Sunday, May 31, 2009

Kemaruk makan kerang....

Huhu...dua tiga minggu nih aku kemaruk makan kerang masak goreng cili berkicap nih. Resepi aku dapat daripada Kak Lin, akak yang jual ikan di pasar Parit Raja nih. Aku rasa sedap sangat pulak. Aku memang suka makan kerang dari dulu. Dalam minggu nih saja, dah dua kali masak kerang, sampai Aqil anak aku cakap, " Ibu nih asyik kerang jer".senyum. Resepinya memang cukup mudah. Kredit tu Akak Lin yer...

Kerang goreng cili berkicap (nama aku pandai2 letak sendiri)sengihnampakgigi

1/2 kg kerang
3 ulas bawang putih - di tumbuk
1/2 inci halia- di tumbuk
7 batang cili padi - dititik
1 helai daun kunyit diracik
1 sudu besar minyak
1 sudu teh gula
kicap masin

(sebenarnya resepi akak tuh guna kicap manis, tak perlu gula, tapi sebab rumah aku ada kicap masin jer, aku ubah lah)

Cara-cara: Bersihkan kerang. Tumis bahan tumbuk dan cili padi. Bila dah naik bau, masukkan kerang bersama daun kunyit tadi. Masukkan setengah cawan air dan gula. Kacau seketika, kemudian masukkan kicap. Tutup dengan penutup periuk. Biarkan hingga kerang masak. Siap di hidang. Marvelous. Masa aku menaip nih pun terasa nak makan kerang lagi dengan resepi ini jelir.

Teringat pulak masa mengandungkan Alia dulu. Teringin sangat nak makan kerang, tapi masa tuh, susah nak dapatkan kerang. Aku ingat Dr Faez kata ada kerang di Morisson Doncaster, Sheffield takde masa tuh. Beriya mencari sampai ke sana, dapatlah kerang yang kecik-kecik gitu. Tak sama macam kerang Malaysia. Huhu...jadilah asal tak kempunan. Balik sini, puas aku makan kerang....celebrate.

p/s: n3 auto publish lagi. Waktu ini rasanya aku dah melepak di Muar pula.

Friday, May 29, 2009

Mandi Manda.....

Anak-anak aku sekarang pantang dengar perkataan swimming pool. Asyik ler nak berendam dalam tu. Ni aktiviti Sabtu lepas. Pergi bermain air bersama keluarga Ajzie di Kluang. Sebelum ke swimming pool, kami sempat bersarapan di Kulang Railway Station. Selama nih dengar cerita dari Ajzie aje, kali ni kami ikut sekali...hehe.Gambar dalam kamera aku nih tak banyak. Sebab aku malas nak ambil gambar masa tuh. Tunggu entri dari Puan Ajzie lah nanti yer.

Selepas mandi-manda kami jalan-jalan di Kluang Mall. Sempat merasa Laksa lemak Singapore lagi....slurppp. Boleh tahan sedapnya. Selebihnya anak-anaklah yang paling seronok. Berlari-larian, main game. Kita tengok gambar yer...


Bermain air memang aktiviti kesukaan anak-anak aku nih. Tambah-tambah ada geng sebaya.


Selepas mandi muka tetap ceria. Nak pergi cari donut pulak..sengihnampakgigi

Main.....celebrate.Memang pantang nampak benda-benda macam nih. Tengok tuh, bapak-bapak pun join sekali...gelakguling

p/s: Minggu nih kami balik kampung. Masa entri ni keluar, kami on the way balik Melaka...menarimenari

Aqil dah habis periksa....

Sepanjang 2 minggu lepas aku pulak yang jadi sibuk gara-gara Aqil nak menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. Seminggu pertama tuh periksa di Sekolah Agama, Lepas tuh minggu lepas di sekolah kebangsaan. Anak yang nak ambil periksa, aku yang gementar takut anak tak tahu jawab. Dia biasa saja, langsung takde perasaan apa..huhu.

Dan minggu ini, dia dah dapat markah periksa untuk beberapa mata pelajaran. Oklah, aku puashati dengan pencapaiannya walaupun aku rasa dia boleh dapat lebih baik dari itu.

Aku rekodkan di sini untuk ingatan aku sendiri, dan juga Aqil satu masa nanti. Biar dia tahu, masa darjah 1 apa yang dia dapat.

Sekolah Agama; Tauhid 96%, Ibadah 84%,Bahasa Arab 84%, Akhlak 92%, Tulisan Jawi 96%. Sirah 88%. Markah belum dapat Al-Quran.

Sekolah Kebangsaan; Bahasa Melayu - Penulisan 56/60, Bahasa Melayu Pemahaman 25/30, Bahasa Inggeris- kertas 1 40/40, Bahasa Inggeris -kertas 2 40/40, Matematik 98%, Bahasa Arab 92%, Pendidikan Islam 97%, Pendidikan Jasmani 100%, Pendidikan Islam j-QAF 96%. markah belum dapat Sains. Aku ikut jer apa yang tercatat pada kertas, mana yang bukan dalam peratus tuh, aku tak tahu macam mana cikgunya kira nanti.

Aku dapat rasakan ramai murid yang dapat markah tinggi di kelasnya sebab dia berada di kelas yang baik. Bila aku tanya apa kawan baiknya Amri dapat, nampak macam hampir sama dan ada yang lebih baik dari dia. Alhamdulillah atas apa yang di capainya, tak kisahlah dia dapat nombor berapa nanti. Aku cuma berharap semangat untuk dia mengulangkaji pelajaran tinggi, sebab sekarang ni dia terlalu taksub dengan game. Kalau boleh setiap masa terluangnya di rumah bersama game. Kalau aku tak kasi main langsung, lagi dia tak nak belajar.

Hmm..anak baru darjah 1 yus, jangan di paksa sangat. Tapi sukatan pelajaran sekarang dah tinggi. Suruh buat ayat pun tunggang terbalik tuh..macam mana yer?


p/s: n3 ini aku siapkan awal sehai dari tarikh publish. Nak tengok betul ker dia auto publish. Budak baru belajar nih...

Thursday, May 28, 2009

Nur Aisy Dalisya + Nur Alia Zafirah

Sedang aku gobek-gobek kamera nih nampak pula gambar anak buah aku nih, sepupu kepada anak-anakku. Melihatkan pipinya yang tembam memang menggeramkan. Kalau tengok kaki dia lagilah geram.Baru berusia 7 bulan. Nur Aisy Dalisya di beri nama. Comeyy kan.

Bila tengok baby mulalah berkata kalau ada baby baru dalam rumah ni bagus juga. Tapi boleh tak terus dapat jer, tak perlu menjalani prosesnya...sengihnampakgigi. Kalau boleh terus jer besar macam nih, kan bagus..hihi. Bior benor ko yus...huhu.

Bila lihat pipi Dalisya yang montel, teringat masa Alia kecik-kecik dulu. Ni gambar Alia masa usianya 1 tahun 4 bulan. Siapa lagi tembam??..haha.

Dan bila Alia lihat gambar ini, dia berkata :

Alia :Eh! sapa tuh ibu?

ibu: Alialah.

Alia: Alia baby ker? Alia dekat mana tuh? Tak tahu pun...

Huhu....tak kenal muka sendiri ker sayang..hehepeluk


p/s: Aku dah try publish direct melalui email Tapi rupanya tak boleh masuk gambar terus. Atau mungkin aku tak tahu cara. Jadinya aku delete saja n3 tuh. Buat posting cara lama lagi best.... tapi kalau tanpa gambar memang boleh.

Percubaan pertama posting guna email...

Hoho..streamyx aku hari ini dengan mudahnya dapat dibuka. Tidak seperti hari-hariku yang lepas. Alhamdulillah. Suka hati aku. Dan hari ini aku gatal tangan nak buat posting melalui email pula. Cuba try test tengok berjaya tak. kengkonon nak cuba mobile blogging juga, tapi yang itu nantilah dulu.Satu-satu kata orang.

Oh ya! Aku ada satu cerita lucu yang hendak aku kongsikan di sini. Cerita anak aku yang pelat bila berkata-kata. Sememangnya Alia dah Abid pelat sikit bila bercakap, tapi yang satu ini aku tak boleh lupa. Satu hari semasa kami ke BP Mall. Biasalah bila nak parking kereta ada guard yang jaga di ruangan masuk tuh dan beri kad.

Alia: Ibu tu polis kan. Kena pakai tali pinggang, nanti polis tangkap kan ibu.

Ibu: Tu bukan polis, tu security guard.

Alia: Ooo, tuh Siti Khadijah.

Ibu: gelakgulinggelakguling

So, kawan-kawan security guard tu dia sebut Siti Khadijah. Hihi...ada Siti jaga kat ruangan parking di BP Mall tuh..huhu. Alia..Alia.

p/s: aku bukan direct publish melalui email ni. Aku post dulu ke draft dan kemudian edit serba sedikit baru publish. Lepas nih aku nak try publish terus dari email pula.peace

Wednesday, May 27, 2009

Streamyx problem...

Sejak pindah ke rumah baru nih, streamyx memang selalu buat masalah. Boleh di katakan setiap hari ada saja masalahnya. Masalah utama aku tak boleh nak online streamyx setiap kali pc di buka. Pc aku ni terpaksa di 'restart' berulang kali sebelum line streamyx boleh sangkut dan berjaya terus online. Selang dua tiga hari mesti aku buat report di line 100 tuh. Sampai aku sendiri naik bosan. Masalah tetap sama.

Ada sekali tuh, ada ker dia kata network aku yang dah corrupted. Kena tukar. Adeh!! sakit hati jer jawapan. Tecnician datang, tapi dia kata takde apa-apa. Nih tecnician yang mudalah. Lepas tuh dia pesan kat aku mungkin sebab anak selalu main game. Cuba jangan kasi anak main game semalam katanya. Lepas tuh call dia semula. Bila aku kata, masalah tetap sama walaupun anak tak main game, terus dia senyap jer.Semalam lagilah, dari pukul 7 pagi aku cuba online, tak dapat2. Sampai aku bengang. Pukul 8 malam baru berjaya online. Sakit hati dibuatnya. Akhirnya tadi, ada seorang lagi technician datang. Barulah nampak ok sikit. Terus jer boleh 'on' dengan senang. Dan pakcik tuh kata, memang port diluar tu ada rosak. Hari tuh tecnician yang muda tuh kata takde apa-apa pulak. Sampai dah dekat sebulan baru settle. Memang sengal tau diorang nih. Buat kerja macam mana ntah. Kalau nak diikutkan hati aku yang geram nih, memang rasa nak marah jer. Tapi sebab hari nih dah ok, sejuk sikit rasa hati nih. Tapi tengoklah esok. Mana tahu, aku masih susah nak connect internet masa mula2 nak buka pc aku nih. Harap-harap semuanya pulih seperti biasa.

Tuesday, May 19, 2009

Hari Sukan Tadika Alia

Sudah lama nak letak gambar-gambar ini di sini tapi asyik tak jadi saja. 9hb Mei yang lalu, hari sukan untuk murid-murid di tadika tempat Alia bersekolah. Alia adalah orang yang paling excited nak pergi ke sana. Tapi bila sampai sana, muka dia monyok jer yang lebih..huhu. Apa pun, Alia hanya masuk satu acara dan dapat tempat kedua. Tahniah untuk anak ibu Alia. Sukalah tuh dapat pingat. Sampai digantung di katil dia..hehe.

Alia di dalam khemah menunggu bersama rakan-rakan yang lain


Beratur untuk ke padang bagi acara pembukaan

Anak-anak ini sedang bersenam sebenarnya, tapi laju sangat kot mereka nak ikut. Alia pula excited nampak jurukamera sedang ambil gambar dia..hahaha


Alia sedang menunggu giliran untuk acara yang dia wakili. Rumah merah anakku ini, sama macam ibu dulu..


Gaya larian Alia...Dia masuk acara yang di beri nama Lihatlah gayaku. Peserta di suruh menghias rakannya diseberang sana supaya nampak cantik dan bergaya. Alia masa nih berlari untuk mengambil cermin mata dan dipakaikan kepada rakannya yang sedang menunggu di seberang sana.

Kumpulan Alia dapat tempat ke dua.....Tahniah Alia.


Friday, May 08, 2009

How to Deal With Your Child's Temper Tantrums

Salam kembali.....

Internet di rumah dah berfungsi. Aku dah boleh kembali berblogging.Namun begitu masaku masih agak terhad. aku selalu pening kepala memikirkan anakku yang bongsu itu. Dia akan mengamuk, marah, menangis dengan kuat apabila kehendaknya tidak dituruti. Dalam ketiga-tiga anak-anakku itu, rasanya Abid lah yang paling susah dilayan. Aku sendiri tak sabar, aku tahu itu. Aku tak pandai nak menangani sikapnya yang susah nak dipujuk itu apabila marahnya menjadi. Ditambah bila aku cuba mententeramkan dia, kakaknya Alia mengusik lagi. Dan selepas itu, bila aku tersilap langkah, dua2 pulak merajuk. Aduh!!!

Dah bila aku google aku terjumpa ini, ini dan ini. Selepas membacanya, aku mengerti yang aku perlu mengawal amarah ku dulu, barulah aku dapat mengawal amarah mereka. Dulu aku rasa tidak sesukar kini menanganinya. Tapi sejak ketiga-tiganya sudah mula menunjukkan kehendak dan keinginan masing2, sudah mula ada rasa marah,ada perasaan iri dan dengki sesama mereka, ada ketikanya aku tak dapat mengawal kesabaranku. Agak sukar untuk mengikut kehendak yang seorang, sementara yang seorang lagi terpaksa melupakan kehendaknya. Mereka mungkin merasa aku menyebelahi seorang saja sedangkan yang kehendaknya tidak dipenuhi merasa diri terpinggir. Padahal aku tidak bermaksud begitu. Ada masa aku merasa seperti tersepit. Ya Allah, bantulah hambamu ini menjadi ibu yang baik kepada mereka....Aminnn.



Contoh amukkan Abid setiap hari:

Satu perkara yang betul-betul buat aku pening sekarang, hari-hari terjadi, Abid dan Alia suka berebut kunci pintu rumah. Satu hari, aku memang sering keluar masuk rumah. Hantar Alia sekolah, ambil Alia dari sekolah, ambil Aqil dari sekolah, hantar Aqil ke sekolah agama, ambil Aqil dari sekolah agama. Jadinya paling kurang satu hari lima kali aku akan keluar rumah. Belum termasuk petang-petang keluar ke taman permainan pula. Dan setiap kali itu, Abid berkeras, dia yang nak kunci pintu grill dan rumah. Masalahnya dia buat dengan terlalu lambat, terkedek-kedek. Kalau masa aku awal, oklah, aku turutkan saja kerenahnya.Tapi bila aku terlambat, tergesa-gesa, nak cepat keluar rumah, dia tetap berkeras untuk mengunci pintu, sampai aku sakit kepala dibuatnya. Bila aku tolong, dia tahu, bukan dia yang pusingkan kunci tu , dia akan mengamuk, menangis sakan. So, terpaksalah aku buka semula, buka pagar semula, biar dia buat dan aku perhatikan saja sampai dia selesai. Tak boleh di tolong langsung. Bila aku tak sabar, aku ambil saja kunci, dan aku kunci seperti biasa. aku dukung saja dia masuk dalam kereta, tapi terpaksalah aku menahan telinga sepanjang perjalanan itu mendengar tangisan dan amukkannya.

Bertambah masalah lagi, bila Alia sudah berada di rumah, dia juga berebut hendak mengunci pintu dan pagar rumah. Bila aku kata, Abid buat masa pergi, Alia pulak masa balik nanti tak menjadi juga. Puncanya, Alia boleh faham, tapi Abid tak mahu faham. Dia tak mahu mengalah. Kunci rumah itu adalah miliknya. Orang lain tak boleh sentuh. Bila aku kata pada Alia, berilah Abid buat, dia kecik lagi, Alia merajuk juga. Sebab tadi aku dah kata, tukar2, masa pergi Abid, balik Alia pulak yang buka kunci. Bila dah merajuk begitu, dalam diam Alia akan cubit adiknya. Sudahnya mengamuk lagi.

Bila aku sorokkan kunci, semua orang tak boleh pegang kunci, Abid tetap mengamuk sakan. Dia akan cuba cari kunci itu, bila tak jumpa habis semua orang dipukulnya. Bila aku kunci dia dalam bilik supaya dia boleh tenang, dia ketuk pintu tu macam nak roboh jer. Aku tak tahan mendengarnya. Bila dah keluar, aku cuba cakap baik-baik, dia masih tak terima. Selagi kunci idaman tidak ada di depan mata, selagi itulah marahnya tidak reda. Macam manalah aku nak SABAR kalau hari-hari begitu.

Satu lagi, menambah ketidaksabaranku, kunci kereta pun dia nak juga. Dia nak hidupkan enjin kereta tu sekarang. Kalau aku tak benarkan, habislah. Sakit telinga dengar tangisannya. Bila aku benarkan, selalunya kereta tak dapat dihidupkannya. Salah cara kot dia pusing kunci tu. Bila aku betulkan, dia marah juga. Lepas tu, hari-hari berebut cd lagu dengan Alia. Alia nak pasang cd lagu lain, Abid pula nak yang lain. Aku kata gilir-gilirlah. Abid keras kepala. Tak mahu terima. Dia saja yang mesti menang. Sudahnya Alia bersedih. Kalau aku sorokkan saja kesemua cd lagu, Abid tetap tak faham bahasa. Aku kata cdnya takde Abid, dia kata, Ibu pasanglah. Seboleh-boleh suruh aku pasangkan cd lagu yang dia nak tu. Sampai aku pusing memikirkan jawapan apa lagi nak beri. Tak tahu mengalah langsung. Dan kalau semua nak tahu lagu apa yang Abid suka dengar sekarang, lagu "Cinta Melankolia". Kumpulan rock apa ntah yang nyanyi aku lupa. Lagu itulah yang dia nak dengar hari2 dalam kereta. Dan hanya lagu itu saja. Bila dah habis lagu tu berkumandang, dia keluarkan cd, dan masukkan semula. Asal saja lagu itu yang didengarnya. Abid....Abid.

Hmmm..terasa seperti satu masalah besar pula. Sebenarnya tidaklah sebesar mana pun, tetapi bila setiap hari perkara seumpamanya berlaku, memang boleh menguji kesabaran kita. Dan aku tahu, itulah yang aku perlu tekankan dan semaikan dalam diri ini hari-hari. SABAR!! Stay cool yus...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...