Monday, February 28, 2011

Arif; 7 bulan dah makan durian!

Hari ini 28hb, semalam 27hb. Baru perasan semalam Arif dah genap 7 bulan. Aku asyik ingat dia 6 bulan lagi.

Baru 7 bulan Arif dah makan durian. Suka pulak tu dia makan durian. Bukan aku yang beri tau. Emak aku yang beri.

Tengok tu dia. Suka sangat dapat rasa durian tu. Arif makan durian dari tangan maktok nya.
Aku mula dah risau juga. Takut perut dia meragam ke, panas ke. Sampai 3 ulas dia makan tau. Itu pun masih mengejar nak lagi.

gambar recycle...:D

Ini Jumaat lepas lah ni, balik dari hospital tu, SRD beli durian. Semua dok makan durian, Arif pun nak sekali. Emak aku pula terus suapkan dia. Muka tersenyum simpul dapat makan buah durian.

Alhamdulillah, dia tak meragam. Hari itu memang dia makan banyak. Dari pagi sampai 4 kali makan nasi yang di blend tu. Ciku pun dia makan, durian lagi. Anak ibu sorang ni kuat makan rupanya..hehe. Ni semua sebab tak dapat susu ibu dari pagilah ni ye. Kesian anak ibu kena tinggal hari itu kan.

Oh Ya! Misi aku untuk memberi Arif susu melalui botol semakin berjaya. Dah kurang sikit susahnya. Pujuk-pujuk sikit dah berjaya. Tapi kan rasa geram dah tak sabar aku di buatnya. Tak sabar nak pam/perah susu ke dalam bekas dan simpan. Lepa tu bila dia nak susu, beri pada dia melalui botol. Kan senang beri terus je. Adohai! Kalau ikutkan hati ibu ni Arif, memang malas betul ibu nak pam susu tau!.

Anak dah depan mata, tapi masih perlu perah susu sendiri untuk di beri pada anak...huhu. (Sabar Yus, ini untuk kebaikkan Arif juga, masa kamu di hospital nanti). Erkk..siapalah yang nasihat tu ye...hihi

p/s: Hari ni dah lah puasa, rasa susu ni macam kurang je ...huhu.

~ يوس ~

Bayar saman trafik! Hari ini hari akhir ada diskaun.

Salam tengahari Isnin,

Hari ini bermulalah rutin baru anak-anak aku. Semua dah mula naik van sekolah. Senang sikit kerja aku. Tapi kena keluar duit bayar tambang van sekolah lah pulak kan....

Ok, itu selingan saja. Cerita aku sebenarnya, pasal saman trafik. Semua pun tahu hari ini hari akhir bayar saman kan. Mulai esok, dah takde diskaun lagi dan mungkin nama kita di senarai hitamkan.

Aku ni, sebelum ni buat tak tahu saja. Memang dah pernah check ada dua saman, tapi sebab bukan aku yang buat kesalahan tu, adik aku yang guna kereta tu yang buat kesalahan kan., jadi perasaan nak bayar saman tu takde. Sudah terang lagi bersuluh, peristiwa berlaku masa aku tiada di Malaysia. 

Tapi, kerana takut nama di senarai hitam, makanya periksa sekali lagi nama di MyEg. Aku dan SRD antara orang akhir bayar saman lah ni. Tapi bukan hari ini tau kami bayar. Sabtu lepas. ( Eleh, awal dua hari je...hihi)

Bila check nama di MyEg, sah ada dua saman. SRD pun sama ada dua saman. Saman aku dari RM150 dapat kurang jadi RM60. SRD pula dari RM300 tinggal RM140. Oh! Harus bayar ni supaya tiada masalah timbul di kemudian hari. Diskaun banyak juga tu kan.

Resit saman sudah di bayar dari MyEG
Senang dan mudah je bayar saman kat MyEg rupanya. Tak perlu susah-susah beratur. Cumanya kenalah berurusan di waktu yang betul. Supaya transaksi berjalan lancar dan cepat. Macam aku hari tu, buat waktu hampir maghrib. Orang tak ramai guna waktu tu kot. Senang dan lancar sahaja.

Makanya kami dah bayar saman trafik kami. Anda semua bagaimana?
~ يوس ~

Sunday, February 27, 2011

Arif mula nak menyusu botol dan Dadih Coklat

Salam tengahari sahabat blogger,

Terima kasih tak terhingga atas sokongan dari anda semua. Aku tak menyangka ramai yang memberi kata semangat dan dorongan. Sesungguhnya masalah aku ni tiadalah besar sangat kan. Aku bukan nak minta simpati, cuma seperti aku kata, aku suka meluahkan. Bila aku cerita, rasa beban tu ringan dan aku dapat buat kerja-kerja lain dengan selesa.

Kata-kata nasihat dan semangat dari semua, buat aku lebih yakin. Sokongan padu pastinya aku terima dari SRD. Dia yang banyak membantu aku dari belakang. Aku antara insan bertuah yang dapat suami memahami dan banyak membantu. Syukur padamu Ya Allah.

Apa aku nak cerita sebenarnya ni. Sebenarnya saja nak heboh SRD buat dadih coklat. Aku sendiri tak pernah buat, tapi dia buat. Memanglah buatnya mudah, dari serbuk dadih dalam paket yang banyak jual kat supermarket tu kan.  (Mesti ramai yang dah biasa buat ye tak?)Tapi ni ceritanya, SRD yang buat. Dia yang beli serbuk dadih tu, dia yang sibuk di dapur bancuh semua tu dan sejukkan di peti sejuk.

Serbuk dadih buah-buahan yang SRD gunakan untuk buat dadih.

Anak-anak semua terkejut ada dadih coklat kesukaan mereka di dalam peti sejuk. Banyak pula tu. Selalu kalau beli satu tu singgit kan. Dapatlah 3 aje, ni banyak dapat. Puas makan. Itu pun baru bancuh separuh.

Rupa dadih coklat hasil tangan SRD
Sikit pun dia tak minta aku tolong. Kalau selalu banyak tanyanya. Kali ini, tahu-tahu dah tersedia. Siapa tak sayang suami kan. Lebih-lebih lagi suami yang rajin ke dapur dan selalu manjakan isteri macam ni...ahaks.

Terima kasih bang. Abang memang banyak bantu ibu. Terima kasih atas sokongan abang.

Hari ini juga, Arif ada menunjukkan perkembangan positif. Dia sudah mula hendak menyusu dari botol. Tapi kena ada caranya. Harus pandai pujuk, sambil nyanyikan lagu, baru dia hisap botol tu. Kalau tidak kena caranya, dia masih meronta-ronta. 

Tapi kan, bila dia dah mula hisap botol tu, aku pula yang sedih. Sedih tak dapat teruskan azam aku nak beri bf direct sepenuhnya. Sekarang pun dah mula campur dengan susu formula sebab takut bekalan tak cukup selama aku di hospital nanti. Sedih tau! :(

Apa pun perkembangan ini buat hati aku lega sedikit. Berkat doa dari semua juga. Ya, aku memang semakin positif. Cuma biasalah aku ni kecut perut bila jumpa doktor...hehe :D.

p/s; Minta maaf ye tak balas komen seperti selalu. Aku nak kurangkan masa di depan pc, tapi hati ni meluap-luap nak menulis juga di sini. Ada masa aku melawat juga beberapa blog kengkawan, tapi tak sebanyak selalu. Harap dapat megerti. Luv u guys....:x.
~ يوس ~

Saturday, February 26, 2011

Catatan ke 4 : Retinal detachement

Salam buat blogku yang aku kasihi,

Baru hari ini berkesempatan mencoret sesuatu. Semalam satu hari agak sibuk. Seawal 6.30 pagi sudah bertolak ke JB untuk temujanji bersama Dr di Hospital Sultanah Aminah. Aku ingatkan dapat sampai awal, tapi rupanya jalan jem teruk.

Sampai di hospital sudah pukul 9.50 pagi. Aku lewat 1 jam. Ke klinik mata di sana, buat pendaftaran dulu, beri surat rujukan dari hospital BP, dan bermulalah sessi menunggu aku. Aku ke sana bersama SRD. Semua anak-anak aku titipkan bersama emak dan ayah untuk mereka menguruskannya.

Setelah nama di panggil, bermula proses yang hampir serupa seperti di Batu Pahat. Dr Siow yang melihat mata aku. Dia cuba nak lihat bahagian retina aku yang koyak tu. Mula-mula dia tak perasan, kemudiannya baru dia nampak. Ada 3 bahagian yang koyak. Tapi dia kata dengan aku, saraf mata puan ada yang tanggal. Huh! Aku kecut perut ok.

Kemudian dia bawa aku jumpa seorang lagi doktor yang lebih pakar. Rasanya doktor ni pegawai atasan dia. Dengan doktor yg satu lagi ni, dia bincangkan tarikh paling cepat untuk mata aku di bedah. Perlu di bedah segera kata doktor. Dia bising juga kenapa baru sekarang aku perasan dengan masalah mata aku ni. Doktor pakar itu kemudiannya memberi dua tarikh untuk Dr Siow lihat selepas dia memeriksa bahagian mata aku yang bermasalah itu. Sama ada 22 Mac atau 29 Mac. Tarikh itu rasanya pegawai atasan dia tu free.

Kembali semula ke bilik Dr Siow, kata dia ulang balik apa yg doktor satu lagi beritahu aku tadi. Ada lubang pada retina mata aku. So, dia dah semak tarikh yang paling dekat dan ada kosong untuk mata aku di bedah ialah 22 Mac. Namun begitu aku harus datang pada 16 Mac untuk buat pemeriksaan lagi. Dia berikan satu surat untuk aku ke hospital BP lagi bagi membuat ujian darah, jantung dan lain-lain untuk lihat tahap kesihatan aku sebelum aku datang lagi ke JB 16 haribulan.

Begitulah kiranya serba ringkas. Sekarang apa yang merisaukan aku ialah Arif. Bagaimana dengan Arif nanti bila aku di bedah. Anak-anak yang lain SRD dah uruskan van sekolah untuk urusan pulang pergi ke sekolah. Tetapi Arif????? Dia menyusu badan sepenuhnya. Direct feeding. Tak pernah menyusu menggunakan botol.

Sepeninggalan aku ke JB semalam, emak cuba beri susu formula dan juga susu yang aku sudah perah untuk dia. Kedua-duanya dia tak nak. Dia tak mahu menyusu menggunakan botol. Hari ini pun sudah berulang kali aku cuba beri botol pada dia. Tapi dia tetap menolak. Sedih sangat tengok rupa dia. Melalak sakan. Menangis sampai nak terkeluar anak tekak. Akhirnya aku mengalah, beri juga dia direct breast feed.

Siapa ada idea bantu aku. Sekurang-kurangnya 5 hari 5 malam aku akan di tahan wad nanti untuk pembedahan itu. Sehari sebelum pembedahan dan 2-3 hari selepas pembedahan. Sudahlah di JB. Kalau di BP, bolehlah aku suruh SRD datang bersama emak setiap kali waktu melawat untuk aku bf Arif. Macam mana ye?

Aku menangis tadi. Menangis bila tengok Arif menangis. Tak tahan rasa memaksa dia menyusu dengan botol sedangkan dia tak mahu. Kalau aku beri susu formula lagilah dia menolak, ini aku beri EBM aku sediri pun dia tolak. Bagaimana ye?

Risau nanti di bedah, risau juga anak-anak di rumah. Sudahlah begitu. Bila aku tanya doktor apa kesan dari pembedahan? Boleh pulih 100% tak? Dia kata, dia tak boleh janji, sebab ada orang akan terus pulih, ada orang mungkin masih kabur pada tahap yang sama, atau lebih teruk pun ada. Bagaimana tu? Doktor pun cakap macam tu. Apa pun kita usahalah, sebab kalau tak bedah, takut berjangkit pada yang sebelah lagi. Langsung tak boleh melihat aku nanti.

Penglihatan aku makin kabur aku rasakan. Tengok pc pun tak boleh lama. Niat aku hanya nak menulis di sini. Jalan2 BW tunggu mata aku pulih sepenuhnya ye. Harap semua faham.

Oklah. Aku nak cuba latih Arif menyusu dengan botol lagi. Kalau tidak susahlah emak aku nanti. Kesiannya Arif....

~ يوس ~

Thursday, February 24, 2011

Kek Lapis Oreo Kukus permintaan dari Aqil

Salam tengahari Khamis.

Semalam memang penat rasanya. Tak dapat aku buat kek lapis oreo kukus permintaan Aqil tu. Pagi tadi, dia cakap dengan aku. " Ibu tu kata nak  buat kek oreo untuk Aqil, tak buat pun?"

Aduh! Sedih rasa hati anak cakap begitu. Bukan ibu tak nak buat sayang, ibu bz semalam..huhu.

Makanya pagi ini aku gagahkan diri buat juga. Lama juga prosesnya. Akhirnya menjadi juga kek lapis oreo kukus aku, walaupun lapisannya tidak begitu ketara.

Lapisan kuning dan hijaunya tak berapa jadi kan. Aku baru pertama kali buat kek ni, makanya tak pandai nak bagi adunan tu sama banyak antara dua warna.

Kek lapis oreo aku masih dalam loyang
Resepi aku ambil dari Album @ Suke-Suke Masak ni. Boleh terjah sana kalau nak cuba juga ye.

Hari ini balik dari sekolah, tengok kek sudah tersedia, Aqil sampai tak nak makan nasi. Makan kek tu saja. Malas aku nak paksa dia makan nasi kalau dah dia tak nak kan. 

Aku takde warna oren di rumah. Guna warna kuning, macam tak menarik je gabungan warna ni . Lain kali aku nak cuba gabung dua warna yang lainlah..hehe. Rasa boleh tahan sedap. Gebu.

Buat Aqil, SELAMAT HARI JADI SAYANG!

Walaupun kek ini lewat sehari ibu buat, ketahuilah ibu sayang semua anak-nak ibu. Kalau tak kerana perkara semalam, pasti ibu dah buat awal. Jangan terasa hati ye!

SAYANG AQIL!

~ يوس ~

Wednesday, February 23, 2011

Catatan seterusnya : Retinal Detachement

Nasib baik sempat juga buat entri umumkan pemenang pagi tadi. Kalau tidak, memang sekaranglah masa terawal dapat menulis di sini.

Catatan hari ini :-

Keluar dari rumah 8.45pagi, terus ke PKU, jumpa Dr Saidatun. Tunjukkan surat yang aku dapat dari Klinik Pakar Mata Masran & Tg Kamal tu. Tujuan aku kesana atas saranan SRD, nak dapatkan surat rujukan dari Uni sendiri supaya lebih mudah SRD gunakan GL nya untuk aku. Kalau surat rujukan di bawa dari klinik swasta, tapi nak buat di gov, mungkin lain cara mereka mengendalikannya.

Dr Saidatun melihat dengan teliti, dia telefon kenalan baikknya di Hospital BP yang juga seorang doktor mata. Kes aku di rujukkan ke Hospital BP. Dia buatkan surat dengan letter head PKU, dan suruh aku ke hospital pula untuk tindakan lanjut. Kes aku mungkin boleh di cepatkan, berbanding nak tunggu berbulan-bulan.

Sampai hospital dalam pukul 11.20, buat pendaftaran, pukul 12 di panggil untuk buat ujian melihat lagi. Dr Zakiah, sebelum tu telah membaca laporan dari Dr Saidatun dan Dr Tg Kamal. Dia buat ujian melihat sekali lagi, kali ni lebih terperinci. Di tutup mata kanan aku, dan suruh aku berjalan guna mata kiri saja. Bengkang-bengkok aku jalan, sambil kena cuba baca apa huruf di depan. Langsung aku tak nampak weh!

Sekali lagi mata aku dititik kan dengan ubat, kali ini kiri dan kanan. Selepas itu aku di suruh tunggu di luar untuk anak mata aku mengembang kata dia. Masa tu dah masa untuk ambil Aqil dari sekolah. Oh Ya! Lupa pulak, tadi sebelum ke hospital, kami ambil Abid dulu di tadikanya. Terpaksalah dia habiskan kelasnya awal. SRD yang bawa aku ke hospital ye kawan-kawan. Makanya, kerana sudah hampir masa Aqil keluar kelas, SRD bawa semua anak-anak termasuk Arif pulang dulu. Aku tunggu lagi sehingga anak mata mengembang kata doktor..huhu.

Selepas lebih kurang 1 jam baru aku di panggil semula. Di periksa mata aku kiri dan kanan. Koyak pada retina mata kiri aku ada tiga kata doktor. Memang sudah agak besar, dan hampir kepada tempat sensisitif. Kes aku kira urgent juga. Kemudian dia periksa mata kanan pula. Mata kanan ni lagi lama dia periksa. Aku dah risau, sebab aku ingat mata kanan pun ada masalah. Dia letakkan jeli dalam mata kanan aku. Masa tu nampak semua warna ungu.

Dengan menggunakan kanta pembesar untuk mata, di masukkan ke dalam bebola mata, di putar-putar dalam bola mata aku tu. Entah apa lah yang dia lihat. Aku di suruh lihat kiri, kanan, atas, bawah berselang seli. Akhirnya dia kata, alhamdulillah belum berjangkit pada mata kanan. Dia risau kalau mata kanan pun sudah mula terkoyak lapisan retina tu. Kalau dapat kesan dari awal, hanya perlu guna ubat dah boleh pulih, tak perlulah di bedah macam mata kiri aku.

Selepas itu, dia suruh aku pilih, masih nak ke hospital Melaka atau Johor. Kali ini aku tak perlu buat temujanji sendiri, dia sendiri akan buat temujanji untuk aku ke hospital yang aku pilih. Lebih cepat kata dia, dan tindakan pun akan lebih cepat di buat. Kali ini aku pilih hospital JB kerana aku fikir lebih senang kalau emak dan ayah datang sini jaga anak-anak aku, dari aku yg ke Melaka. Tak perlu lah anak-anak ponteng sekolah. Ayah pun sudah bersetuju untuk datang, cumanya tak boleh lama, pesan dari ayah. Ayah akan tinggalkan emak nanti.

Makanya aku di rujuk ke hospital Tun Aminah Johor. Dr Zakiah telah uruskan temujanji aku di sana hari Jumaat ini pukul 9 pagi untuk berjumpa dengan Dr Gan. Beriya aku tanya, "saya akan di bedah Jumaat ini ke doktor?". Takut aku weh! Nasib baik jawapannya tidak.

Dr kata, Dr Gan perlu buat pemeriksaan lagi, sebab dia yang nak bedah aku dan bukannya Dr Zakiah. So, Dr di JB tu perlu tahulah kondisi mata aku dari hasil pemeriksaan dia sendiri. Kemudian aku di suruh tunggu lagi. Kali ini cermin mata aku di ambil untuk dia mengetahui power spec aku tu.

Aku tanya juga, kenapa aku boleh kena penyakit ini. Aku masih tak berapa faham penerangan dia. Kata Dr, biasanya orang yang rabun jauh memang berisiko dapat retinal detachement, tapi biasanya kalau power tinggi. Power aku dalam dua ratus lebih saja. Kadang-kadang, memang kita tak tahu puncanya, tapi mungkin juga berpunca dari power spec yang tak betul dengan kerabunan mata sebenar. Jadi bila kita pakai kaca mata yang power di beri tidak menepati pada kerabunan mata kita sebenar, itu juga boleh menjadi punca.

Aduhai! Lepas ni aku tak mahu suka-suka beli cermin mata baru kat mana-mana kedai sebelum buat pemeriksaan mata dari doktor mata. Serius, takut aku.

Selesai semua dah pukul 2.45 petang. Dari keluar rumah pagi tadi, aku cuma makan roti sekeping saja. Lapar sunggub perut aku. SRD , Abid dan Arif pun dah sampai selepas menghantar Aqil dan Alia ke sekolah agama. Makanya selepas itu, dia bawa aku pergi makan dulu. Masa tu mata aku masih kelam. Even sekarang pun tak berapa jelas penglihatan aku, tapi aku masih kuat hati nak update di sini kan.

Bukan apa, aku takut sebenarnya, selepas pembedahan di buat, aku tak berupaya tulis apa-apa di sini untuk jangka masa lama. Doktor dah kata, lepas pembedahan, aku tak boleh memandu, atau apa jua yang boleh membahayakan aku. Penglihatan aku masa tu perlu di jaga dengan teliti. Aku masih perlu berulang-alik ke hospital JB untuk pemeriksaan sususlan.

Macam -macam aku fikir. Tak dapatlah aku jadi driver anak-anak ke sekolah buat satu jangka masa lama selepas ni. Kenalah usahakan mereka naik van sekolah selepas ni.

Banyaknya aku membebel hari ini kan. Aku memang akan rasa lega meluahkan. Terima kasih tak terhingga pada yang sudi membacanya sampai habis. Aku mungkin tak dapat rajin BW macam selalu, harap masih ada yang sudi singgah blog aku...huhuhu.

Hari ini hari jadi Aqil, tapi aku masih belum sempat buat kek kukus oreo yang dia minta. Sampai rumah pun dah hampir pukul 4 tadi. Penat!!. Nasib juga Arif tak meragam.

Apa pun Aqil sangat gembira kerana semalam aku sempat siapkan goody bags untuk kawan-kawannya. Balik sekolah agama saja tadi, terus happy jemput kawan-kawannya dan makan apa yang ada dalam goody bag itu. 

Aku masih ada hati nak buat kek kukus oreo tu, tapi letihlah pulak. Mata pun kelam je...huhu. Nanti takut jadi mcm kek kukus oren tu pulak. Tapi kan, aku dapat hadiah mixer baru dari SRD. Mixer aku kan rosak kerana kek kukus oren tu. Sayang abang tau!!

Oklah, masa untuk aku siapkan apa yang patut.

~ يوس ~

Senarai peserta dan pengumuman pemenang 1 Day Lucky Draw for you!

Sempena hari jadi anak aku Aqil hari ini, seperti yang di janjikan, cabutan bertuah untuk peserta 1 Day Lucky Draw aku, telah di jalankan.

Sebelum itu, aku senaraikan di sini nama peserta yang mengambil bahagian:

  1. Mrs Eady
  2. sarah-najwan
  3. Kak Sam
  4. Noremy bt Rahmat
  5. deeja
  6. qemaishak
  7. NM02
  8. Cik Jue
  9. Ina Hashim
  10. Ermayana
  11. ainnoraini
  12. Umie
  13. Mulan
  14. Nadiah Sidek
  15. Mrs Zura
  16. Misz Sephia
  17. Hanis Azla
  18. Cheqna
  19. Cma Shiema
  20. Kak Erna
  21. mummiey
  22. Yati
  23. HappyIrfa
  24. Suri Solehah
  25. Asmara
  26. ~Asha~
  27. Wahida
  28. ieda
  29. MaMa Cyda
  30. Ajzie
  31. Nieza
  32. sayangsayangibu
  33. zino
  34. ~AiM@rHaReEq~   
Mula-mula aku kira ada 35 peserta. Aku teruja sebab ianya sempena hari jadi aku yang ke 35 kan, tapi rupanya 34 peserta saja, sebab Cma ada letak komen 2 kali. So, yang kedua tu tak kiralah, sebab orang yang sama kan. Deeja pun ada tinggal komen 2 kali, makanya aku tak ambil kira. Yang lain yang tinggalkan komen selepas 21 Feb 11.59pm pun aku tak masukkan dalam kotak lucky draw ye.

Ok, pemenang akan di umumkan oleh anak aku dalam video di bawah. Cabutan di buat pagi tadi sebelum Aqil ke sekolah.


video

Ok. Dah tahu pemenangnya kan. Pemenang bertuah itu ialah Kak Sam

Kepada Kak Sam, harap dapat email saya di maz_naz06@yahoo.co.uk . Sila berikan nama penuh dan no akaun Maybank Kak Sam untuk saya bank-in kan hadiah. 

Tahniah kepada pemenang. Kepada yang lain juga terima kasih atas doa dan ucapan dari anda semua. Aku benar-benar terharu dan menghargainya.

Pagi ini aku ada temujanji di PKU mengenai mata aku yang ada retinal detachement problem tu. Berdebar nak jumpa doktor lagi ni...huhu


~ يوس ~

Tuesday, February 22, 2011

Langkah seterusnya....apabila aku dapat tahu aku ada retinal detachement

Ok, aku dah ok sikit. Terima Kasih kepada semua yang memberi kata semangat. Really appreciate it. 

Bila hati dah jauh dari gundah gulana dan rasa sedih tu, makanya aku pun ambil langkah pertama untuk tindakan seterusnya hari ini.

Ini adalah untuk catatan aku sendiri, apabila aku tahu aku dapat penyakit ini. Harap anda tak bosan. Kalau tak mahu baca tak apa, tapi mana tahu, satu hari nanti ada yang mendapat penyakit serupa macam aku, dapatlah di ambil panduan kan.

Semalam klinik pakar mata Masran dan Tg Kamal kan dah beri aku surat rujukan untuk di bawa ke hospital Melaka. Makanya tadi aku cari-cari laman web hospital Melaka, untuk dapatkan no contact. Bolehlah aku telefon dulu tanya apa yang patut sebelum terjah saja kan.

Dapat no yang di cari, terus aku call. Aku minta di sambungkan ke Eye Clinic Hospital Melaka. Aku pun menjelaskan serba sedikit, dan kemudian aku tanya kalau-kalau aku boleh ke sana hari Sabtu atau Ahad. Saja tanya soalan bodoh kan, mestilah jawapannya mereka tak bukak..huhu. Perbualan aku dengan receptiont Eye Clinic Hospital Melaka tu lebih kurang macam ni ye, (Aku malas nak tulis semua)

Kalau saya pergi Sabtu atau Ahad tak boleh ke?

Mana boleh dik, tak bolehlah kami nak pergi dating nanti. (apakah???, jawapan buat aku tergelak ok!)

Ok, lah kalau saya datang Jumaat ni, boleh terus jumpa doktor ke? Saya dari Senggarang ni. Jauh juga nak ke sana.

Ada kes apa ni dik?

Saya ada retina problem, perlu di rujuk ke sana untuk buat Vitreoretinal Surgery. 

Oh! Adik boleh datang dulu bawa surat rujukan tu. Kami akan tengok macam mana. Tapi rasanya sekarang memang takde kosong dik, mungkin bulan 8 baru boleh buat?

Ha! Bulan 8? Lama tu? Tak boleh jumpa je doktor dulu bincang. Kena buat appointment ke?

Boleh. Datang dan kita lihat macam mana. Kalau kes adik teruk, paling cepat within 1 month dah boleh proceed untuk bedah. Tapi nak cepat dari tu susah sikit biasanya.Kalau kes biasa saja, memang bulan 8 saja yang kosong lagi...

Oklah, saya datang Jumaat, InsyaAllah.

Begitulah kiranya perbualan aku tadi serba sedikit. Huh! Kalau bulan 8 baru boleh operate, lamanya kan! 

Terus telefon SRD beritahu maklumat terkini. SRD pula kata dia dah bincang dengan beberapa rakannya. SRD kata boleh rujuk dengan PKU (Pusat Kesihatan Universiti )dulu. Nanti dia akan tanya pendaftar. Sebab kalau surat rujukan yg di bawa adalah dari pihak uni dan bukan dari perseorangan, mungkin tak perlu bayar mahal atau cepat sedikit prosesnya. Wallahu alam.

Petang ni, kalau jadi, mungkin perlu ke PKU pula.

~ يوس ~

Aku hampir dapat hadiah cermin mata baru, tapi masalah lain muncul. Retinal detachment?? Takutnya!

Salam pagi Selasa kawan-kawan....

Terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang tinggalkan komen pada entri semalam, sekaligus menjadi peserta 1 Day Lucky Draw aku. Ada dua komen yang di tinggalkan selepas pukul 11.59 21 Feb, makanya kerana mengikut syarat yang aku tetapkan, dan berlaku adil kepada yang lain, dua yang terakhir tu, tak dapatlah turut serta dalam cabutan.

Minta maaf banyak2 kepada Kak Anie dan Kamalia. Namun begitu aku sangat menghargainya, selepas ni kalau ada yang tinggalkan komen di situ pun, aku masih menghargainya. Cuma tak dapat ikut lucky draw itu saja. Semua yang beri wish birthday pada aku , buat aku lupa sekejap dengan masalah baru yang timbul semalam.

Wishlist pertama aku semalam, nak cermin mata baru dengan bingkai merah atau pink kan. Aku hampir-hampir mendapatkannya daripada SRD. Sampai di kedai membuat cermin mata, seperti biasa aku dah pilih bingkainya. Belum muktamad dengan keputusan aku, tukang kedai suruh aku buat test mata dulu. 

Bila ujian di buat, sebelum masuk ke bilik gelap, tukar-tukar lens macam selalu tu, dia kata, aku sebenarnya ada masalah dengan mata kiri. Mungkin problem katarak atau apa, dia tak pasti. Dia sarankan aku ke klinik pakar mata terlebih dulu buat check-up dan dapatkan power spec dari sana terus sebelum datang ke kedai semula untuk buat cermin mata. Cara itu lebih selamat dan kita akan dapat power lens yang lebih tepat untuk mata kita.

Makanya aku, SRD dan Arif pun ke klinik pakar mata .

Klinik Pakar Mata Masran & TG Kamal
Kami ke klinik di atas atas cadangan kedai cermin mata Nusantara di Parit Raja. Sampai sana hati berdebar juga. Bila sampai giliran untuk ujian mata yang biasa tu, aku di dapati tidak boleh membaca atau nampak sedikit pun huruf2 di depan yang di tunjukkan pada aku apabila mata kanan aku di tutup. Sah! Ada masalah pada mata kiri aku. Makanya, kena buat pemeriksaan lanjut.

Tunggu lagi, kemudian aku di panggil semula untuk berjumpa doktor. Di periksa dengan teliti mata aku tu, doktor mendapati ada masalah pada mata kiri aku. Aku di suruh keluar semula dan diberikan sejenis ubat pada mata kiri. Ubat itu di titis kan ke mata aku 3 kali dalam selang 15 minit setiap satu. Setelah itu baru aku di panggil semula untuk buat pemeriksaan selanjutnya.

Masih berdebar-debar, lama juga doktor membelek mata kiri aku tu. Di letak satu kanta apa aku tak tahulah, di pancarkan cahaya putih terang pada mata, di tengok dengan teliti lah senang kata. Akhirnya dapatlah masalah yang aku hadapi sebenarnya. Doktor kata aku menghidap RETINAL DETACHMENT pada mata kiri.

Sedikit terkejut. SRD di panggil. Doktor menerangkan serba sedikit pada kami pasal retinal detachment ni. Tak berapa faham masa tu, sebab hati rasa susah hati selepas doktor kata hanya boleh pulih dengan pembedahan yang di panggil Vitreoretinal Surgery. Itu pun dia jangkakan akan  90% pulih, ingatkan 100% tadi.  

Bila SRD tanya, tak boleh ke guna laser je? Doktor kata tidak, hanya dengan pembedahan dan dia tak boleh buat pembedahan tu, harus di rujuk kepada hospital besar di JB , Melaka, atau Selayang. Dia suruh kami pilih yang mana kami lebih selesa. 

Setelah berbincang lebih kurang dengan SRD, maka aku memutuskan untuk di rujuk ke hospital Melaka. Doktor pun kata, hospital Melaka lebih advance untuk pembedahan mata. Kalau nak di rujuk ke swasta, memakan belanja lebih kurang 8k-9k. Banyak tu? Huhu...

Selepas keputusan pemilihan hospital di persetujui, doktor tersebut buatkan surat rujukan untuk aku bawa ke hospital nanti. Aku harus buat pembedahan mata dulu sebelum cermin mata aku ni di ganti!!.

Ya Allah. Dalam pada aku suka-suka pagi semalam, dapat pula ujian ini, aku memang tersentak dan bersedih. Selama ini aku tak perasan, sebab mata kanan banyak membantu. Memang rasa penglihatan semakin kabur, tapi tulah, aku ingat power naik je kan, macam biasa. Tak tahu pula ada masalah yang lebih berat.

Aku redha dengan ujian ini. Cumanya aku risau bila aku nak ke Melaka buat check-up selanjutnya dan tentukan bila aku harus di bedah. Anak-anak di sini, semua sibuk dengan persekolahan lagi. Buntu aku. Memang kena cari masa sesuai, dah kami belum tahu lagi bilakah masa yang sesuai itu.

Setelah pulang dari klinik semalam, aku ambil kesempatan cari dalam web apa itu RETINAL DETACHMENT dan aku menemui satu laman yang banyak info pasal ni. Aku petik sedikit dari laman web itu di sini :

What is it Retinal Detachment?
The retina acts as the 'camera film' of the eye. For the retina to work, it has to be in the correct place, lining the inside wall of the eye (like wall paper lining the wall of a room). In retinal detachment, part or all of the retina has peeled away from the wall, affecting its ability to work properly.
Retinal detachment is therefore a potentially serious condition because it can severely affect the vision of the eye, especially if the detachment affects the part of the retina that serves the central vision (called the fovea). Some detachments spread quickly to involve the fovea in the matter of hours while others may remain stable and never progress.
The cause of most retinal detachments is a break/tear in the retina which results in fluid 'seeping' under the retina and detaching it from the wall of the eye.
Untuk lebih maklumat lanjut, bolehlah ke laman web itu juga di sini ye.

Gambar di bawah ni aku dapat dari laman web yang sama. Semalam masa jumpa doktor pun, doktor menunjukkan image yang sama berlaku pada mata aku. 

Ini gambar retina yang normal (detached retina)
Ini pula gambar retina mata yang ada detachment macam mata kiri aku ni
Aku memang susah hati sekarang ni. Satu lagi aku sangat takut untuk di bedah. Mata pula tu. Takut weh!! Harap kawan-kawan semua dapat doakan yang tebaik buat aku ye. 

Aku perlu berfikiran positif demi semua yang sayang pada aku kan. Aku tak nak buta sebelah. Ya Allah, janganlah Engkau tarik nikmat melihat yang kau berikan kepada aku selama ini. Aku masih belum puas melihat duniaMu.

Masih belum pasti bila nak ke hospital Melaka. Mungkin Jumaat ni.

Apa pun semalam aku tetap buat juga kek kukus oren tu. Tapi tak jadi kek aku. Dia merajuk kot, sebab orang yang buatnya hati tengah gundah gulana kan:(. Sebenarnya mixer aku tiba-tiba rosak masa pukul mentega . Siap keluar api  gitu. Terus pukul pakai tangan saja, tu yang tak jadi kot.

Nanti aku kongsi gambar kek kukus oren aku yang tak jadi tu ye. Entri selanjutnya lah kiranya...:).

Do pray for the best for me. Luv u guys.....:x

~ يوس ~

Monday, February 21, 2011

Aku dan 35....serta 1 Day Lucky Draw for you!

Salam hari Isnin semua,
(p/s: entri ini haruslah di baca sampai habis untuk mengetahui apa dia 1 Day Lucky Draw tu!Ada hadiah menanti anda)

Hari ini hatiku berbunga riang. Tanggal 21 Februari ini adalah hari jadi aku yang ke 35.  HAPPY BIRTHDAY TO ME! Betullah orang selalu kata, benda yang sentiasa naik dan tak turun-turun ialah umur kita. Makin lama makin naik, tapi tak pernah turun kan...:)

Ramai juga kawan-kawan di fb dah hantar ucapan mereka pada aku. Ucapan pertama aku terima ialah daripada pakngah Al-lavendari iaitu pagi semalam, pukul 10.13 pagi. Terharunya, semalam hari jadi dia, tapi dia pula yang wish aku dulu..huhu. Al-maklum, dia pernah kata dengan aku dulu yang dia tua sehari saja dari aku...:p.

Selain itu, orang penting yang dah beri ucapan Selamat Hari Ulangtahun semestinya dari SRD tercinta kan. Emak dan ayah pun sama. Semalam mereka datang sini, sekejap saja dalam 4 jam saja di rumah aku. Kata ayah, " hari jadi anak ayah esok kan, tak sempat nak buat kek, ayah hantar aiskrim saja." Gembira rasa hati, emak dan ayah datang bawa rojak dan aiskrim untuk aku...:x.

Begitulah antara perkara happy berlaku bila umur meningkat, tapi sebenarnya bila umur meningkat usia kita berkurang, betul tak? Berkurang sebab tinggal sedikit saja masa kita di muka bumi ini. Sudah bersediakah aku untuk menghadapi hari-hari terakhir? Takutnya!!  

Aku sebenarnya ada nak wish sesuatu di hari jadi aku. Permintaan di tuju kepada SRD suami aku....:). Aku belum dapat hadiah aku lagi. Aku tahu, setiap tahun dia beri hadiah lambat punya. Mesti sehari, dua tiga hari atau beberapa hari lewat. Sebabnya, kalau dia beri awal aku biasa tak berapa suka hadiah tu. Teruknya aku kan! Orang dah beri hadiah pun tak suka.

Bukan tak suka apa ok, tapi dia selalu tak perasan apa yang aku dah ada. Dia beli benda yang aku dah ada dan taste dia memang selalu tak sama dengan taste aku...huhu.

Contoh, aku pernah dapat hadiah tudung yang warna, corak dan jenis semuanya sama dengan yang aku dah ada. Sebijik sebijun, sebab dia tak perasan aku dah ada tudung tu. Ni peel dari sejak berkawan lagi bermula 17 tahun yang lalu. Setiap tahun, mesti ada sesuatu dari dia, tapi semua selalu benda yang aku dah ada...:(

Oleh kerana dia memang suami yang perihatin, dan aku tahu dia sangat sayang pada aku, makanya sejak dari beberapa tahun lepas, dia suruh aku nyatakan apa yang aku nak, dan InsyaAllah dia akan belikan sekiranya mampu. 

Makanya setiap tahun, di hari jadi aku aku akan pilih sendiri apa yang aku nak dan biasanya kerana aku seorang isteri yang juga sangat sayang kepada suaminya, aku tak suka nak minta yang bukan-bukan melainkan yang dia boleh beri pada aku, tak semestinya dalam bentuk material.

Tapi tahun ini rasanya nak minta yang material. Boleh tak bang?:p (Dia memang pembaca setia blog aku). Ada 4 benda dalam senarai yang aku harap aku dapat, tapi aku bukan nak semua, satu saja cukup alhamdulillah. Dah suka hati sangat.

  • Aku nak cermin mata baru. Cermin mata aku ni rasanya dah tak sesuai dengan power mata aku yang aku rasa dah semakin meningkat. Aku nak cermin mata yang bingkainya warna merah atau pink.
  • Aku nak handphone baru. Hajat hati nak yang warna merah atau pink juga. Tak kisah jenis apa, Nokia C3 pun ok juga. Kalau tidak pun  handphone yang jenis touch screen tu. Bestnya!
  • Aku nak kamera baru. Bukan nak yang dslr, yang compact saja sudah cukup. Asalkan ianya mesti Nikon juga seperti yang sekarang dan warnanya mestilah merah atau pink juga....hahaha.
  • Aku nak SRD sentiasa bersama aku dalam waktu senang atau susah, sentiasa menjadi sahabat aku dunia dan akhirat, sehingga ke akhir hayat aku. You're the best husband ever! I know that.

Amacam? Wishlist aku melampau ke? SRD sendiri yang tanya aku, apa yang aku nak kan. Haruslah aku senaraikan, sebab aku nak beritahu mulut macam tak keluar aje...:">. Apa pun, cukup saja kalau yang ke 4 tu aku dapat. Memang selama ni aku gembira bersama suami dan anak-anak tercinta. Semoga ianya terus kekal hingga ke akhir hayat aku.

Ada satu perkara lagi yang buat aku sangat terharu hari ini. Dalam pada aku sibuk-sibuk siapkan bekal untuk anak-anak ke sekolah, agak leka sedikit + mulut asyik membebel suruh mereka semua cepat, tiba-tiba dengan senyum simpul Aqil datang. Kemudian tu menyusul Alia dan Abid. Siap beri tunduk bow pada aku dan mereka bertiga macam koir menyanyikan lagu happy birthday untuk aku. So sweet, ibu terharu sayang!

Semuanya ingat hari ni hari jadi ibu ye. Terima kasih. Ibu sayang anak-anak ibu semua.

Dan sebagai menghargai kawan-kawan blog aku, semua follower aku yang rajin singgah blog kecil aku ni, yang selalu meninggalkan komen pada setiap entri aku. Makanya aku nak buat satu cabutan bertuah.sempena birthday aku hari ini. Aku namakan ianya 1 Day Lucky Draw.

Apakah syarat-syarat untuk sertai 1 Day Lucky Draw aku ni? Syaratnya mudah saja. 
  1. Haruslah baca entri aku yang ini sampai habis. Kalau tak baca sampai habis tak tahu lah kan apa ceritanya.
  2. Haruslah memberi komen pada entri ini, ikhlas dari hati anda semua kan.
  3. Komen yang aku terima haruslah pada tarikh hari ini saja iaitu 21 Feb 2011. Makanya semua yang beri komen dari mula entri ini di publish sampai 11.59 tgh malam nanti. Bila dah masuk 12 malam mestilah dah 22 Feb kan? Yang itu aku tak terima ye!
  4. Mestilah follower aku, kalau yang baru pertama kali masuk sini pun boleh, tapi jadi follower aku jugalah ye.
Ok. Itu saja syaratnya. Tak pelu buat entri ke apa ke. Tapi bila dah dapat hadiahnya nak buat entri tu bolehlah :p.

Apa hadiahnya? Takdelah apa sangat pun. Bukan benda tapi wang tunai yang nilainya pun ciput saja. Tapi aku dah niat nak beri kan, makanya aku harus beri dan nyatakan di sini. Hadiah berupa wang tunai RM35 yang aku akan bank-in ke akaun . Lebih senang yang ada Maybank akaun lah ye. 

Kenapa RM35? Sebab hari jadi aku yang ke 35. 

Makanya, semua yang tinggalkan jejak/komen di entri ini hari ini 21 Feb sahaja, namanya akan aku tuliskan dan masukkan ke dalam kotak lucky draw. Satu pemenang saja di pilih, dan cabutan di buat oleh anak aku Aqil sebab 23 Feb, iaitu 2 hari lagi adalah hari jadi dia pulak. Jadi cabutan akan di buat pada 23 Feb pada hari jadi anak aku ye. Keputusan pula di umum selepas cabutan dibuatlah kan.

Ok itu saja. Hajat hati nak buat kek oren kukus hari ini. Tak tahulah berjaya buat ke tidak, sebab barang-barang belum di cari. 

p/s: hari ini juga aku puasa ganti. Aku kan kena ganti puasa banyak sebab lahirkan Arif seminggu sebelum bulan puasa hari tu. Bila nak habis ni? huhu.

Entri ini juga akan aku refresh beberapa kali hari ini supaya lebih ramai yang akan tinggalkan komen/jejak. Makanya akan lebih ramailah peserta 1 Day Lucky Draw aku ni. Harap-harap begitulah...:) 

nota kaki: refresh entri kali keempat on 8.09pm. Mula post 8.10 a.m.
~ يوس ~

Sunday, February 20, 2011

~Yus~ GCA Blog


Semalam aku wujudkan satu blog baru untuk aku join GA, Contest dan juga tempat aku letakkan award (kalau ada terima lagilah)

Ada beberapa blogger yang tag aku join GA dan Contest tapi aku malas betul nak penuhkan blog ni dengan semua tu lagi. Aku pun baru lagi berjinak-jinak dengan benda tu semua. Adalah baru beberapa kali turut serta.

So, untuk tidak menghampakan mereka yang tag aku tu, aku wujudkan blog ni. Harap-harap selepas ni, mood aku nak join GA dan Contest meningkat. Mana tahu, peluang untuk menang pun meningkat kan. 

Pernah menang sekali first prize dan hadiah saguhati sekali. Kot-kotlah ada luck lagi....:D

Siapa-siapa yang ada tag aku tapi aku belum buat tu, sabar-sabar ye. Enjin baru nak mula ni ha! Dan selepas ni kalau ada yang kena tag dengan aku, harap sudi juga turut serta.

Aku sendiri belum pernah anjurkan apa-apa kan. Sebenarnya perlu komitmen kalau nak anjurkan GA atau Contest ni. Aku belum dapat nak penuhi komitmen itu kot :p.

Makanya dengan ini juga aku mengumumkan, aku boleh di tag untuk join GA dan Contest. InsyaAllah kalau ada masa pasti aku turut serta...:).

Ada yang nak jengah blog baru aku ni? Sila ke sini.



~ يوس ~

Saturday, February 19, 2011

.::Tropical Village Air Hitam::.

Salam pagi Sabtu,

Hari ini mood aku lemau aje kot. Boring tahap gaban. Bila SRD oustation macam nilah mood aku. (Sekali lagi OS, suami kesayangan aku ni memang rajin OS). Apa nak buat?

Anak-anak pun sekolah. Ada sambutan mauldurrasul di sekolah mereka. Tinggal aku , Abid dan Arif. Mood nak tulis pun lemau. Makanya aku buat entri recycle sajalah. Boleh kan?

Entri ini aku pernah masukkan dalam blog lama aku dulu di sini. Saja aku letak balik di sini sebab aku tahu, blog lama aku tu dah sunyi dari pengunjung. Mesti ramai juga yang tak tahu di Air Hitam Johor ada tempat ni kan. Silalah tengok ye....

Koleksi gambar-gambar kami, semasa berkunjung ke Tropical Village Air Hitam. Tempatnya memang cantik dan menarik. Tetapi nak menghabiskan ke seluruh tempat itu, berpeluh juga. Tak berkesempatan berkunjung, ke Hollywood, atau ke Pisa di Italy, dapat kemari jadilah...biggrin

Kuda kepang warisan melayu kita
Yang ni tak tahulah apa, tp menarik


Menara Berkembar Kuala Lumpur..

Piramid dan patung Firaun

mari kita naik unta.....

Eiffel Tower, Paris di Air Hitam...lol. Dulu masa ke Paris dan berkunjung ke sini, tak berpeluang nak naik atas sebab anak2 yang kecil. Tengok dari bawah jer. Di sini, ambil kesempatan naik yer bang..
Hollywood!! Bergambar dengan Oscar besar lagi..hehe


Siapa rasa-rasa ada hati nak ke Hollywood tu bolehlah datang Air Hitam ni. Takdelah mahal sangat kosnya kan

Tembok Besar Cina ker, Tembok parit raja-Air Hitam ni..biggrin



Menara Condong Pisa...
Orang utan pun ada (replika saja)
Taj Mahal di Air Hitam?
Tempat main-main untuk anak-anak pun ada

Gambar yang paling saya suka tengok, di ambil oleh anak sulung kami, Aqil...


p/s: Macam2 replika ada  di Tropical Village ni, Statue of Liberty ada,A Famosa Melaka pun ada. Aku sendiri pun dah lama tak pergi, Malas nak menapak sebenarnya pusing kawasan sekitar tu. Besar!

~ يوس ~

Friday, February 18, 2011

Remaja ye?....

Satu hari balik saja dari sekolah agama beriya Aqil menunjukkan aku pada kitab ibadahnya. Aku tak pasti tajuk apa, sebab aku tak tengok dengan betul, tapi dia sendiri yang bacakan pada aku.

Kata dia, " Kat sini kan bu, dia tulis kalau umur 0-2 tahun kita panggil bayi, 3-8 tahun kita panggil kanak-kanak, 9-15 tahun kena panggil remaja, 16-21 tahun belia, dan lebih 21 tahun kita panggil dewasa. Aqil kan 9 tahun, Aqil dah remaja lah ibu."

Sukanya dia menerangkan kepada aku. Aku pun balas balik, " kalau dah remaja, tak bolehlah buat perangai budak-budak lagi, ibu cakap tak dengar, suka kacau adik, suka usik adik. Kenalah ikut macam abang Irfan, solat tak perlu ibu suruh, semua Aqil tahu bila nak buat."

Dia senyum kambing aje. Lepas tu dia cerita pada abahnya pula. Boleh pulak lepas tu buat perangai budak-budak, berebut mainan dengan adiknya. Abahnya kata, " remaja mana boleh macam tu. Dengan Abid pun nak berebut mainan ke? Kata Aqil dah remaja."

Tahu dia balas apa? Dia kata, "Aqil masih 8 tahunlah abah. Hari jadi Aqil belum sampai lagi. Aqil kanak-kanak lagilah".

Adohai! Boleh pula beri alasan begitu ye. Hari tu kata remaja.....

Bila dia cerita dengan atok ayahnya, atok ayahnya pula kata, "habis kalau macam atok ni panggil apa?"

Aqil jawab, " Kalau atok warga tua!"

:)

Ok takpe. Ibu terima alasan Aqil. 

5 hari lagi hari jadi Aqil, lepas ni kalau buat perangai budak-budak lagi, ibu akan sentiasa ingatkan yang Aqil dah remaja. Aqil sendiri yang beritahu ibu kan 9-15 tahun remaja...hehe.
~ يوس ~

Thursday, February 17, 2011

Baik-baik Sayang.....

Mula-mula dengar lagu ni, dengar macam tu saja takde ambik kisah apa pun.

Dua tiga kali, aku perasaan SRD sangat suka lagu ni. Bila dia balik kerja petang-petang tu, boleh pula dia cari di youtube lagu ni dan dengar. Aku masih tak ambil peduli sangat.

Tetapi, sewaktu perjalanan pulang dari Melaka hari tu, lagu ni ada keudara di radio, dan SRD bersama anak daranya punyalah suka nyanyi lagu ni. 

Masa tu baru aku perasan senikata lagunya. Sangat menyentuh jiwa. Tanpa aku sedar, ianya buat airmata aku mengalir. Sikit je.

Very touching, patutlah SRD suka. Dia jarang suka lagu-lagu baru apa lagi lagu dari seberang. Tapi lagu ni memang bestlah. Aku pun dah jatuh hati dengan lagu ni.

Kalaulah lagu ni di tujukan untuk aku, boleh cair....wa cakap lu.

Tetapi, lagu ini tak semestinya untuk pasangan masing-masing, untuk ibu kepada anak-anaknya pun boleh kan.

Cuba kawan-kawan semua dengar dan lihat senikatanya, sangat menyentuh kan.




Aku tak ingin
Kau menangis bersedih
Sudahi air mata
Darimu...

Yang aku ingin
Arti hadir diriku
Kan menghapus dukamu
Sayang...

Karna bagiku
Kau kehormatanku
Dengarkan
Dengarkan aku...

Hanya satu pintaku
Untukmu dan hidupmu
Baik-baik sayang
Ada aku untukmu..

Hanya satu pintaku
di siang dan malam mu
Baik-baik sayang
Karna aku untuk mu..

Semua keinginan
Akan aku lakukan
Sekuat semampuku
Sayang...

Karna bagiku
kau kehormatanku
Dengarkan
Dengarkan aku...

Hanya satu pintaku
Untukmu dan hidupmu
Baik-baik sayang
Ada aku untukmu..

Hanya satu pintaku
Di siang dan malam mu
Baik-baik sayang
Karna aku untukmu....
~ يوس ~

Kek Pisang Kukus pulak....(^_^)

Salam hari Khamis,

Seronok sebab baru beli loyang yang boleh masuk dalam periuk kukus aku tu kan. Makanya petang semalam, aku buat pula kek pisang kukus. Resepi aku ambil dari sini

Aku ni biasalah, bila dapat barang baru, kemaruk sekejap menggunakannya. Lepas ni berkurun baru nak guna lagi agaknya :D,

Kali ini aku rasa kek pisang kukus aku memang menjadi. Ini pertama kali aku cuba resepi ni. Sebelum ni pernah juga buat kek pisang, tapi di bakar, dan resepinya pun lain sikit. Resepi yang aku ikut ni memang mudah. Sedap dan lembut aje kek pisang aku. Aku suka!!!:)

Ini adunan yang baru di masukkan ke dalam loyang baru aku tu.Haruslah tunjuk rupa loyang baru kan...:D

Ini pula baru saja di angkat selepas di kukus. Naiknya pun cantik....aku suka!:yuhuu
Setelah di keluarkan dan di potong, inilah hasilnya. Kek Pisang Kukus. Sekarang aku tahu, kek kukus lebih sedap dari kek bakarlah. Lain kali nak cuba resepi kek lain yang di kukus juga. 

Kalau ada yang nak cuba juga bolehlah tengok resepi ini ye. Pisang tu dia kata secawan kan, aku guna 5 biji pisang. Satu lagi aku tak guna esen pisang. Kat rumah yang ada esen vanila dan esen epal saja, jadinya aku gunalah esen vanila.

Inilah pisang yang aku guna. Serius aku tak kenal ni pisang apa. Yang pasti SRD bawa balik untuk anak-anak, dan aku pun guna sajalah untuk buat kek tu. Anak-anak aku memang penggemar pisang.

Ada yang boleh beritahu aku ke itu pisang apa ye?...:D

~ يوس ~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...