sama kita memperbaiki diri sempena kedatangan Ramadhan kali ini.

Di sini juga saya ingin berkongsi satu entri dari teman blogger yang sangat menarik bagi saya. Jujur saya baru tahu aplikasi ini. Sambil-sambil baca blog, sambil-sambil tu boleh juga dengar bacaan Al-Quran yang di alunkan. Perisian ini juga membolehkan  kita membaca Al-Quran dengan mudah dari lappy kita sendiri. Boleh juga memperbaiki bacaan sendiri, mana yang tak berapa betul tu kan. Moga bermanfaat kepada semua. Entri yang saya maksudkan adalah dari blog KomenSen pakngah al-lavendari kita. Entri bertajuk ...


Jemput ke sana bagi yang tak baca lagi tu ya...

Salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa ikhlas dari saya dan keluarga...

~ يوس ~

Thursday, July 19, 2012

Percubaan pertama : Apam pisang kukus

Hari ini teringin nak makan apam. Seumur hidup aku tak pernah buat apam tau! Takut sangat tak jadi.

Google sana sini mencari resepi apam pisang yang paling mudah. Tertarik dengan resepi apam pisang dari blogger Mat Gebu ini, maka aku pun beranikan diri mencuba.

Tapi cari-cari pisang emas di kedai tak jumpa hari ini. Adanya pisang berangan je.Berangan pun berangan lah, dari angan-angan selalu jadi kenyataan kan.

Hasilnya, tak secantik mat gebu punya, tapi puashatilah untuk aku yang pertama kali buat apam pisang ni. Anak-anak pun puji sedap. Sape lagi nak kata sedap pun kalau tak anak sendiri....ekekek.

Awat merekah bawah dia ekk? Janji rasa apam....

Senang aje buatnya, kenapa lah tak pernah nak cuba sebelum ni. Ok, nanti boleh buat lagi ya anak-anak.
Puasa pun dah dekat ni, harap-harap ibu rajin nak buat kuih-muih sikit untuk juadah tambahan waktu berbuka nanti. Wish me luck kawan-kawan.....:)

Resepi apam ni aku ambil dari sini.

Untuk adunan resepi mengikut sukatan ini, ngam-ngam dapat 12 ketul je apam, sekali anak-anak ngap, tinggal 6 ketul je. "Ibu buat sikit sangat kenapa?"

Adeh! Kena buat dua adunan nampaknya....
~ يوس ~

Mari berpuasa anak-anak.....

Ramadhan bakal menjelma lagi. Beberapa hari ini, anak-anak aku memang teruja bertanya mengenai puasa.

"Ibu, lagi 4 hari kita puasa kan?", tanya Abid beberapa hari yang lalu.

"Abid nak puasa penuh tak?" tanyaku pula.

"Tahun lepas Abid puasa penuh berapa hari ibu?", dia bertanya lagi.

"Ibu tak ingatlah Abid, tapi rasa beberapa hari je kot, seminggu tak sampai." jawab ku pula.

"Ok, tahun ni Abid cuba tambah beberapa hari lagi ya ibu," janji Abid pula.

Alhamdulillah anak-anak aku rasanya mudah di latih berpuasa. Aqil berjaya puasa penuh sebulan ketika darjah 2. Alia pula, darjah 1 dah boleh puasa sebulan. Abid masih dalam proses belajar.

Dari tahun lepas poster ini sudah terlekat baik di dinding bilik Alia. Tahun ini nampaknya senanglah dia melihatnya semula walau aku tahu dia sudah ingat dan hafal niat puasa dan doa berbuka puasa itu.

Alia dapat dari majalah Ana Muslim yang selalu di belinya.
Banyak tips-tips mendidik anak berpuasa boleh kita baca di internet. Google aje banyaklah cara dan tips di kongsikan. Aku nak kongsi cara aku serba sedikit. Rakan-rakan pembaca pun mungkin boleh berkongsi sama cara anda mendidik anak berpuasa di sini. Bolehlah sama-sama kita lakukan kepada anak-anak kita kan.


  • Mula-mula kenalah ajar niat puasa dulu. Kemudian tu, cuba latih perlahan-lahan, hari pertama dapat separuh hari pun dah kira berjaya bagi anak kita. Aku ajar anak-anak berpuasa seawal usia 5 tahun. Abid 4 tahun dah mula belajar. Dapat 1 hari penuh tahun itu.
  • Terapkan kepentingan bersahur kepada anak-anak. Anak-anak kita ni cepat lapar, jadi kalau tak bersahur susahlah mereka nak berpuasa kan. Ada aku baca, mereka ajar anak bersahur waktu pagi sebelum pergi sekolah. Kira waktu sarapan tu waktu sahur bagi anak-anak. Tapi aku ikut waktu sama je dengan waktu aku. Semua kena sama-sama bersahur pagi-pagi sebelum imsak tu. Rasa pelik pulak kalau anak-anak bersahur pukul 7 kononnya sebab mereka baru nak belajar.
  • Puasa adalah rukun Islam ke tiga. Anak-anak kita ni, kat tadika lagi dah hafal rukun Islam tu. Mereka memang ingat apa yang cikgu ajar di sekolah kan. Jadi kita ingatkan balik kepada mereka, puasa ni adalah rukun Islam ketiga. Wajib di laksanakan. Mereka mudah faham. Ceritakan juga kepada mereka hikmah berpuasa, selain dari dapat pahala megajar kita untuk lebih sabar dan mendidik kita lebih bersyukur. Selalu aku ingatkan mereka, bagaimana dengan orang-orang lain yang tak punya cukup makanan, macam kanak-kanak di Afrika.
  • Masak menu juadah berbuka yang mereka suka. Ini untuk menggalakkan mereka lebih seronok berpuasa, dapatlah mereka makan apa yang mereka mahu. Sebagai ganjaran mereka berpuasa.
  • Ingatkan mereka perkara-perkara yang membatalkan puasa. Bila selalu di ingatkan, nanti mereka sendiri akan memberi ingatan antara satu sama lain. Siap gaduh-gaduh pun ada...hihi. Dan masing-masing akan memberitahu aku kalau ada yang cuba-cuba curi minum atau makan. Sebenarnya tak pernah pun mereka buat begitu, cuma kerap masuk bilik air dan mula sibuk nak mandi aje tu adalah...huhu.
  • Kalau waktu tu aku uzur, tak boleh puasa, biasanya aku tak sorok pun dari anak-anak. Aku tetap bangun sahur bersama mereka, tapi mereka dah tahu bila nampak aku tak solat kan. Jadi mereka sendiri akan kata, "hari ini ibu tak puasa ya!" Tapi aku selalu akan kata, walau ibu tak puasa hari ini, ibu kena ganti puasa bila ibu dah tak uzur nanti. Lagi seronok puasa sama-sama di bulan Ramadhan, daripada puasa sorang-sorang masa orang lain boleh makan. Mereka mudah faham, dan tak pernah sibuk pun nak ikut tak puasa sebab ibu tak puasa. Lagipun, mereka cuma tahu aku tak boleh puasa, tapi tak pernah perasan waktu bila aku ada minum atau makan pun. Kenalah sembunyikan perkara tu kan. Kesian anak tu tengah puasa, kita makan depan mereka pula. Dan bila hari aku ganti puasa, mereka sendiri kata, "Ibu puasa ganti ya? Sebab ibu ada tak puasa masa Ramadhan dulu kan." Alhamdulillah senang betul mereka faham semua tu walau Abid yang baru nak masuk 6 tahun tu.Tapi kena terangkan juga, kenapa kita tak boleh berpuasa masa tu. Suka-suka tak nak puasa, itu tak bolehlah kan.
  • "Siapa puasa, baru boleh dapat beraya dan duit raya." Itu yang selalu aku cakap pada mereka, tak puasa malulah nak pergi raya lepas tu minta duit raya. Duit raya untuk orang yang berpuasa aje, hadiah sebab mereka rajin puasa. Bukan saja dapat duit raya, dapat pahala berganda dari Allah. Allah sayang, semua pun sayang.
  • Suruh mereka rehat dan tidur selepas balik dari sekolah. Sebab kalau mereka main je, mesti penat dan mulalah sibuk nak berbuka puasa. Pulak tu bila berbuka bukan nak makan, nak minum aje sebenarnya. Haus yang lebih di bulan puasa ni kan, laparnya tak sangat pun anak-anak aku ni.
Itu antara yang ingat di kepala otak ni sekarang. Bagaimana pula dengan kawan-kawan semua. Bagaimana korang ajar anak-anak berpuasa?

Moga puasa tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan dapat kita sama-sama mengumpul pahala berganda-ganda. Masih banyak yang kurang dalam diri ini. Sifat amarah yang masih tinggi, kurang sabar kadang tu, semuanya harap dapat aku jauhi. Berazam nak solat terawih penuh tahun ni,tapi tulah bila solat terawih di rumah selalu kadang culas.Malunya.....huhu. Nak ke masjid dengan bawa anak kecil ni macam tak yakin. Takut mereka menganggu orang lain terutamanya anak seaktif Arif. Tapi bila aku baca Tips Bawa Anak Kecil Ke Masjid di sini, aku jadi teruja nak cuba tahun ni. Ada tak kawan-kawan yang boleh kongsi dengan aku, tips bagus membawa anak-anak bersama ke masjid waktu terawih. Kongsilah dengan aku ya!


Salam Ramadhan untuk semua dan selamat menjalankan ibadah puasa.

Sekian....

~ يوس ~

Wednesday, July 18, 2012

Tunjuk skill memasak nampak?

Sabtu lalu kami ke rumah mak usu di kampung. Ada kenduri dan juga di adakan bacaan yassin dan tahlil sempena nak sambut Ramadhan. Setiap tahun biasanya memang di adakan kenduri ini di rumah mak usu sebab arwah nenek dulu tinggal bersama dia. Kini walau nenek sudah tiada, majlis serupa tetap di adakan. Mungkin tak seseronok macam ketika arwah nenek masih ada, tapi kemeriahan tu tetap ada. Lebih-lebih lagi ada cucu menantu yang rajin macam ni kan...

Juadah malam itu ialah nasi ambeng. Mee goreng adalah antara lauk yang ada dalam nasi ambeng tu kan. SRD tunjuk skill masak mee goreng kawah nampak....hihi. Tukang kacau je sebenarnya....hehe
Nasi ambeng adalah juadah waktu kenduri di kampung. Tak best kalau takde nasi ambeng time kenduri. Lauk lain hari itu, ayam masak kicap, serunding, sayur lodeh kering dan ikan masin, juga mee goreng di atas. Chef utama ialah emak aku di belakang dan juga mak usu yang dah masuk ke dapur waktu ni.

Seronok sebab dapat jumpa atok ayah dan maktok kan Arif. Kemudian tu dapat makan rambutan dari kebun tok su. Tengoklah Arif tu, habis di sumbat semua sebiji rambutan tu dalam mulut, terus penuh mulut dia.
Waktu kenduri dan tahlil tak sempat nak ambil gambar pun. Sibuk benda lain. 

Apapun,gembira rasa bila lihat emak dan ayahku di sana. Alhamdulillah mereka masih sihat. Masih dapat bersama kami sekeluarga. Hari itu dapat tahu dari cerita emak, doktor kata emak dah  mula ada kencing manis. Sebelum ni darah tinggi je. Risau hati aku. Ayah pula baru baik dari demam, sebelah badan tak rasa katanya masa demam tu. Lepas berurut baru ok sikit. 

Kadang-kadang aku rasa, aku masih anak manja emak dan ayah. Aku masih perlukan mereka di belakang. Yang sentiasa memberi semangat dan kekuatan kepada aku. Tidak tahu bagaimana aku tanpa mereka. Semoga aku dapat berbakti kepada kedua ibu dan bapaku selagi hayat mereka masih ada....

p/s: terima kasih kepada semua yang mendoakan aku. Alhamdulillah mata ini dah boleh membaca dengan baik hari ini. Tiada lagi masalah kabur terlampau. Mungkin kesan ubat yang terlebih kot. Masalah aku ni cuma masalah kecil. Malu rasa hati mencoret di sini. Apalah sangat kan, berbanding masalah dan keperitan yang di alami saudari Alia Haryanie tu...



Aku masuk blog dia semalam petang. Setiap entrinya ku baca satu persatu, dan hati aku sebak. Sebak sangat sehingga menitiskan air mata. Sungguh dia seorang ibu yang tabah, cuba melawan penyakitnya di samping terus ingin melaksanakan tanggunjawabnya sebagai ibu kepada anak-anaknya. lebih-lebih lagi tanpa bantuan seorang lelaki bergelar suami. Doaku moga penyakitnya akan sembuh. Jemput sahabat-sahabat ke blog beliau dan kiranya ada yang sudi membantu meringankan beban, rasanya dalam blog beliau dekat sidebar tu ada no akaunnya dan mungkin boleh di hulurkan sumbangan ikhlas anda. Moga dapat meringankan sedikit bebannya....InsyaAllah. 

~ يوس ~

Tuesday, July 17, 2012

Kabur pandangan mata dan rendang ayam

Kadang-kadang aku terfikir, bagaimana agaknya bila nikmat melihat itu Allah tarik terus dari aku? Baru saja pandangan sedikit kabur, aku dah teraba-raba, rasa takut ada,rasa susahnya nak melakukan kerja. Syukur nikmat melihat itu masih Allah kurniakan kepada aku. Janganlah Kau tarik nikmat itu dariku Ya Allah. Sesungguhnya aku masih memerlukan nikmat penglihatan itu kerana aku tahu aku adalah hambaMu yang lemah.

Sebenarnya semalam rutin biasa check-up mata di klinik mata. Seperti biasa sebelum mata di periksa, ubat titis agar anak mata mengembang akan di beri. Hasil pemeriksaan alhamdulillah, doktor kata mataku semakin stabil selepas operation itu.

Biasanya semasa pengaruh ubat titis masih ada pandangan aku akan kabur. Namun selepas beberapa jam, penglihatan akan menjadi semakin baik. Tetapi semalam tidak tahu mengapa, penglihatan kabur itu tetap ada walau sudah beberapa jam, malah di saat aku menaip ini pun penglihatan aku tidak begitu terang seperti biasa. Penglihatan kabur itu hanya pada jarak dekat, untuk jarak jauh aku dapat melihat dengan baik walau sedikit pening. Kenapa agaknya? Tak kan aku rabun dekat pulak. Adeh! Susah rasa nak baca akhbar pun tak dapt semalam. Terkebil-kebil, malah nak baca sms pun susah. Penglihatan untuk jarak dekat terlalu kabur. Kesan ubat itu kuat sangat kah?

Hari ini nampaknya ada beransur baik. Namun masih belum begitu jelas. Kalau sampai esok sama, harus aku  berjumpa doktor semula ni. Sepatutnya next appointment 4 bulan lagi, tapi kalau macam ni, tak sampai 4 hari  kenalah di periksa. Susah rasa nak membaca...huhu. Menaip nasib baik aku ni kira ada basic menaip. Huruf-huruf di keyboard ni aku dah tahu mana duduknya walau tidak melihat dengan baik.

Maaf tak dapat rasanya berlama-lama depan lappy seperti biasa. BW pun aku tak berpeluang kerana mataku memang agak kabur untuk membaca. 

Apapun baru saja selesai masak rendang ayam tadi. Kemudian tu saja je letak rendang tu di pinggan putih. Konon-konon nak buat plating ala masterchef. Tapi takde pinggan putih 4 segilah kat dapur ni. Mana nak cari ekk pinggan macam dalam masterchef selebriti tu hahahha.


Ini rendang ayam aku hari ini....takde daun kunyit. Cari-cari daun kunyit di kedai Jue dan pasar, semua takde, guna daun limau purut sajalah. ..huhu. Beriya nak letak di pinggan kaler putih juga. Tak dapat yang 4 segi, bulat pun jadilah. Bila di hidang dalam pinggan warna putih, belum rasa dah nampak sedap kan...hihi.

Tahniah sebab Dato' Fazley menang. Kesian dia semalam kan, ulang alik antara dua dapur. Berbaloi berpenat-penat akhirnya juara juga...

p/s: kawan-kawan semua. Minta maaf belum sempat balas kunjungan. Tunggu mata aku kembali pulih macam biasa ya.....Rindu nak baca blog kawan-kawan semua....

~ يوس ~

Friday, July 13, 2012

Semuanya kerana mengkarung itu.....

Korang semua mesti kenal mengkarung kan. Spesis cicak tapi sedikit besar.  Mengkarung ni dah jadi cerita besar di rumah aku hari ini...hihi.

Semalam balik dari sekolah, Alia menjerit, " Ibu ada binatang dekat dapur tu?!"

"Binatang apa? Cicak? Tikus? Tupai?"

"Bukan! Bukan! Semua bukan!"

"Habis tu apa? Ibu tak nampak pun?"

"Ekor dia panjang, Alia takutlah ibu!"

Oleh kerana tiada orang lain yang nampak, semua terus lupa sehinggalah hari ini.

Pagi ini hujan lebat. Gelap aje rasa rumah walau waktu dah pukul 930 pagi. Terpaksa buka lampu bila ke dapur. Buka saja lampu, nampaklah satu lembaga kecik atas lantai. Duduk diam aje dia, betul-betul bawah suis lampu yang aku petik tadi.

Terkejut sekejap. Arif yang bersama aku pun terkejut. Terus dia terduduk diam di situ. Tak mahu bangun-bangun, sambil matanya memerhatikan lembaga itu. Sambil pandang, sambil mata ditutup. Duduk keras kejung dekat situ. Aku suruh bangun pun tak mahu. Aku angkat dia duduk di atas kerusi. Posisinya tetap sama macam tadi. Keras kejung aje....

Huhu, anak aku. Takut dengan mengkarung! Aku pun sama. Geli geleman sebenarnya.

Aku memang geli geleman tengok spesis ini. [image ehsan google]

Aku ketuk-ketuk meja suruh dia lari. Tak bergerak apa pun. Dalam hati aku fikir, ni mesti binatang yang Alia cerita semalam. Oleh kerana dia tak bergerak, aku sembur mengkarung tu dengan ridsect. Baru dia bergerak. Terus berlari ke ruang depan. Ku kira mengkarung itu telah masuk ke dalam bilik komputer. Cepat-cepat aku tutup bilik komputer tu. Terus aku takut nak masuk dan guna lappy hari ini....huhu.

Arif masih duduk mengeraskan diri. Aku buka baju mandikan dia pun dia diam je. Mukanya jelas nampak takut. Selepas pakaikan baju, beri botol terus diam je sambil mata tertutup. Aikkk! Tak kan nak tidur lagi? Baru bangun tidur.

Bila SRD balik makan tengahari dan nak ke masjid solat Jumaat, aku suruh dia periksa sekejap bilik komputer ni. Selak sana sini tak nampak bayang mengkarung itu pun. Anak-anak lain sibuk nak tahu sama.

Bila saja SRD dah ke pejabat semula, barulah mengkarung tu muncul. Tapi dia di ruang tamu depan. Menyorok balik sofa. Aku yang penggeli, suruh Aqil bertindak sebagai hero. Abid hanya melompat-lompat atas kerusi. Arif lagi penakut, duduk saja di ruang menonton tv kat bahagian belakang. Aku suruh dia masuk bilik tak mahu. Duduk terjelepuk kat situ diam membatu. Penakut betul rupanya dia!

Muka Arif yang diam membisu sebab takut tengok mengkarung.
Aqil memang hero kami. Dia yang mengerjakan mengkarung tu dan halau mengkarung keluar. Punyalah liat suruh keluar. Asyik berlari-lari aje bawah meja semua. Terima kasih Aqil!

Bila dah keluar tu, dia bersembunyi pula bawah kereta aku. Aku suruh Aqil ambil gambarnya. Diam aje mengkarung tu di situ.

Mengkarung kecik pun takut...kihkihkih
Kerana mengkarung itulah aku tak pegang lappy ni dari pagi.
Kerana mengkarung itulah Arif jadi sangat pendiam hari ini.
Kerana mengkarung itulah Arif asyik nak berkepit je di sisi.
Kerana mengkarung itulah, Arif tidur sampai 3 kali hari ini.
Kerana mengkarung itulah, petang-petang ni baru aku dapat up entri.
Kes takut nak masuk bilik inilah.....hihihi.

Wahai mengkarung, janganlah masuk ke rumah kami lagi ya!
Please....please....please.....hehe.

~ يوس ~

Thursday, July 12, 2012

Tuntunku kepada Mu - Maher Zain

Kusadari, engkau sanggup
Mengambil kembali karunia-Mu
Dan kucoba, selalu mengingat
Takkan sia-siakan segalanya 
Karena, suatu hari 
Semua akan tiada lagi 
Dan di akhir hayat kumohon 
Kau ridho padaku

Chorus:

Allah, Ya Allah Tuntunku ‘tuk tiba di Jannah-Mu 
Ya Allah, Ya Allah 
Jangan jauh dariku kudamba cahaya-Mu 
Bersama-Mu kuingin dekat 
Dekat dengan-Mu sepanjang usia 
Ya Allah, O Allah! 
Dampingi langkahku [Selalu]

Kusadari, kadang kulupa 
Mungkin ini nafasku yang terakhir 
Ampuni kurangnya syukurku 
Maafkan kuragu kasih-Mu 
Nanti, suatu hari 
Saat duniaku usai berakhir 
Di akhir hayat kumohon 
Kau ridho padaku

CHORUS

Hari berganti 
Kuyakin waktuku kian singkat 
Tuhanku, biarku genggam dunia ini 
Tanpa mencintainya 
Karena ku kan segera pergi 
Karena ku kan segera pergi

CHORUS [x3]

Tuntunlah aku 
Setiap langkahku



 
Maher Zain - Tuntunku Kepada Mu ( Bahasa version )
.
p/s: anak-anak sekarang sedang kemaruk lagu-lagu dari Maher Zain. Bermula bila aku beli cd album pertama Maher Zain, dan kemudian CD terbarunya pula. Ini lagu kesukaan Alia. Kalau Arif dia suka lagu Freedom, Abid pula suka lagu Barakallah dan Aqil So Soon. Aku suka lirik lagi Tuntunku Kepada Mu ini....terasa diri cukup kerdil dan mengharapkan Allah sentiasa memimpin aku kejalanNya. Ya Allah.....tuntunku tuk tiba di jannahMu! Sayu aje rasa bila dengar lagu ni....

~ يوس ~

Wednesday, July 11, 2012

Kelab Taha : Menabung untuk anak dari kecil

Lambatnya aku up entri hari ini. Biasa pagi-pagi, hari ni petang-petang pula ya.

Pagi ini ke Tabung Haji menambah tabungan untuk anak-anak. Tabungan sendiri suami dah buat potongan gaji setiap bulan jadi cuma buat kemaskini buku ajelah. Tabungan anak-anak, aku memang peruntukan sejumlah wang dari yang SRD beri setiap bulan untuk tabungan mereka. Untuk Etiqa takaful lain, untuk akaun tabung haji lain.

Bila jumlahnya dah menampakkan tanda-tanda kalau tak di simpan cepat, akan terguna pakai, maka haruslah segera di simpankan ke akaun....hihi.

mesti adil, setiap seorang ada buku. Dan bila ada buku, perlulah selalu menabung, jangan biar buku tu nampak kosong je kan!!!! Pesanan untuk diri sendiri!!! hehe.
Dah lama tertarik dengan Kelab Taha yang di tubuhkan oleh Tabung Haji, tapi tak pernah bertanya setiap kali berkunjung ke sana. Pagi ini aku teruja ingin nak tahu. Lebih-lebih lagi bila selalu juga terbaca di akhbar Kelab Taha ni ada memberi Anugerah Kecemerlangan kepada ahli-ahlinya yang berjaya dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

image di pinjam dari blog ini.

Melalui sumber www.tabunghaji.gov.my, Kelab TaHa dilancarkan pada tahun 2008 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi yang disempurnakan oleh YB Dato' Dr. Ahmad Zahid b Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Penubuhan kelab disasarkan kepada penabung muda yang berumur dari 7 hingga 17 tahun.

Makanya hanya anakku Aqil dan Alia saja yang layak memohon. Bila dah ada akaun tabung haji, senang aje nak menjadi ahli. Cuma perlu beritahu kepada petugas di kaunter, dan dia akan updatekan dalam sistem yang anak kita mahu turut serta menjadi ahli. Maklumat semua kan sama masa mula-mula mengisi borang nak buat buku akaun dulu kan. Sekarang ni, hanya perlu menunggu kad keahlian berserta no keahlian Kelab Taha yang akan di hantar ke rumah. Aku pula yang excited terlebih nak tunggu kad keahlian mereka ni, al-maklum dulu-dulu zaman kita mana ada...hehe.

Apa keistimewaan menjadi ahli Kelab Taha??
  • Kad keahlian secara percuma.
  • Potongan harga di lebih 300 rangkaian rakan Kelab TaHa di seluruh Malaysia.
  • Potongan 15% harga penginapan di mana-mana Rangkaian TAHA.
  • Layak dipertimbangkan untuk Anugerah Kecemerlangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.*
  • Penyertaan Klinik Bimbingan Peperiksaan UPSR, PMR dan SPM secara percuma.*
  • Peluang menyertai peraduan dan memenangi hadiah yang menarik.*
Sumber : tabunghaji.gov.my
Lain-lain keistimewaan boleh rujuk di sini.

Apa pula objektif penubuhan Kelab Taha ni??
  • Menanam minat menabung sejak di bangku sekolah. Menyemai rasa bangga menjadi ahli Tabung Haji di usia muda.
  • Menganjurkan program-program khas untuk manfaat tambahan kepada ahli kelab seperti Seminar Bimbingan Peperiksaan, perkhemahan ibadah dan sebagainya.
  • Mempelbagaikan program dan aktiviti untuk pendeposit muda dan membangkitkan keinginan menyahut laungan Kaabah di usia muda.

Aku percaya ramai di antara pembaca yang dah punya akaun TH kan. Suka nak ikut contoh Tips Menabung yang berkesan dari Eyriqazz.com.  Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Arif saja walau baru nak capai usia 2 tahun, tapi simpanan TH dia dah hampir 2K. 

Semoga anak-anak ibu akan sentiasa beringat untuk menabung. Dulu-dulu atok dan maktok susah, tak dapat buat simpanan untuk ibu dan abah. Dah besar, baru dapat buat simpanan sendiri, daftar haji pun lambat, kalau ikut giliran katanya 2039 baru tiba giliran kami....huhu. Berjanggut nak tunggu. Moga ada rezeki kita kan anak-anak.

Kawan-kawan yang ada anak berusia 7 tahun ke atas dan masih belum menyertai Kelab Taha ni, jomlah pakat-pakat join sama. Di samping menggalak anak-anak menabung, dapat juga menikmati keistimewaan yang di berikan. Tak rugi kan!


~ يوس ~

Tuesday, July 10, 2012

Model baju raya 2012??? : Arif

Hari ini ibu suruh saya bergaya pakai baju raya yang baru tukang jahit siapkan depan kamera telefon bimbitnya. Alahai ibu, guna kamera hp je ke? Mula-mula saya tak mahu. Malaslah nak kena pakai baju melayu pagi-pagi ni. Saya lebih suka baju tanpa lengan, senang nak bergerak, tidaklah panas.

Beberapa kali pelawaan ibu saya tolak, tapi suara ibu yang asyik menyebut, "pleaseeee Arif! pleaseeee......". Cair terus hati saya.

Saya bersetuju menjadi model baju raya 2012 untuk ibu.

Saya ni kan budak lelaki. Manalah suka nak begaya dengan baju baru semua ni kan. Umur pun baru setahun jagung, eh! akhir bulan ni saya genap 2 tahun tau! Tapi ibu punya pasal, saya turutkan. Lagipun beberapa hari ni saya dah buat ibu saya marah. Walau ibu tak pukul saya, ibu tak cubit saya, tapi dari air muka ibu dan suara ibu yang sedikit tinggi memanggil saya, saya tahu saya dah buat ibu saya gerammmm dengan saya.

Ok, sebelum saya teruskan cerita, apa kata kita lihat sikit dulu aksi-aksi saya jadi model ibu saya ni ya!

Mula-mula ibu suruh saya buat gaya sedang berdoa, saya dah buat dia suruh lagi, katanya tak berapa cantik shot yang tadi, saya malas, terbuka jelah tangan saya tu. Eh! Tak puashati juga ibu tu, dia suruh saya buat sekal lagi, tapi saya buat dunno je, tengok jari-jari sendiri lagi bagus....kan, kan...hihi.
Ok, kita sambung cerita tadi. Makcik-makcik tahu tak apa yang saya dah buat, sehingga ibu saya geram dengan saya. Jumaat lepas kan, saya patahkan bingkai cermin mata ibu saya. Masa tu ibu sedang tidur, sebenarnya dia nak tidurkan saya. Dia tepuk-tepuk saya di sebelah, tapi dia yang tertidur pula, saya ok aje. Nak main lagi adalah.

Ada can baik, nampak cermin mata ibu terletak di sebelah bantal, ibu pula tidur, saya pun apa lagi. Tiba-tiba patah pula bingkai cermin mata ibu tu. Saya tunjuk pada abang Abid, abang Abid cepat-cepat kejutkan ibu. Ibu dengan mamai, memandang saya dengan mukanya yang mencuka. Mulalah hatinya risau, sebab abah kan nak OS hampir seminggu. Bingkai cermin mata pula patah, tak boleh buat sangkut kat telinga. Tu yang dia risau tu.

Petang tu juga ibu ke kedai cermin mata tukar bingkai baru. Nak buat cermin mata baru lagi makan masa lama kan. Terbang duit ibu RM140 untuk bingkai baru. Tapi saya tahu, walau ibu sedikit marah, tapi hati ibu berbunga riang juga, dapat bingkai cermin mata baru. Warna putih lagi, kan dulu ibu kata nak bingkai putih. Saya dah makbulkan hajat ibu saya sebenarnya. Mana boleh dia marah saya. Lagi sayang adalah kan.

Erkkk! Sebelum diteruskan lagi, rehat dulu tengok gambar ya! 

Kali ini ibu suruh saya senyum. Dua gaya berlainan dengan saya tersenyum Ibu kata saya comel di sini. Alhamdulillah, gembira rasa bila ibu saya gembira.
Semalam pun kan, saya buat ibu saya geram lagi. Ibu saya kan suka mengumpul fridge magnet. Saya tahu, ramai makcik-makcik, kakak-kakak, kawan-kawan blogger ibu saya ni pun suka kumpul FM juga kan. Sejak saya makin aktif ni, saya selalu jatuhkan FM ibu saya. Apa lagi pecah le. Semalam saya pecahkan 3 lagi FM kesayangan ibu saya. Satu dari Brudges, satu dari Genting Higlands dan satu lagi dari Amsterdam.  Menyinga ibu saya sekejap. 

Tapi saya tahu, ibu lebih sayangkan saya dari FM-FM dia tu. Marahnya tak lama pun, bila dia marah, dia cuma diam sambil memandang saya dengan wajah geram. Kesian ibu. Tulah tak sampai hati nak tolak permintaan ibu suruh saya bergaya sekejap dengan baju raya tahun ni yang baru saja siap ni.

Ini pula ibu suruh buat gaya duduk. Tapi saya tak mahu duduk, saya buat gaya macam ni pun oklah kan. Ibu suruh saya cekak pinggang, tapi saya pergi pegang ketiak....haha. Bila buat gaya duduk ala pahlawan, saya tak pandang kamera pulak. Sabar aje ibu dengan saya, tapi dia tetap nak ambil gambar saya.
Nak tahu tak? Ada satu lagi perkara saya buat ibu saya diam semalam. Diam tak tengok dan pandang saya tu, maksudnya ibu saya marahlah tu. Tahu apa saya buat? Semalam saya bermain dengan speaker dvd home theatre abah saya. Saya ni lasak juga. Sampai tercabut wayar speaker tu, terus tv tu jadi senyap takde suara. Bila dah tercabut, saya buat-buat diam je letak balik speaker tu di tempatnya. Bila ibu datang dari dapur, dia pelik kenapa tv senyap. Dan bila dia dapat tahu, terus terjegil matanya tengok saya. Saya pun buatlah muka manja kan.

Kata ibu, " Ni siapa buat ni?"

"Ayippp!", itu jawapan standard saya. 

Tapi saya tahu, jawapan saya tu selalu buat ibu tak jadi marah. Menggelabah juga ibu cuba betulkan semula. Maklumlah ibu bukan faham sangat pasal gadget abah ni. Ibu selongkar sana sini cari manual dia semula. Nasib baik jumpa. Dekat 1/2 jam baru ibu berjaya betulkan semula. Alhamdulillah, takdelah ibu marah saya lama...hehe.

Hari-hari kalau tak kacau ibu saya tak sah! Tak seronok rasanya. Mesti nak dengar suara ibu tanya, "Ni siapa buat ni?" Bolehlah saya jawab macam biasa, "Ayippppp!"

Panjang pula saya bercerita. Nak tengok gambar akhir saya bergaya dengan baju raya 2012 ni tak?

Pose istimewa untuk ibu saya. Saya sayang ibu saya! Saya tahu, ibu pun sayang saya kan ibu!!!
Bila tengok gambar-gambar ni, baru tersedar saya dah besar juga rupanya. Teringat pula ibu suruh saya bergaya macam ni juga tahun lepas. Masa baju raya 2011 baru di beli. Tapi masa tu, saya tak berapa pandai posing lagi. Muka terlalu innocent masa tu kan. Sekarang ada macho sikit tak?

Ini saya setahun yang lalu. Baju lawa sikit masa ni sebab bergosok...kihkihkih.
p/s: ibu saya ni  memang over tau! Puasa pun belum, bulan Syaaban masih berbaki, baju raya semua dah siap. Pulak tu suruh saya bergaya tanpa baju tu bergosok, tak best betullah ibu ni. Lain kali ibu gosok baju tu dulu ya, barulah nampak lagi hencem saya ni.....
Saya yang menurut perintah:

            Ayipp

~ يوس ~

Monday, July 09, 2012

Grading taekwondo: dari gred 8 nak bertukar ke gred 7

Ahad semalam, kami 5 beranak ke SKPR untuk acara grading taekwondo Aqil dan Alia. Kali ke dua mereka grading tahun ini. Grading pertama hari tu di sini.

Kali ini mereka terlibat dalam grading pelajar gred 8 untuk ke gred 7. Kalau lulus dan berjaya, tali pinggang masih tetap warna sama, cuma dah up sikitlah, kuning 1 jadi kuning 2.

Aku perhatikan anak-anak aku ni, takde sibuk takut atau gabra macam aku dulu-dulu bila ada sesuatu acara atau perkara yang berlaku macam ni. Semua relax je. Nak ambil ujian pun relax je. Bagus kot untuk mereka, sebab anak jiran sebelah siap tanya dia. "Aqil, Alia nko tak takut ke nak grading ni nanti?"

Jawapan mereka, "takde pun!". Over confident je mereka ni tau!

Sekitar gambar-gambar semasa di sana. Tak dapat nak ambil dari jarak dekat, sebab ada Arif yang over aktif. Kali ni kan aku pergi dengan anak-anak je. SRD tiada untuk meneman kerana ada urusan kerja.

gambar kiri sedang menunggu giliran mereka untuk di panggil ke hadapan, gambar kanan, aksi Aqil semasa membuat persembahan.

Aksi-aksi mereka semasa menunjukkan skill depan master. Alia dan Aqil dalam bulatan merah tu untuk gambar paling kiri, gambar kanan, kecik lah malas nak bulatkan...hihi.

Selesai sudah sessi ujian, terus jumpa ibu, Abid dan Arif fi tempat duduk ibubapa. Muka masing-masing toya je...hihi.

Moga lulus dan berjaya naik gred ya anak-anak ibu. Ibu tengok semua memang berkeyakinan dan nampak bersemangat semasa melakukan ujian tu. Tahniah!

Bulan November nanti ada majlis grading lagi. Harap nama anak-anak ibu akan terpilih sekali lagi. Cepat sikit bertukar warna tali pinggang kan.

Buat abah, kami dah lakukan yang terbaik, InsyaAllah kami pasti lulus!
~يوس ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...